MENJIWAI ERTI KEMERDEKAAN
DALAM MALAYSIA BAHARU.
“Kemerdekaan harus diisi dengan usaha pembinaan watak bangsa
dengan nilai al-izzah, mendidik mereka tentang erti harga diri, maruah dan
kehormatan sebagai suatu yang termahal, sesuatu yang tanpanya hidup tidak
bererti lagi, sesuatu yang menjadikan mereka bangsa yang pantang dihina” Dato’
Dr Siddiq Fadhil
1.0 Premis Dasar.
1.1 Semua jiwa akan merasa tenang dan tenteram apabila bebas
daripada sebarang bentuk penjajahan khususnya penjajahan ketenteraan terhadap
sesebuah negara. Kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai kejayaan besar
dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun,
pengertian kemerdekaan sangat luas, tidak hanya terikat kepada pembebasan
sebuah negara daripada cengkaman kuasa asing semata-mata. Kertas ini akan
membahaskan erti kemerdekaan sebenar yang diharapkan , serta pengisian yang
wajar diberikan dalam konteks Malaysia baharu kini.
1.2 "Berilah layanan
yang baik kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, jiran
tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, orang perantauan
dan hamba abdi kamu. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang angkuh dan
membanggakan diri."
(Surah al-Nisa, ayat 36)
1.3 Oleh itu generasi kini mesti menjiwai erti kemerdekaan dalam
skop yang lebih luas, kerana era penjajahan sudah terlepas jauh dari pandangan
mereka. Mereka sudah melepasi waktu dan tidak dapat melihat bangsa yang berada
dalam segmen penjajahan ketenteraan dan pentadbiran. Suatu segmen kehidupan
yang penuh traumatik dan menghadapi survival hidup yang sangat mencabar. Namun
amat wajar generasi kini memikirkan pengisian kemerdekaan pasca penjajahan.
1.4 Dato’ Dr Siddiq Fadzil (2012) menggambarkan bahawa kemerdekaan
yang telah dicapai adalah kurniaan Ilahi yang seharusnya disyukuri dan
dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kegagalan mewaspadai gejala-gejala
tersebut akan sekali lagi menjerumus kita ke dalam era penjajahan yang hanya
bertukar wajah. Selanjutnya beliau memetik pandangan Malik Bennabi yang
menyorot titik-titik kelemahan umat yang dijajah yang berlaku bukan hanya disebabkan kerakusan
dan sikap penjajah, tetapi lebih disebabkan oleh kerosakan dalaman masyarakat
pribumi seperti masalah jiwa, minda,dan budaya masyarakat yang akan mengamit
serta merangsang dan seterusnya akan membuka ruang kepada penjajahan.
1.5 Tokoh pemikir gerakan islah awal abad lalu ,
Amir Shakib Arsalan menyentuh persoalan ini dalam konteks kemunduran umat
Islam. Beliau telah menyimpulkan masaalah utama adalah berpunca daripada
kerosakan hati yang kian memudaratkan dan menepati ayat 10 surah al-Baqarah
yang telah menyebut tentang perihal kelompok manusia yang hatinya berpenyakit,
lalu Tuhan menambahnya lagi menjadi semakin parah. Akibat penyakit hati yang
parah itu menjadikan sebilangan daripada mereka pak turut kepada penjajah dan
musuh-musuh Islam , persis golongan yang disebut dalam al-Quran pada surah al-Tawbah ayat 48 sebagai samma’un
lahum.(Arsalan,1975:143)
2.0 Sejarah dan kesan
jangka panjang penjajahan.
2.1 Kedatangan kuasa-kuasa asing ke Tanah Melayu pada mulanya hanyalah
sebagai pedagang-pedagang yang hanya berniaga di negeri Tanah Melayu. Walau
bagaimanapun, oleh kerana terdapat beberapa kelemahan dan masalah dalam negeri
Melayu, kuasa-kuasa asing ini mengambil peluang untuk menjajah negara Malaysia.
Tambahan pula kuasa-kuasa asing sememangnya mempunyai sebab utama untuk
menjajah negara-negara Asia Tenggara.
2.2 Fasa-fasa
penjajahan keatas Tanah Melayu oleh kuasa asing bermula dengan penjelajahan pada abad ke-15 oleh Alfonso De Albuquerque yang dilantik
sebagai Wizurai Portugis di India sebelum menawan Kota Melaka pada tahun 1511. Selepas
dari Portugis satu demi satu penjajahan asing menawan Tanah Melayu bermula
dengan Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824), British
(1824-1957), Jepun (1941-1945). British adalah
penjajah asing yang paling lama dan telah menduduki negara ini lebih daripada 150
tahun.
2.3 Sepanjang
era penjajahan ini, maka lahirlah sejumlah pejuang kemerdekaan yang sentiasa
membakar semangat rakyat untuk bangkit menentang penjajah samada atas faktor
agama, politik ataupun ekonomi. Penjajahan kuasa asing sebenarnya tidak menyenangkan hati orang-orang
Melayu. Penentangan terhadap kuasa asing telah berlaku sejak mula Portugis menakluki
Melaka lagi. Pembesar-pembesar Johor, misalnya telah beberapa kali cuba
membebaskan Melaka daripada cengkaman Portugis. Penentangan yang sama turut
diperlihatkan terhadap Belanda.
2.4 Namun begitu, reaksi yang kuat diberikan
terhadap penaklukan Inggeris yang bermula sejak tahun 1947. Campur tangan
Inggeris terhadap pentadbiran Raja-raja Melayu di Tanah Melayu dan penaklukan
Borneo Utara, telah mendorong kepada penentangan secara terbuka. Di Naning,
misalnya, Dol Said mengepalai penentangan terhadap pentadbiran Inggeris, Dato’
Maharajalela mengetuai pembunuhan J. W. W. Birch di Perak, Sharif Masahor,
Rentap dan Banting di Sarawak, Mat Salleh di Sabah, Dato’ Bahaman di Pahang,
Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu.
2.5 Kemuncak penentangan berlaku selepas
Perang Dunia ke-2, iaitu selepas kekalahan Jepun. Tentera British telah kembali
ke Tanah Melayu untuk memulihkan keadaan. Satu bentuk pentadbiran tentera yang
dinamakan British Military Administration (BMA) diwujudkan. Walau bagaimanapun,
BMA tidak dapat memulihkan keamanan. Akhirnya pihak British berusaha
mengembalikan semula pentadbiran awam. Tujuan mereka adalah untuk mendirikan
satu pusat pentadbiran yang kuat.
2.6 Namun Dato’ Dr Siddiq Fadzil merumuskan bahawa perjuangan
mencapai kemerdekaan yang sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan
penjajah dari bumi pertiwi. Dunia masih belum cukup aman dari bahaya
penjajahan. Sementara usaha rebuilding,
pemulihan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan ratusan tahun selama era
penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan
bahaya jebakan penjajahan bentuk baru, penjajahn budaya, penjajahan ekonomi,
hegemoni, dominasi, globalisasi dan seumpamanya.
2.7 Adakah kibaran Jalur Gemilang pada 31 Ogos saban tahun telah
berjaya menzahirkan erti kemerdekaan
sebagaimana yang diingini atau ia cuma suatu acara kesyukuran dan kegembiraan
terhadap kemerdekaan negara. Atau acara tahunan bagi memeriahkan lagi kegembiraan
itu supaya dapat dikongsi seluruh rakyat Malaysia sebagai tindak balas
patriotik terhadap tanah air tercinta.
3.0 Citra Bangsa Merdeka
3.1 Perjuangan
merebut kemerdekaan tidak hanya lahir dari nyalaan semangat patriolisme dan
nasionalisme dalam pemikiran sempit , tetapi lebih daripada itu ia tercetus
dari semangat jihad demi agama, bangsa dan negara. Apa yang disebut dalam
cacatan kolonial sebagai kebangkitan religious
fanaticism itu pada hakikatnya tidak lain adalah merupakan semangat jihad
melawan penjajahan (Siddiq Fadzil, 2012).
3.2 Kemerdekaan
negara tidaklah semudah membalikkan telapak tangan. Perjalanan panjang yang
melelahkan, pengorbanan jiwa raga yang menyakitkan dan pengorbanan harta yang
selalu menguji keikhlasan. Semuanya menuntut suatu pengorbanan dan luka yang
dalam. Yang harus diperhatikan adalah dengan apabila telah merdeka, bukan berarti segala apa yang
diinginkan boleh didapatkan dengan mudah tanpa perjuangan dan kerja keras.
3.3 Oleh itu
terdapat dua perkara utama antara mengetahui sejarah kemerdekaan dengan
memahami erti kemerdekaan. Al-ilmu
dengan al-fahmu adalah dua tajuk yang
berbeza. Subjek sejarah yang diajar disekolah dan uji dalam perperiksaan
hanyalah memaklumkan topik-topik mengenai susunan tarikh dan fakta pejuangan
mencapai kemerdekaan serta tokoh-tokoh tertentu yang terlibat secara langsung
atau tidak langsung. Bagaimana untuk menghayati erti kemerdekaan dengan
meneladani semangat patriotisme pejuang, kesungguhan, kegigihan, perancangan, indoktrinasi
faham kemerdekaan dan lain-lain nilai lagi adalah manifestasi dari faham erti kemerdekaan
yang sebenarnya.
3.4 Manifestasi
erti kemerdekaan adalah bagaimana
memajukan sesuatu bangsa setelah merdeka dan menjadi tanggungjawab setiap
individu bangsa selanjutnya yang ditunjukkan oleh keberhasilannya mengatasi
berbagai masalah, tidak putus asa dan yakin akan kukohnya kesatuan bangsa. Persoalan yang
ada dihadapan kita adalah bagaimana untuk mencipta citra bangsa yang merdeka.
Bangsa ini mesti dibangunkan harga diri supaya menjadi bangsa yang terhormat
dan disegani. Membangunkan nilai-nilai ini harus berlaku secara kolektif bukan
sahaja dibahu pemimpin tetapi juga pada
upaya bangsa tersebut. Tidak hanya pada slogan-slogan yang indah
menjelang kemerdekaan atau logo-logo cantik yang sering dipamerkan.
3.5 Dato’
Dr Siddiq Fadzil telah menjelaskan bahawa kemerdekaan harus diisi dengan usaha pembinaan watak
bangsa dengan nilai al-izzah (Kemuliaan) mendidik mereka tentang erti
harga diri, maruah dan kehormatan sebagai suatu yang termahal, sesuatu yang
tanpanya hidup tidak bererti lagi, sesuatu yang menjadikan mereka bangsa yang
pantang dihina.
4.0 KEMERDEKAAN DAN MALAYSIA BAHARU.
Rakyat Malaysia telah membuka lembaran baru negara
apabila mereka bersama-sama membentuk tsunami yang paling besar dalam sejarah
politik Malaysia sejak kemerdekaan. Dalam banyak keadaan, sebahagian mereka
juga mengenepikan kecenderungan diri sendiri dan rasa kegusaran peribadi atas
apa-apa alasan semata-mata demi menukar kerajaan Persekutuan. Mereka telah
mengambil risiko mencipta harapan baru bersama Pakatan Harapan. Hasil dari
keberanian ini maka beberapa kesan telah menjelma antaranya;-
4,1 Kesuburan
demokrasi.
4.1.1 Demokrasi ialah kesepakatan rakyat untuk memilih sebahagian
orang yang akan memerintah dan mengatur urusan mereka. Dengan cara itu rakyat
terhindar daripada memilih seorang pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan
sistem yang menindas mereka. Demokrasi boleh difahami sebagai satu sistem yang
mempunyai undang-undang berprosedur yang mengkhususkan siapa yang berwibawa
untuk membuat sesuatu keputusan secara kolektif dan apakah prosedur yang harus
digunakan untuk membut keputusan (Azzam Tamimi, 2001: 10).
4.2 Kebebasan
berfikir.
4.2.1 Pejuang kemerdekaan dijulang bagi menyedarkan generasi baharu
terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan. Umat yang bebas dan merdeka, dapat
berfikir dengan bebas apa yang baik untuk diri, bangsa atau kepentingan umat
seluruhnya. Kebebasan kini diterjemahkan dengan pemasuhan beberapa akta yang
mengongkong pemikiran rakyat dan kesannya rakyat kini keluar dari rasa takut
yang telah mencengkam mereka sejak sekian lama.
4.2.2 Walaupun begitu, kebebasan yang diberikan bukan bermaksud
membiarkan gejala fitnah bermaharajalela. Undang-undang yang menyekat gejala
fitnah yang kini semakin menjadi-jadi mesti di aplikasikan. Inilah kemerdekaan
sebenar iaitu kemerdekaan jiwa dan
minda. Tanpanya, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan muslim
menyedari cabaran utama umat Islam setelah mencapai kemerdekaan fizikal adalah
membina jiwa dan minda merdeka.
4.3 Kebebasan
berbeza pandangan (Mengkritik).
4.3.1 Dr Yusuff Al-Qaradawy menulis suatu kitab ‘Adab al-ikhtilaf fi al-Islam’ menyorot beberapa segmen pertembungan
pemikiran dalam Islam yang melahirkan beberapa mazhab sebagai suatu yang subur,
indah dan bersifat semulajadi. Perbezaan pandangan itu merupakan suatu fenomena
yang baik dan perlu diurus dengan baik
supaya kesan pada umat juga akan jadi baik. Inilah konsep perbezaan
pandangan dalam Islam.
4.3.2 Malaysia baharu cuba untuk aplikasikan konsep perbezaan
pandangan serta membenarkan perbezaan ini diutarakan seluas-luasnya. Medium
untuk mengkritik pemerintah kini dalam pelbagai bentuk. Inilah kesan disebabkan
adanya globalisasi serta dunia tanpa sempadan. Ianya kelihatan lebih mudah
untuk sesiapa sahaja mempengaruhi dan meluahkan idea melalui kuasa politik, ekonomi serta sosial.
4.3.3 Namun kita sering diingatkan, serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri adalah pengganti kepada
serangan fizikal yang sentiasa mengalahkan mana-mana pihak dan menakutkan mereka, sedangkan umat Islam
sentiasa bersedia menghadapi cabaran fizikal itu dengan jayanya.
4.4 Keadilan
untuk semua.
4.4.1 Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan baharu akan terus melindungi
kepentingan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kebajikan kumpulan
marginal di negara ini. Rakyat daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina,
India serta warga Sabah dan Sarawak, telah mengundi kerajaan baharu, jadi
mereka harus bersikap adil kepada mereka. Usaha untuk menangani isu dan
pembaharuan berkaitan dengan pengurusan ekonomi dan kewangan negara tidak akan
menjejaskan mana-mana kumpulan seperti yang termaktub di bawah perlembagaan. Inilah
tugas utama untuk memastikan kerajaan
mengagihkan kekayaan ekonomi secara adil pada semua rakyat
4.5 Negara
tanpa rasuah.
4.5.1 Perkara utama
yang perlu wujud untuk sesebuah negara yang danggap bersih atau bebas dari
rasuah. Ia meski didukung sikap amanah
dan jujur pemimpinnya, penjawat awam malah rakyat seluruhnya. Inilah
ciri utama yang perlu wujud. Ini disebut oleh ulama dan tokoh besar sains
sosial Islam, Ibnu Khaldun dalam ‘Muqadimah
Ibnu Khaaldun’. Dia tidak menyebut rasuah, tetapi secara umumnya ia
menyebutkan menyelewengkan harta negara.
Negara yang begini, katanya, tidak akan ada keberkatan dari Ilahi. Oleh itu,
kata Ibnu Khaldun lagi, jika pemimpin sesebuah negara rosak, maka rosaklah
sesebuah negara itu dan rosaklah pula rakyat negara itu. Rasuah adalah najis
berat, walau sebesar manapun jumlahnya.
4.5.2 Ada lima
teras kepada memerangi rasuah ini diberikan tumpuan dalam usaha
untuk memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa
Malaysia baharu ini adalah ;-
a)
Mereformasi
SPRM menjadi sebagai badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada
Parlimen.
b)
Memberi
kuasa pendakwaan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah
c)
Menubuhkan
Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) untuk membolehkan SPRM
membuat pilihan sendiri pegawai dalam perkhidmatan SPRM.
d)
Memastikan
peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan
mereka dan
e)
Menjamin
hak pelantikan tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau
melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan tegas dan tanpa takut. Pelantikan
Ketua Pesuruhjaya akan dibuat oleh Yang Dipertuan Agung atas nasihat
jawatankuasa Parlimen.
5.0 Penutup.
5.1 Kesimpulannya adalah penting untuk
memahami dan menghayati tentang kewujudan kerajaan-kerajaan melayu di tanah air
suatu ketika dulu. Pemahaman ini dapat melahirkan kesedaran tentang wujudnya
satu tamadun Melayu yang tinggi pada zaman dahulu. Oleh itu harapan kami kepada
generasi masa kini ialah menghayati dan menghargai sejarah negara dan
seterusnya mengukuhkan jati diri terhadap tanah air. Fenomena ini juga
menjadikan tamadun Malaysia hari ini padat dengan gabungan asimilasi dan
sikritisme berbagai-bagai budaya yang membentuk budaya Malaysia yang unggul.
5.2 Kemerdekaan sejati hanya dapat
dicapai dengan penghayatan yang menyeluruh kepada ajaran yang suci. Sepatah
kata-kata Khalifah Umar bin al-Khattab: ‘Kami adalah kaum yang dimuliakan oleh
Allah dengan Islam, bila mana kami mencari kemuliaan selain dari Islam, kami
akan dihina oleh Allah.”
Janganlah hendaknya, kita hanya berjaya mengusir kolonialis yang menjajah kita secara langsung, tetapi membuka pintu kepada neo-kolonialisme yang menjajah semula secara tidak langsung, dalam bentuk pemikiran dan ideologi, cara hidup dan budaya, media dan teknologi, sistem kewangan dan pengagihan kekayaan dan layanan sosial yang tidak adil.
Janganlah hendaknya, kita hanya berjaya mengusir kolonialis yang menjajah kita secara langsung, tetapi membuka pintu kepada neo-kolonialisme yang menjajah semula secara tidak langsung, dalam bentuk pemikiran dan ideologi, cara hidup dan budaya, media dan teknologi, sistem kewangan dan pengagihan kekayaan dan layanan sosial yang tidak adil.
5.3 Tanggal 31 Ogos ini genap 61 tahun kita merdeka. Majoriti
rakyat adalah generasi selepas kemerdekaan dan anak mereka. Generasi muda
jumlahnya agak besar. Rata-ratanya mereka dibesarkan dalam keadaan yang selesa,
setelah negara mencapai kedudukan yang baik berbanding dengan negara
lain. Memahami erti kemerdekaan pada generasi kini tidak sama dengan
generasi awal yang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, namun yang lebih
penting adalah memahami erti kemerdekaan sebenar dan mengisi dengan nilai-nilai
pejuang seperti sanggup berkorban dan berusaha gigih tanpa jemu.
Rujukan.
Siddiq Fadzil. 2012.
Islam dan Melayu Martabat Umat Dan Daulat Rakyat. Selangor, Akademi Kajian
Ketamadunan.
____ 2014. Pendidikan
Al-Hikmah dan Misi Pencerahan. Kajang, Kolej Darul Hikmah.
____ 1992. Minda
Melayu Baru. Kuala Lumpur. Institut
Kajian Dasar.
Saifuddin Abdullah. 2008.
Kuala Lumpur, Institut Terjemahan Negara Malaysia.
11 September 2018, 01 Muharram 1440 Hijrah ~ Pondok Tarbiyyah Masyarakat, Batu Hampar.