Isnin, 24 September 2018

MEWAKILI YAB DATO MENTERI BESAR KEDAH KE MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI JABATAN IMIGRESEN NEGERI KEDAH

TEKS UCAPAN MENTERI BESAR KEDAH YANG DIWAKILI OLEH  DATO SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI.

BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI TAALA WABARAKATUH DAN
SALAM SEJAHTERA.

TUAN YANG TERUTAMA, KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI SONGKLA, THAILAND, MOHD APANDI BIN ABU BAKAR,

YANG BERUSAHA, PENGARAH IMIGRESEN NEGERI KEDAH, TUAN ZUHAIR BIN JAMALUDIN,

YANG BERUSAHA, PENGARAH KASTAM NEGERI KEDAH, DATO' JOHARI BIN ALIFIAH,

YANG BERUSAHA, TUAN OCPD KUBANG PASU, SUPT. ISMAIL BIN IBRAHIM,

YANG DIHORMATI, PENGARAH PROJEK ICQS BUKIT KAYU HITAM, NORTHEN GATEWAY INFRASTRUCTURE SDN. BHD. ENCIK KHAIRUDDIN BIN OTHMAN,

YANG BERUSAHA PEGAWAI MEMERINTAH 5 REGIMEN SEMPADAN, LT. KOLONEL MOHYEDDIN BIN MOHD AMIN,

YANG BERUSAHA, TUAN PEGAWAI DAERAH KUBANG PASU MERANGKAP YANG DIPERTUA MAJLIS DAERAH KUBANG PASU, HAJI MOHD FISOL BIN MD NOH,

YANG BERUSAHA TUAN SETIAUSAHA MAJLIS DAERAH KUBANG PASU, ENCIK SYED AMALUDDIN HAFEEZ BIN SYED MUSA,

YANG BERUSAHA TUAN D.O SADAO, THAILAND, MR. BOON PAS RAKNUI.
CHIEF OF CUSTOMS SADAO, CHIEF OF IMMGRATION SADAO THAILAND,

DAN KETUA-KETUA JABATAN/AGENSI  KOMPLEKS ICQS BUKIT KAYU HITAM.

TUAN-TUAN DAN PUAN PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

     BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBBAHANU WA TAALA DI ATAS LIMPAH KURNIA SERTA REZEKI YANG DICURAHKAN, KASIH DAN SAYANG–NYA MENGIZINKAN KITA SEMUA UNTUK MELAPANGKAN MASA, MEMERIAHKAN SUASANA AIDIL FITRI MINAL AIDIL WAL FAIZIN DI BULAN SYAWAL PADA TAHUN INI DI KOMPLEKS ICQS BUKIT KAYU HITAM KEDAH.

     TERLEBIH DAHULU SAYA  SAYA BAGI PIHAK  MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN,  DATO SERI HAJI MUKHRIZ BIN TUN MAHATHIR MEMOHON MAAF KERANA BELIAU TIDAK DAPAT HADIR BERSAMA-SAMA KITA PADA MALAM INI KERANA ADA URUSAN-URUSAN RASMI YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN. SAYA JUGA MEWAKILI PIHAK MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SELURUH DIF-DIF KEHORMAT SERTA WARGA ICQS BUKIT KAYU HITAM.

HADIRIN DAN HADIRAT SEKALIAN,

     30 HARI BERPUASA DI BULAN RAMADHAN MENGAJAR KITA BANYAK PERKARA. KITA DILATIH MELAWAN NAFSU, MULUT DIHALANG DARI MENGUMPAT DAN MENGEJI, PERUT DIKEKANG DARI DIISI DENGAN PELBAGAI MAKANAN, TELINGA DAN MATA PULA DIPASTIKAN TIDAK MENDENGAR DAN MELIHAT PERKARA-PERKARA YANG HARAM. PADA MASA YANG SAMA, RAMADHAN MELATIH KITA MENGERJAKAN BANYAK AMALAN SUNAT SEPERTI MEMBACA AL-QURAN, BERSEMBAHYANG SUNAT, BERSEDEKAH, BERZAKAT, BERZIKIR DAN BERTAFAKUR.

     LATIHAN YANG KITA AMALKAN DALAM BULAN PUASA INI DAPAT MEMBANTU KITA MEMBENTUK SIKAP POSITIF YANG PERLU DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN. PERKARA-PERKARA YANG SAYA NYATAKAN INI HARUS KITA AMALKAN BUKAN SAHAJA DI BULAN RAMADHAN TAPI DITERUSKAN DALAM BULAN-BULAN YANG LAIN.

HADIRIN DAN HADIRAT SEKALIAN,

      EID-UL FITR ATAU HARI RAYA AIDIL FITRI BERASAL DARI BAHASA ARAB
YANG BERMAKSUD BERULANG-ULANG PADA TIAP-TIAP TAHUN. HARI RAYA AIDIL FITRI YANG JUGA TERKENAL DENGAN NAMA ‘HARI RAYA PUASA’ DI KALANGAN MASYARAKAT KITA, DISYARIATKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK UMAT ISLAM MERAYAKANNYA. IANYA DISAMBUT BAGI MENANDAKAN KESYUKURAN UMAT ISLAM DI ATAS KEJAYAAN MEREKA MELAKSANAKAN KEMENANGAN MEREKA DALAM PERJUANGAN MENAHAN HAWA NAFSU DARI PERKARA-PERKARA YANG DITEGAH DI DALAM BULAN PUASA.

RASULULLAH PERNAH BERSABDA YANG BERMAKSUD:
           
‘BAGI ORANG YANG BERPUASA ITU DUA KEGEMBIRAAN,                      PERTAMAKEGEMBIRAAN KETIKA MEREKA BERBUKA DAN KEDUA KEGEMBIRAANMEREKA KETIKA BERTEMU DENGAN TUHAN-NYA YANG MAHA PEMURAH’.

     UMAT ISLAM MERAYAKAN HARI RAYA INI DENGAN PENUH KESYUKURAN DAN DENGAN PELBAGAI JENIS AMAL BAKTI YANG DIREDHAI OLEH ALLAH S.W.T. SEPERTI SEMBAHYANG HARI RAYA, ZIARAH MENZIARAHI SESAMA KITA, BERSEDEKAH DAN LAIN-LAIN LAGI. DI HARI LEBARAN INILAH KITA  SEHARUSNYA MEMANJATKAN KESYUKURAN KERANA MASIH LAGI HIDUP DAN BERPELUANG BERTEMU SANAK SAUDARA MAHUPUN SAHABAT HANDAI YANG MUNGKIN TERPISAH BUAT SEMENTARA WAKTU.

     AIDIL FITRI JUGA ADALAH SAAT DI MANA KITA HARUS MELAPANGKAN DADA SERTA FIKIRAN BERMAAF-MAAFAN SESAMA SENDIRI. ANDAI TERSILAP BICARA, TERKASAR BAHASA, HULURKAN LAH KEDUA BELAH TANGAN DENGAN PENUH KEIKHLASAN MEMOHON AMPUN DAN MAAF BAIK DI KALANGAN AHLI KELUARGA SENDIRI, SAHABAT, TEMAN, RAKAN SEPEJABAT, JIRAN TETANGGA TANPA MENGENAL USIA. MURNIKAN LAH BULAN SYAWAL INI DENGAN SALING BERMAAF-MAAFAN BAGI MENGGUKUHKAN DAN MEMPERERATKAN LAGI TALI SILATURRAHIM KERANA BULAT AIR KERANA PEMBENTUNG, BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT. SEPERTI MANA BAIT-BAIT PEPATAH INGGERIS, LET’S US FORGIVES AND FORGET.

     BILA KITA SUDAH BERMAAFAN PASTI AKAN WUJUD RASA KETENANGAN DALAM DIRI KITA. RASA KETENANGAN YANG TERBIT DARI KEJUJURAN HATI KITA ITU SUDAH CUKUP MENANDAKAN KITA TELAH BERMUHASABAH DAN BERMUJAHADAH DALAM MELAWAN HAWA NAFSU ATAU MUNGKIN SIFAT-SIFAT MAZMUMAH YANG BERTAKHTA DI HATI KITA SELAMA INI TELAH GUGUR DARI TANGKAL KEDEGILAN.

     TATKALA BERKUMANDANG SAHAJA TAKBIR RAYA SECARA SIMBOLIKNYA KITA SEMUA UMAT ISLAM TIDAK KIRA DI RAYA AIDIL FITRI YANG JUGA TERKENAL DENGAN NAMA ‘HARI RAYA PUASA’ DI KALANGAN MASYARAKAT KITA, DISYARIATKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK UMAT ISLAM MERAYAKANNYA. IANYA DISAMBUT BAGI MENANDAKAN KESYUKURAN UMAT ISLAM DI ATAS KEJAYAAN MEREKA MELAKSANAKAN KEMENANGAN MEREKA DALAM PERJUANGAN MENAHAN HAWA NAFSU DARI PERKARA-PERKARA YANG DITEGAH DI DALAM BULAN PUASA.

     SEBELUM MENGAKHIRI UCAPAN PADA MALAM INI, SAYA  INGIN MENGUCAPKAN SYABAS DAN TAHNIAH JUGA DIUCAPKAN KEPADA AHLI JAWATANKUASA MAJLIS AIDILFITRI BERSAMA ICQS BUKIT KAYU HITAM KERANA KESUNGGUHAN DAN DEDIKASI ANDA SEMUA DALAM MEMASTIKAN KELANCARAN DAN KELANGSUNGAN PROGRAM PADA MALAM INI.

SAYA SUDAHI DENGAN WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI TAALA WABARAKATUH.

                         11 Julai 2018, 27 Syawal 1439 Hijrah ~ Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

TEKS UCAPAN SELEPAS PERLANTIKAN SEBAGAI SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH


  Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar, Ahli-ahli yang berhormat.  Alhamdulillah dan ucapan terima kasih atas perlantikan yang amat bersejarah ini. Walaupun kita terpaksa melakukan pengundian namun inilah demokrasi yang kita idam-idamkan. Dan kita telah menterjemahkan amalan demokrasi yang sihat semasa proses perlantikan Speaker kali ini. Sesungguhnya jawatan ini adalah suatu tanggungjawab serta beban dan bukannya kemegahan dan kemewahan (Taklif wala tashriff).  Sesungguhnya kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya sebagai  speaker dewan undangan negeri Kedah untuk penggal yang ke 14 ini, akan saya  pikul dengan kerjasama dan bantuan dari semua ahli-ahli Yang Berhormat.

  Adalah menjadi tanggungjawab semua ahli-ahli Yang Berhormat samada di pihak kerajaan ataupun oposisi menjalankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat negeri Kedah dalam pilihanraya yang lalu. Oleh kerana ini adalah sidang yang pertama dan kita mempunyai agenda penting untuk mengangkat sumpah semua ahli-ahli Yang Berhormat maka saya mempersilakan Setiausaha Dewan untuk memulakan majlis ini. Dipersilakan.

               UCAPAN SEBELUM PENANGGUHAN SIDANG DEWAN
   Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar, Semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Setiausaha Dewan Undangan Negeri , semua Ketua-ketua Jabatan hadirin dan hadirat sekelian, Izinkan saya sebelum menanguhkan persidangan dewan hari ini memberikan sepatah dua kata sebagai suatu tazkirah untuk kita semua.

  KDYMM Tuanku Sultan semasa bertitah dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan telah memberikan beberapa nasihat yang amat berguna kepada kita semua. Saya meneliti titah ucapan Tuanku dan rasanya titah ini amat-amat bermanfaat untuk kita hayati dan amalkan, khususnya kepada ahli-ahli YB sekelian, Antara inti pati penting titah baginda adalah  : -
i)             Baginda meminta semua pihak perlulah melupakan perselisihan yang berlaku semasa proses pilihan raya umum lalu dan kembali bersatu di bawah bendera negeri Kedah. Sehubungan dengan titah Tuanku ini, marilah kita jadikan agenda baru, Kedah baharu dalam kerangka Malaysia baharu dengan suatu keazaman untuk melihat kemakmuran, kebahagian dan keadilan dapat direalisasikan. Fokus kita kini adalah untuk membangunkan dan memajukan negeri Kedah. Masing-masing ada peranan. Melihat kepada situasi  dalam negeri Kedah proses pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia amnya dan Kedah Darul Aman khususnya  harus berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.
ii)           Baginda juga  ingin melihat proses ‘semak dan seimbang’ ini berfungsi bagi menjaga kepentingan rakyat . Berbincanglah dengan berhemah, berbudi bahasa dan jujur. Berpeganglah dengan pepatah lama, ‘yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua’ baginda mahu pihak pembangkang memainkan peranan dalam membantu kerajaan negeri untuk berada di landasan yang betul demi menjaga kepentingan rakyat negeri Kedah. Sehubungan dengan itu kita akan membuat reformasi dalam urusan pengendalian DUN diperingkat negeri Kedah. Beberapa inisiatif dan anjakan telahpun diumumkan oleh YAB Dato Seri Menteri Besar seperti peruntukan kepada semua YB-YB tanpa mengira kawasan samada pemerintah ataupun oposisi. Saya merasakan pejabat YAB Menteri Besar dan pejabat ahli Exco terbuka untuk menerima kunjungan dan bertukar-tukar pandangan dengan semua ahli-ahli YB termasuk oposisi, demi untuk kemaslahatan rakyat negeri Kedah.
iii)             Baginda juga beranggapan setiap wakil yang dilantik mempunyai tanggungjawab yang sama. Pihak yang berjaya menubuhkan kerajaan hendaklah melaksanakan tugas dengan amanah, ikhlas dan jujur. Baginda turut mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan kepentingan rakyat sebaliknya, menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat. Marilah kita jadikan medan politik dan siasah negeri Kedah ini menampakkan kematangan dan kewarasan dalam tindakan. Ahli-ahli YB bukan anggota kerajaan tidak akan dipisahkan semasa ahli-ahli Exco melawat dan turun mengadakan program atau aktiviti di kawasan tertentu, YB-YB dari oposisi juga wajar dijemput untuk turut bersama atas kapasiti YB yang telah dipilih oleh rakyat. 

iv)          Selain itu baginda Tuanku Sultan juga bertitah bahawa jawatan yang disandang ini bukan satu keistimewaan, ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa syukur, ikhlas, berintegriti dan amanah. Layanlah rakyat dengan penuh berhemah dan buktikanlah bahawa rakyat telah membuat pilihan yang tepat. Semua Ahli-ahli Yang Berhormat  yang dilantik ini dapat menumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman untuk berkhidmat dalam memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan negeri Kedah dapat terus membangun dalam semua bidang. Rakyat di negeri Kedah terdiri dari pelbagai rumpun bangsa ada Melayu, China , India, Siam dan lain-lain. Begitu juga dengan agama ada Islam, Buddis, Hindu, dan lain-lain, Mereka telah menghantar YB untuk menyuarakan aspirasi dan hajat mereka maka harmonikan suasana  dengan meningkatkan dialog antara kaum dan agama dengan menggunakan bingkai kesatuan yang sedia ada, contohnya: Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Semua ini boleh menjadi alemen penyatuan kaum dan keharmonian kehidupan dana meningkatkan perkenalan lintas ras dan budaya. Sebagaimana yang telah Allah swt firmankan dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)

v)                Prof. Dato’  Dr Siddiq Fadzil menyatakan bahawa para ulama dan cendiakawan perlu memikirkan ijtihad  dalam fiqh politik baharu yang melibatkan tafsiran segar dan realistik. Kategori kafir dhimmi tidak relevan lagi. Kita perlu mengiktiraf semua rakyat (Muslim dan bukan-Muslim) sebagai saudara sewarga negara penuh. Istilah ummah harus termasuk ummah Malaysia, bukannya ummah Islam sahaja. Istilah ukhuwah harus termasuk ukhuwah se-Malaysia, bukannya ukhuwah Islamiah sahaja.    

vi)              Kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang baru, boleh belajar dari ahli yang telah vateran dan memahami selok belok persidangan dan ucapan dalam Dewan Undangan Negeri.  Saya sangat mengharapkan perbahasan dan ucapan semua Ahli-ahli YB akan lebih mantap dengan pandangan-pandangan yang bernas penuh fakta dan membuat rujukan yang tepat. Sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat ingin menegur mana-mana pihak gunakan  bahasa yang sopan sebagai lambang kita orang Timur yang penuh dengan dbudaya dana adat sopan,  dan sifat agama Islam itu sendiri yang menggalakan penggunaan bahasa yang lemah lembut untuk mengritik dan memberikan pandangan.  Buku  Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman akan menjadi kitap rujukan utama semasa urusan sidang dewan ini. Tolong baca dan faham peraturan yang telah ditetapkan.

vii)         Akhir kalam, Sebelum saya menangguhkan sidang Dewan kali ini sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat yang telah terpilih menganggotai Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman yang ke 14 ini.  Marilah kita berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah swt agar kita dapat menjalankan tanggungjawan yang diamanahkan kepada kita dengan sebaik-baiknya samada di dalam dewan ataupun dikawasan masing-masing.

                     04 Julai 2018, 20 Syawal 1439 Hijrah ~ Dewan Undangan Negeri Kedah.

 

Isnin, 3 September 2018

Kertas Pembentangan di Program WAP Pulau Pinang


MENJIWAI ERTI KEMERDEKAAN
DALAM MALAYSIA BAHARU.

Oleh : Dato’ Ahmad bin Kasim.
Speaker DUN Kedah.

“Kemerdekaan harus diisi dengan usaha pembinaan watak bangsa dengan nilai al-izzah, mendidik mereka tentang erti harga diri, maruah dan kehormatan sebagai suatu yang termahal, sesuatu yang tanpanya hidup tidak bererti lagi, sesuatu yang menjadikan mereka bangsa yang pantang dihina”                                                 Dato’ Dr Siddiq Fadhil
1.0       Premis Dasar.
1.1       Semua jiwa akan merasa tenang dan tenteram apabila bebas daripada sebarang bentuk penjajahan khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara. Kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun, pengertian kemerdekaan sangat luas, tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara daripada cengkaman kuasa asing semata-mata. Kertas ini akan membahaskan erti kemerdekaan sebenar yang diharapkan , serta pengisian yang wajar diberikan dalam konteks Malaysia baharu kini.
1.2       "Berilah layanan yang baik kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, orang perantauan dan hamba abdi kamu. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang angkuh dan membanggakan diri."
(Surah al-Nisa, ayat 36)
1.3       Oleh itu generasi kini mesti menjiwai erti kemerdekaan dalam skop yang lebih luas, kerana era penjajahan sudah terlepas jauh dari pandangan mereka. Mereka sudah melepasi waktu dan tidak dapat melihat bangsa yang berada dalam segmen penjajahan ketenteraan dan pentadbiran. Suatu segmen kehidupan yang penuh traumatik dan menghadapi survival hidup yang sangat mencabar. Namun amat wajar generasi kini memikirkan pengisian kemerdekaan pasca penjajahan.
1.4       Dato’ Dr Siddiq Fadzil (2012) menggambarkan bahawa kemerdekaan yang telah dicapai adalah kurniaan Ilahi yang seharusnya disyukuri dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kegagalan mewaspadai gejala-gejala tersebut akan sekali lagi menjerumus kita ke dalam era penjajahan yang hanya bertukar wajah. Selanjutnya beliau memetik pandangan Malik Bennabi yang menyorot titik-titik kelemahan umat yang dijajah  yang berlaku bukan hanya disebabkan kerakusan dan sikap penjajah, tetapi lebih disebabkan oleh kerosakan dalaman masyarakat pribumi seperti masalah jiwa, minda,dan budaya masyarakat yang akan mengamit serta merangsang dan seterusnya akan membuka ruang kepada penjajahan.
1.5       Tokoh pemikir gerakan islah awal abad lalu , Amir Shakib Arsalan menyentuh persoalan ini dalam konteks kemunduran umat Islam. Beliau telah menyimpulkan masaalah utama adalah berpunca daripada kerosakan hati yang kian memudaratkan dan menepati ayat 10 surah al-Baqarah yang telah menyebut tentang perihal kelompok manusia yang hatinya berpenyakit, lalu Tuhan menambahnya lagi menjadi semakin parah. Akibat penyakit hati yang parah itu menjadikan sebilangan daripada mereka pak turut kepada penjajah dan musuh-musuh Islam , persis golongan yang disebut dalam al-Quran  pada surah al-Tawbah ayat 48 sebagai samma’un lahum.(Arsalan,1975:143)
2.0       Sejarah dan kesan jangka panjang penjajahan.
2.1       Kedatangan kuasa-kuasa asing ke Tanah Melayu pada mulanya hanyalah sebagai pedagang-pedagang yang hanya berniaga di negeri Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, oleh kerana terdapat beberapa kelemahan dan masalah dalam negeri Melayu, kuasa-kuasa asing ini mengambil peluang untuk menjajah negara Malaysia. Tambahan pula kuasa-kuasa asing sememangnya mempunyai sebab utama untuk menjajah negara-negara Asia Tenggara.
2.2       Fasa-fasa penjajahan keatas Tanah Melayu oleh kuasa asing bermula dengan penjelajahan pada abad ke-15 oleh Alfonso De Albuquerque yang dilantik sebagai Wizurai Portugis di India sebelum menawan Kota Melaka pada tahun 1511. Selepas dari Portugis satu demi satu penjajahan asing menawan Tanah Melayu bermula dengan Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824), British    (1824-1957), Jepun      (1941-1945). British adalah penjajah asing yang paling lama dan  telah menduduki negara ini lebih daripada 150 tahun. 
2.3       Sepanjang era penjajahan ini, maka lahirlah sejumlah pejuang kemerdekaan yang sentiasa membakar semangat rakyat untuk bangkit menentang penjajah samada atas faktor agama, politik ataupun ekonomi. Penjajahan kuasa asing  sebenarnya tidak menyenangkan hati orang-orang Melayu. Penentangan terhadap kuasa asing  telah berlaku sejak mula Portugis menakluki Melaka lagi. Pembesar-pembesar Johor, misalnya telah beberapa kali cuba membebaskan Melaka daripada cengkaman Portugis. Penentangan yang sama turut diperlihatkan terhadap Belanda.
2.4       Namun begitu, reaksi yang kuat diberikan terhadap penaklukan Inggeris yang bermula sejak tahun 1947. Campur tangan Inggeris terhadap pentadbiran Raja-raja Melayu di Tanah Melayu dan penaklukan Borneo Utara, telah mendorong kepada penentangan secara terbuka. Di Naning, misalnya, Dol Said mengepalai penentangan terhadap pentadbiran Inggeris, Dato’ Maharajalela mengetuai pembunuhan J. W. W. Birch di Perak, Sharif Masahor, Rentap dan Banting di Sarawak, Mat Salleh di Sabah, Dato’ Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu.
2.5       Kemuncak penentangan berlaku selepas Perang Dunia ke-2, iaitu selepas kekalahan Jepun. Tentera British telah kembali ke Tanah Melayu untuk memulihkan keadaan. Satu bentuk pentadbiran tentera yang dinamakan British Military Administration (BMA) diwujudkan. Walau bagaimanapun, BMA tidak dapat memulihkan keamanan. Akhirnya pihak British berusaha mengembalikan semula pentadbiran awam. Tujuan mereka adalah untuk mendirikan satu pusat pentadbiran yang kuat.
2.6       Namun Dato’ Dr Siddiq Fadzil merumuskan bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan yang sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi pertiwi. Dunia masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha rebuilding, pemulihan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan ratusan tahun selama era penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan bahaya jebakan penjajahan bentuk baru, penjajahn budaya, penjajahan ekonomi, hegemoni, dominasi, globalisasi dan seumpamanya.
2.7       Adakah kibaran Jalur Gemilang pada 31 Ogos saban tahun telah berjaya  menzahirkan erti kemerdekaan sebagaimana yang diingini atau ia cuma suatu acara kesyukuran dan kegembiraan terhadap kemerdekaan negara. Atau acara tahunan bagi memeriahkan lagi kegembiraan itu supaya dapat dikongsi seluruh rakyat Malaysia sebagai tindak balas patriotik terhadap tanah air tercinta.
3.0       Citra Bangsa Merdeka
3.1       Perjuangan merebut kemerdekaan tidak hanya lahir dari nyalaan semangat patriolisme dan nasionalisme dalam pemikiran sempit , tetapi lebih daripada itu ia tercetus dari semangat jihad demi agama, bangsa dan negara. Apa yang disebut dalam cacatan kolonial sebagai kebangkitan religious fanaticism itu pada hakikatnya tidak lain adalah merupakan semangat jihad melawan penjajahan (Siddiq Fadzil, 2012).  
3.2       Kemerdekaan negara tidaklah semudah membalikkan telapak tangan. Perjalanan panjang yang melelahkan, pengorbanan jiwa raga yang menyakitkan dan pengorbanan harta yang selalu menguji keikhlasan. Semuanya menuntut suatu pengorbanan dan luka yang dalam. Yang harus diperhatikan adalah dengan apabila telah  merdeka, bukan berarti segala apa yang diinginkan boleh didapatkan dengan mudah tanpa perjuangan dan kerja keras.
3.3       Oleh itu terdapat dua perkara utama antara mengetahui sejarah kemerdekaan dengan memahami erti kemerdekaan. Al-ilmu dengan al-fahmu adalah dua tajuk yang berbeza. Subjek sejarah yang diajar disekolah dan uji dalam perperiksaan hanyalah memaklumkan topik-topik mengenai susunan tarikh dan fakta pejuangan mencapai kemerdekaan serta tokoh-tokoh tertentu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Bagaimana untuk menghayati erti kemerdekaan dengan meneladani semangat patriotisme pejuang, kesungguhan, kegigihan, perancangan, indoktrinasi faham kemerdekaan dan lain-lain nilai lagi  adalah manifestasi dari faham erti kemerdekaan yang sebenarnya.
3.4       Manifestasi  erti kemerdekaan adalah bagaimana memajukan sesuatu bangsa setelah merdeka dan menjadi tanggungjawab setiap individu bangsa selanjutnya yang ditunjukkan oleh keberhasilannya mengatasi berbagai masalah, tidak putus asa dan yakin akan kukohnya kesatuan bangsa. Persoalan yang ada dihadapan kita adalah bagaimana untuk mencipta citra bangsa yang merdeka. Bangsa ini mesti dibangunkan harga diri supaya menjadi bangsa yang terhormat dan disegani. Membangunkan nilai-nilai ini harus berlaku secara kolektif bukan sahaja dibahu pemimpin tetapi juga pada  upaya bangsa tersebut. Tidak hanya pada slogan-slogan yang indah menjelang kemerdekaan atau logo-logo cantik yang sering dipamerkan.
3.5       Dato’ Dr Siddiq Fadzil telah menjelaskan bahawa kemerdekaan harus diisi dengan usaha pembinaan watak bangsa dengan nilai al-izzah (Kemuliaan) mendidik mereka tentang erti harga diri, maruah dan kehormatan sebagai suatu yang termahal, sesuatu yang tanpanya hidup tidak bererti lagi, sesuatu yang menjadikan mereka bangsa yang pantang dihina.
4.0       KEMERDEKAAN DAN MALAYSIA BAHARU.
Rakyat Malaysia telah membuka lembaran baru negara apabila mereka bersama-sama membentuk tsunami yang paling besar dalam sejarah politik Malaysia sejak kemerdekaan. Dalam banyak keadaan, sebahagian mereka juga mengenepikan kecenderungan diri sendiri dan rasa kegusaran peribadi atas apa-apa alasan semata-mata demi menukar kerajaan Persekutuan. Mereka telah mengambil risiko mencipta harapan baru bersama Pakatan Harapan. Hasil dari keberanian ini maka beberapa kesan telah menjelma antaranya;-

4,1       Kesuburan demokrasi.
4.1.1      Demokrasi ialah kesepakatan rakyat untuk memilih sebahagian orang yang akan memerintah dan mengatur urusan mereka. Dengan cara itu rakyat terhindar daripada memilih seorang pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan sistem yang menindas mereka. Demokrasi boleh difahami sebagai satu sistem yang mempunyai undang-undang berprosedur yang mengkhususkan siapa yang berwibawa untuk membuat sesuatu keputusan secara kolektif dan apakah prosedur yang harus digunakan untuk membut keputusan (Azzam Tamimi, 2001: 10).

4.2       Kebebasan berfikir. 
4.2.1    Pejuang kemerdekaan dijulang bagi menyedarkan generasi baharu terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan. Umat yang bebas dan merdeka, dapat berfikir dengan bebas apa yang baik untuk diri, bangsa atau kepentingan umat seluruhnya. Kebebasan kini diterjemahkan dengan pemasuhan beberapa akta yang mengongkong pemikiran rakyat dan kesannya rakyat kini keluar dari rasa takut yang telah mencengkam mereka sejak sekian lama.
4.2.2    Walaupun begitu, kebebasan yang diberikan bukan bermaksud membiarkan gejala fitnah bermaharajalela. Undang-undang yang menyekat gejala fitnah yang kini semakin menjadi-jadi mesti di aplikasikan. Inilah kemerdekaan sebenar iaitu  kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpanya, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan muslim menyedari cabaran utama umat Islam setelah mencapai kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.
4.3       Kebebasan berbeza pandangan (Mengkritik).
4.3.1      Dr Yusuff Al-Qaradawy menulis suatu kitab ‘Adab al-ikhtilaf fi al-Islam’ menyorot beberapa segmen pertembungan pemikiran dalam Islam yang melahirkan beberapa mazhab sebagai suatu yang subur, indah dan bersifat semulajadi. Perbezaan pandangan itu merupakan suatu fenomena yang baik dan perlu diurus dengan baik  supaya kesan pada umat juga akan jadi baik. Inilah konsep perbezaan pandangan dalam Islam.
4.3.2      Malaysia baharu cuba untuk aplikasikan konsep perbezaan pandangan serta membenarkan perbezaan ini diutarakan seluas-luasnya. Medium untuk mengkritik pemerintah kini dalam pelbagai bentuk. Inilah kesan disebabkan adanya globalisasi serta dunia tanpa sempadan. Ianya kelihatan lebih mudah untuk sesiapa sahaja mempengaruhi dan meluahkan idea melalui  kuasa politik, ekonomi serta sosial.
4.3.3      Namun kita sering diingatkan, serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri adalah pengganti kepada serangan fizikal yang sentiasa mengalahkan mana-mana pihak  dan menakutkan mereka, sedangkan umat Islam sentiasa bersedia menghadapi cabaran fizikal itu dengan jayanya.
            4.4       Keadilan untuk semua.
4.4.1      Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan baharu akan terus melindungi kepentingan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kebajikan kumpulan marginal di negara ini. Rakyat daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India serta warga Sabah dan Sarawak, telah mengundi kerajaan baharu, jadi mereka harus bersikap adil kepada mereka. Usaha untuk menangani isu dan pembaharuan berkaitan dengan pengurusan ekonomi dan kewangan negara tidak akan menjejaskan mana-mana kumpulan seperti yang termaktub di bawah perlembagaan. Inilah tugas utama untuk memastikan  kerajaan mengagihkan kekayaan ekonomi secara adil pada semua rakyat

            4.5       Negara tanpa rasuah.
4.5.1      Perkara utama yang perlu wujud untuk sesebuah negara yang danggap bersih atau bebas dari rasuah.  Ia meski didukung sikap amanah dan jujur pemimpinnya, penjawat awam malah rakyat seluruhnya. Inilah ciri utama yang perlu wujud. Ini disebut oleh ulama dan tokoh besar sains sosial Islam, Ibnu Khaldun dalam ‘Muqadimah Ibnu Khaaldun’. Dia tidak menyebut rasuah, tetapi secara umumnya ia menyebutkan  menyelewengkan harta negara. Negara yang begini, katanya, tidak akan ada keberkatan dari Ilahi. Oleh itu, kata Ibnu Khaldun lagi, jika pemimpin sesebuah negara rosak, maka rosaklah sesebuah negara itu dan rosaklah pula rakyat negara itu. Rasuah adalah najis berat, walau sebesar manapun jumlahnya.

4.5.2      Ada lima teras kepada memerangi rasuah ini diberikan tumpuan dalam usaha untuk memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa Malaysia baharu ini adalah ;-

a)       Mereformasi SPRM menjadi sebagai badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
b)       Memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah
c)       Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) untuk membolehkan SPRM membuat pilihan sendiri pegawai dalam perkhidmatan SPRM.
d)      Memastikan peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan mereka dan
e)       Menjamin hak pelantikan tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan tegas dan tanpa takut. Pelantikan Ketua Pesuruhjaya akan dibuat oleh Yang Dipertuan Agung atas nasihat jawatankuasa Parlimen.
5.0       Penutup.
5.1       Kesimpulannya adalah penting untuk memahami dan menghayati tentang kewujudan kerajaan-kerajaan melayu di tanah air suatu ketika dulu. Pemahaman ini dapat melahirkan kesedaran tentang wujudnya satu tamadun Melayu yang tinggi pada zaman dahulu. Oleh itu harapan kami kepada generasi masa kini ialah menghayati dan menghargai sejarah negara dan seterusnya mengukuhkan jati diri terhadap tanah air. Fenomena ini juga menjadikan tamadun Malaysia hari ini padat dengan gabungan asimilasi dan sikritisme berbagai-bagai budaya yang membentuk budaya Malaysia yang unggul.

5.2       Kemerdekaan sejati hanya dapat dicapai dengan penghayatan yang menyeluruh kepada ajaran yang suci. Sepatah kata-kata Khalifah Umar bin al-Khattab: ‘Kami adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, bila mana kami mencari kemuliaan selain dari Islam, kami akan dihina oleh Allah.”
Janganlah hendaknya, kita hanya berjaya mengusir kolonialis yang menjajah kita secara langsung, tetapi membuka pintu kepada neo-kolonialisme yang menjajah semula secara tidak langsung, dalam bentuk pemikiran dan ideologi, cara hidup dan budaya, media dan teknologi, sistem kewangan dan pengagihan kekayaan dan layanan sosial yang tidak adil.

5.3       Tanggal 31 Ogos ini genap 61 tahun kita merdeka. Majoriti rakyat adalah generasi selepas kemerdekaan dan anak mereka. Generasi muda jumlahnya agak besar. Rata-ratanya mereka dibesarkan dalam keadaan yang selesa, setelah negara mencapai kedudukan yang baik berbanding dengan negara lain. Memahami erti kemerdekaan pada generasi kini tidak sama dengan generasi awal yang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, namun yang lebih penting adalah memahami erti kemerdekaan sebenar dan mengisi dengan nilai-nilai pejuang seperti sanggup berkorban dan berusaha gigih tanpa jemu.





Rujukan.

Siddiq Fadzil. 2012. Islam dan Melayu Martabat Umat Dan Daulat Rakyat. Selangor, Akademi Kajian Ketamadunan.
____ 2014. Pendidikan Al-Hikmah dan Misi Pencerahan. Kajang, Kolej Darul Hikmah.
____ 1992. Minda Melayu  Baru. Kuala Lumpur. Institut Kajian Dasar.
Saifuddin Abdullah. 2008. Kuala Lumpur, Institut Terjemahan Negara Malaysia.



Khamis, 24 November 2016

PEMIKIRAN MAQASID AL-SYARIAH ANWAR IBRAHIM.

Ketika menulis artikel mengenai isu Maqasid Al-Syariah , beberapa buah buku dan kitab telah saya rujuk. Oleh kerana artikel ini bersifat akademik maka, sebarang pandangan dan idea mesti mempunyai rujukannya dan bukan plagiat yang menjadi isu segelintir  sarjana mutakhir ini.  Diantara buku rujukan saya adalah tulisan Dato’ Seri Anwar Ibrahim  bertajuk Gelombang Kebangkitan Asia atau dalam bahasa asal ‘The Asian Renaissance’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ternyata buku yang dihasilkan dengan gaya bahasa yang sangat jelas dan menarik telah memuatkan pandangan ulama’ terdahulu mengenai Maqasid Al-Syariah. Beliau memetik pandangan Imam Al-Ghazali, Ibrahim Ibn Musa Al-Syatiby, Imam Muhammad Abu Zahrah  dan para sarjana dan ulama’ terkemuka dalam membahaskan isu kontemporari umat hari ini. Aplikasi dalam menggunakan teks maqasid telah berjaya dicantumkan dengan konteks umat hari ini.

Ternyata pemikiran beliau sangat kehadapan, pada ketika kita di Malaysia hari ini baru membicarakan aplikasi Maqasid Al-Syariah dalam kemelut umat Islam, beliau telah mengungkapkan isu ini seawal tahun 90an lagi. Beliau juga aktif dalam membuka minda umat mengenai isu pertembungan tamadun Islam dan Barat dan ternyata beliau telah berjaya mengadunkan kemodenan dalam bingkai Islam, yang akhirnya Islam itu dipandang indah dan tidak terpisah dengan persekitaran masa kini.

Begitu juga dalam isu kewangan Islam, seawal memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan beliau telah berjaya menawarkan alternatif sistem perbankan Islam yang berasaskan syariah dan sejarah tidak boleh dipadam, bahawa idea dan pemikiran beliaulah yang membuat sistem ini berjalan hingga hari ini, dan sudah pasti dibantu oleh pakar-pakar dan sarjana kewangan Islam dalam dan luar negara. Kita amat bersyukur kerana cetusan dan pemikiran Islam beliau telah diterjemahkan dalam sistem tersebut dengan jayakan semasa beliau memegang kuasa dalam kerajaan, dan kini kita sedang menikmati hasil cetusan dan idea beliau yang telah melepaskan kita daripada belenggu riba.  Pimpinan hari ini hanya mewarisi sistem yang telah beliau cetuskan dan membuat pembaikan dari masa kesemasa.  Maka tidak hairan apabila beliau satu-satunya warga Malaysia yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Inilah tokoh yang perlu diwacanakan serta dimanfaatkan hasil karya dan pemikiran beliau dan amat wajar disampaikan kepada masyarakat umum. Menafikan hasil sumbangan dan cetusan idea beliau ini adalah golongan retorik kaki ampu yang tidak ada fakta dan hujah. Sekadar untuk mendapat pengiktirafan golongan berkuasa dan habuan sekecil debu dedak tetapi hati kecil mereka tetap mengakui ketokohan Anwar Ibrahim.  Samalah seperti Abu Lahab dan isterinya yang menafikan Islam yang dibawa oleh Rasululah SAW dan mengakui kebenarannya, tetapi malu untuk menyebut kebenaran Islam itu, kerana takut kehilangan populariti dan kuasa. Begitu juga golongan yang menyalurkan maklumat pada umum yang terjebak dalam sindrom penafian berterusan.  Allah SWT telah mencelakakan Abu Lahab dan sekutunya kerana keengkarannya itu.  Apakah kita hendak mewarisi perangai  Abu Lahab?.

Dato’ Ahmad bin Kasim.
Masih Pelajar Universiti.
Alor Setar, Kedah.



Khamis, 22 Oktober 2015

Tugasan Pengajian Islam Peringkat Sarjana di OUM.

METHODOLOGI PENULISAN SYARAH HADIS KITAB RIYADHUS SALIHIN
OLEH  SYEIKH MUHAMMAD BIN SALIH AL-‘UTHAIMIN.

Oleh : Ahmad bin Kasim.

     Abstrak.
Huraian atau syarah dalam ilmu hadis merupakan satu bidang yang sangat penting kini. Ini adalah kerana untuk  menghasilkan karya yang menepati dengan maksud sebenar matan hadis tersebut. Hanya individu yang memiliki keilmuan yang khusus sahaja yang mampu untuk menghasilkan sebuah  syarah hadis. Kekuatan integrasi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan lughah, tatabahasa, usul fiqh, sejarah dan asbab al- wurud hadis semuanya diperlukan bagi seseorang yang ingin mensyarahkan sesebuah hadis. Syarah hadis bukanlah satu bidang baru dalam tradisi keilmuan Islam, malah ianya telah bermula seawal kewafatan Rasululah saw dan telah dimulai dari zaman para sahabat  disambung oleh generasi demi generasi hingga kini. Sheikh Muhammad bin Salih Al-‘Uthaimin merupakan salah seorang ilmuan dalam bidang ilmu hadis kontemporari yang telah menghasilkan syarah hadis dari karya Imam Al-Nawawi iaitu Kitab Riyadhus Al-Salihin.  Pendekatan yang beliau gunakan secara Muqaran adalah bertepatan untuk masa kini. Sebab utama  pendekatan ini adalah bersesuaian kerana kelahiran atau kewujudan pelbagai syarah sebelumnya. Syarah hadis oleh tokoh-tokoh ulama’ sebelum ini telah membantu beliau untuk membuat perbandingan antara satu syarah dengan syarah yang lainnya. Dalam syarah ini, beliau juga telah membandingkan antara hadis dengan hadis yang lain bagi memahami maksud sebenar hadis tersebut serta memahami sebab wurud hadis tersebut.  Sebahagian dari syarah hadis beliau mengunakan ayat-ayat Al-Quran bagi menguatkan hujah atau sandaran beliau.  Sebahagian hadis yang samar-samar telah diperjelaskan dengan amat baik sekali. Beliau juga memetik pandangan ulama’ lain dalam sesetengah huraian hadis tertentu. Pandangan peribadi beliau selitkan sebagai satu hujah tambahan kerana faktor uruf serta mengikut arus perubahan zaman  masa kini.

Tugasan Pengajian Islam Peringkat Sarjana di OUM

GAGASAN PEMIKIRAN SISTERS IN ISLAM (SIS)
DAN ISU-ISU YANG MENIMBULKAN KONTROVERSI BERKAITAN
AJARAN SERTA PEGANGAN ISLAM.
           
1.0       PREMIS DASAR.
Malaysia adalah sebuah negara yang subur dengan gerakan dakwah yang telah mewarnai lanskap keIslaman seawal tahun 70an lagi. Sarjana sejarah tempatan Muhammad (1997) menjelaskan gelombang dakwah Islamiah telah merubah citra dan pemikiran agama Islam dengan mencetuskan keaktifan organisasi dakwah masa itu dengan begitu agresif, asertif dan emotif menjaja idea Islam sebagai satu cara hidup. Idea Islam sebagai alternatif kepada sistem nilai dan ideologi sekular, serta Islam sebagai penyelesaian pelbagai masalah.

Gerakan dakwah menjadi semakin perlahan apabila musuh-musuh Islam yang mula menggugat dan menyusup masuk dari luar atas nama kebebasan  bersuara.  Inilah cabaran yang sedang melanda negara  mutakhir ini. Sarjana tempatan seperti Mohd Azizuddin (2002) menjelaskan dalam sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan sistem demokrasi kebebasan mengeluarkan pendapat adalah salah satu hak asas dalam sistem tersebut.  Sistem ini menjamin hak rakyat menyatakan pendapat dan bersuara dalam pembentukan undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan ke atas mereka. Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia adalah dua tema yang selalu digunakan oleh pihak-pihak tertentu untu menghalalkan tindakan mereka.

Cabaran Undang- Undang Hudud di Malaysia


CABARAN UNDANG-UNDANG HUDUD UNTUK MENGHARUNGI
SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA – SATU PERSPEKTIF.

Dato’ Hj Ahmad bin Kasim.[1]

PENDAHULUAN.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) 1993 pindaan 2015 atau disebut Undang-undang Hudud telahpun mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri Kelantan Darul Naim. Fasa kedua pula  akan disusuli dengan cadangan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang Kuasa Syariah) 1965 Akta 355 di Parlimen  bagi membolehkan enakmen yang telah diluluskan itu dapat direalisasikan. Pindaan akta ini akan dicadangkan oleh parti PAS melalui Rang Undang-undang persendirian yang akan dibawa oleh  Presiden PAS sendiri selaku Ahli Parlimen Marang. Pindaan ini amat mustahak kerana had hukuman kini dalam Akta Mahkamah Syariah adalah sehingga tiga tahun penjara, denda tidak melebihi RM 5,000.00 atau maksimum enam kali  sebatan sahaja. Cadangan pindaan adalah untuk mengubah had hukuman yang menepati dengan hukum syarak, iaitu  hukuman memotong tangan apabila kesalahan mencuri, 100 kali sebatan jika melakukan kesalahan zina ghairu muhsan dan 40 kali sebatan jika kesalahan syurb iaitu minum minuman yang memabukkan dan lain-lain lagi.

Abd. Razak Musa (2013) selaku Penasihat Undang-undang negeri Kelantan menjelaskan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 pindaan 2015 mempunyai enam bab, merangkumi tiga kategori kesalahan yang boleh dikenakan hukuman had, iaitu kesalahan sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina (melakukan persetubuhan haram), qazaf (membuat pertuduhan seseorang itu melakukan zina yang mana tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi), syurb (meminum arak atau minuman yang memabukkan) dan irtidad atau riddah (keluar dari agama Islam). manakala terdapat dua kesalahan yang dikenakan hukuman qisas iaitu jenayah yang menyebabkan kematian dan jenayah yang menyebabkan kecederaan.

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...