GAGASAN PEMIKIRAN SISTERS IN ISLAM (SIS)
DAN ISU-ISU YANG MENIMBULKAN KONTROVERSI BERKAITAN
AJARAN SERTA PEGANGAN ISLAM.
1.0 PREMIS DASAR.
Malaysia adalah sebuah negara yang
subur dengan gerakan dakwah yang telah mewarnai lanskap keIslaman seawal tahun
70an lagi. Sarjana sejarah tempatan Muhammad (1997) menjelaskan gelombang
dakwah Islamiah telah merubah citra dan pemikiran agama Islam dengan
mencetuskan keaktifan organisasi dakwah masa itu dengan begitu agresif, asertif
dan emotif menjaja idea Islam sebagai satu cara hidup. Idea Islam sebagai
alternatif kepada sistem nilai dan ideologi sekular, serta Islam sebagai
penyelesaian pelbagai masalah.
Gerakan dakwah menjadi semakin
perlahan apabila musuh-musuh Islam yang mula menggugat dan menyusup masuk dari luar atas nama kebebasan bersuara. Inilah cabaran yang sedang melanda negara mutakhir ini. Sarjana tempatan seperti
Mohd Azizuddin (2002) menjelaskan dalam sesebuah negara yang mengamalkan
pemerintahan sistem demokrasi kebebasan mengeluarkan pendapat adalah salah satu
hak asas dalam sistem tersebut. Sistem
ini menjamin hak rakyat menyatakan pendapat dan bersuara dalam pembentukan
undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan ke atas mereka. Kebebasan
bersuara dan hak asasi manusia adalah dua tema yang selalu digunakan oleh
pihak-pihak tertentu untu menghalalkan tindakan mereka.