METHODOLOGI PENULISAN SYARAH HADIS KITAB RIYADHUS SALIHIN
OLEH SYEIKH MUHAMMAD BIN SALIH AL-‘UTHAIMIN.
Oleh : Ahmad bin Kasim.
Abstrak.
Huraian atau syarah dalam ilmu hadis merupakan satu bidang yang sangat penting kini. Ini adalah kerana untuk menghasilkan karya yang menepati dengan maksud sebenar matan hadis tersebut. Hanya individu yang memiliki keilmuan yang khusus sahaja yang mampu untuk menghasilkan sebuah syarah hadis. Kekuatan integrasi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan lughah, tatabahasa, usul fiqh, sejarah dan asbab al- wurud hadis semuanya diperlukan bagi seseorang yang ingin mensyarahkan sesebuah hadis. Syarah hadis bukanlah satu bidang baru dalam tradisi keilmuan Islam, malah ianya telah bermula seawal kewafatan Rasululah saw dan telah dimulai dari zaman para sahabat disambung oleh generasi demi generasi hingga kini. Sheikh Muhammad bin Salih Al-‘Uthaimin merupakan salah seorang ilmuan dalam bidang ilmu hadis kontemporari yang telah menghasilkan syarah hadis dari karya Imam Al-Nawawi iaitu Kitab Riyadhus Al-Salihin. Pendekatan yang beliau gunakan secara Muqaran adalah bertepatan untuk masa kini. Sebab utama pendekatan ini adalah bersesuaian kerana kelahiran atau kewujudan pelbagai syarah sebelumnya. Syarah hadis oleh tokoh-tokoh ulama’ sebelum ini telah membantu beliau untuk membuat perbandingan antara satu syarah dengan syarah yang lainnya. Dalam syarah ini, beliau juga telah membandingkan antara hadis dengan hadis yang lain bagi memahami maksud sebenar hadis tersebut serta memahami sebab wurud hadis tersebut. Sebahagian dari syarah hadis beliau mengunakan ayat-ayat Al-Quran bagi menguatkan hujah atau sandaran beliau. Sebahagian hadis yang samar-samar telah diperjelaskan dengan amat baik sekali. Beliau juga memetik pandangan ulama’ lain dalam sesetengah huraian hadis tertentu. Pandangan peribadi beliau selitkan sebagai satu hujah tambahan kerana faktor uruf serta mengikut arus perubahan zaman masa kini.