MENGURUS BANGSA MEMBINA NEGARA.
Dato’
Ahmad bin Kasim.
Pengerusi
Syura WAP Kedah.
1.0
MUQADDIMAH.
1.1 20 Tahun lalu 1 Muharram
1419 TERAS telah memulakan langkah pertama mencetuskan isu-isu khusus mengenai
umat Melayu. Pengistiharan tersebut telah dinyatakan secara jelas dan terang mengenai
12 isu pokok yang melingkari umat Melayu yang disebut berada dalam keadaan
sungguh kritikal dan perlu diberi rawatan segera. Pengistiharan tersebut bukan sahaja menyebut
penyakit yang kronik, tetapi juga menyediakan sembilan remidi pengubatan untuk
penyembuhan yang mujarab.
1.2 Mohd Azmi Abd Hamid
(2004) menjelaskan isu pokok kepada kemelut umat Melayu ini adalah persoalan pemikiran
dan nilai-nilai agama dalam hidup mereka. Siddiq Fadhil (1992) pula
mengungkapkan dengan memiliki jumlah penduduk Muslim terpadat di dunia bererti
rantau ini adalah paling kaya dengan sumber tenaga manusia muslim. Andainya
kekuatan ini dapat digembelingkan dan dimanfaatkan secara maksimum dan
bijaksana, rantau ini mampu mencipta great
achievements atau pencapaian-pencapaian yang besar dan cukup bererti.
1.3 Kombinasi dua tokoh ini
yang telah menjurus keprihatinan mereka kepada umat Melayu khususnya di
Malaysia sudah cukup untuk kita memahami kemelut dan persoalan yang melingkari
umat Melayu kini. Kertas ini sekadar
menambah rencah dalam siri-siri wacana yang membincangkan kemelut umat Melayu hari ini, khususnya
dalam konteks Malaysia baharu pasca PRU 14 yang lalu. Penulis berusaha membuat
analisis berdasarkan pengistiharan TERAS pada tahun 1998 dan dokumentasi yang
ditulis oleh TERAS sejak mula penubuhannya untuk menyorot kembali aksi
dilapangan dalam tempoh 20 tahun serta membandingkan dengan makalah dari
pemikir Melayu kontemporari Dato Dr Siddiq Fahdil.
2.0
MEMAHAMI
FIKRAH MALAYSIA BAHARU.
Rakyat Malaysia telah
membuka lembaran baru negara apabila mereka bersama-sama membentuk tsunami yang
paling besar dalam sejarah politik Malaysia sejak kemerdekaan. Dalam banyak
keadaan, sebahagian mereka juga mengenepikan kecenderungan diri sendiri dan
rasa kegusaran peribadi atas apa-apa alasan semata-mata demi menukar kerajaan
Persekutuan. Mereka telah mengambil risiko mencipta harapan baru bersama
Pakatan Harapan. Hasil dari keberanian ini maka beberapa kesan telah menjelma
antaranya;-
2.1
Kesuburan demokrasi.
2.1.1 Demokrasi
ialah kesepakatan rakyat untuk memilih sebahagian orang yang akan memerintah
dan mengatur urusan mereka. Dengan cara itu rakyat terhindar daripada memilih
seorang pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan sistem yang menindas mereka.
Demokrasi boleh difahami sebagai satu sistem yang mempunyai undang-undang
berprosedur yang mengkhususkan siapa yang berwibawa untuk membuat sesuatu
keputusan secara kolektif dan apakah prosedur yang harus digunakan untuk membut
keputusan (Azzam Tamimi, 2001: 10).
2.1.2 Kemerdekaan
kali kedua, dalam erti kata kemerdekaan dari penjajahan sebagaimana istilah Al-Istiqlal (kemerdekaan) iaitu bebasnya
negara dari penguasaan pihak asing yang mencengkam dan mempengaruhi
pentadbiran, ekonomi, politik dan budaya. Namun Malaysia baharu bergerak bukan
sekadar Al-Istiqlal tetapi kearah Al-Hurriyyah (Kebebasan) , iaitu
kebebasan bagi warganegara bergerak, bekerja, mengamalkan keyakinan, kebebasan
berfikir serta bertukar pendapat dalam kerangka perlembagaan persekutuan.
2.2
Kebebasan
berfikir.
2.2.1 Pejuang kemerdekaan dijulang bagi
menyedarkan generasi baharu terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan. Umat yang
bebas dan merdeka, dapat berfikir dengan bebas apa yang baik untuk diri, bangsa
atau kepentingan umat seluruhnya. Kebebasan kini diterjemahkan dengan pemasuhan
beberapa akta yang mengongkong pemikiran rakyat dan kesannya rakyat kini keluar
dari rasa takut yang telah mencengkam mereka sejak sekian lama.
2.2.2 Walaupun begitu, kebebasan yang diberikan bukan bermaksud membiarkan
gejala fitnah bermaharajalela. Undang-undang yang menyekat gejala fitnah yang
kini semakin menjadi-jadi mesti di aplikasikan. Inilah kemerdekaan sebenar
iaitu kemerdekaan jiwa dan minda.
Tanpanya, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan muslim menyedari
cabaran utama umat Islam setelah mencapai kemerdekaan fizikal adalah membina
jiwa dan minda merdeka.
2.3 Kebebasan
berbeza pandangan (Mengkritik).
2.3.1 Dr Yusuff Al-Qaradawy menulis suatu kitab ‘Adab al-ikhtilaf fi al-Islam’ menyorot beberapa segmen pertembungan
pemikiran dalam Islam yang melahirkan beberapa mazhab sebagai suatu yang subur,
indah dan bersifat semulajadi. Perbezaan pandangan itu merupakan suatu fenomena
yang baik dan perlu diurus dengan baik
supaya kesan pada umat juga akan jadi baik. Inilah konsep perbezaan
pandangan dalam Islam.
2.3.2 Malaysia baharu cuba untuk aplikasikan konsep perbezaan
pandangan serta membenarkan perbezaan ini diutarakan seluas-luasnya. Medium
untuk mengkritik pemerintah kini dalam pelbagai bentuk. Inilah kesan disebabkan
adanya globalisasi serta dunia tanpa sempadan. Ianya kelihatan lebih mudah
untuk sesiapa sahaja mempengaruhi dan meluahkan idea melalui kuasa politik, ekonomi serta sosial.
2.3.3 Namun kita sering diingatkan, serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri adalah pengganti kepada
serangan fizikal yang sentiasa mengalahkan mana-mana pihak dan menakutkan mereka, sedangkan umat Islam
sentiasa bersedia menghadapi cabaran fizikal itu dengan jayanya.
2.4 Keadilan
untuk semua.
2.4.1 Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan baharu akan terus melindungi
kepentingan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kebajikan kumpulan
marginal di negara ini. Rakyat daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India serta warga
Sabah dan Sarawak, telah mengundi kerajaan baharu, jadi mereka harus bersikap
adil kepada mereka. Usaha untuk menangani isu dan pembaharuan berkaitan dengan
pengurusan ekonomi dan kewangan negara tidak akan menjejaskan mana-mana
kumpulan seperti yang termaktub di bawah perlembagaan. Inilah tugas utama untuk
memastikan kerajaan mengagihkan kekayaan
ekonomi secara adil pada semua rakyat
2.5 Negara
tanpa rasuah.
2.5.1 Perkara utama yang
perlu wujud untuk sesebuah negara yang danggap bersih atau bebas dari rasuah. Ia meski didukung sikap amanah dan jujur
pemimpinnya, penjawat awam malah rakyat seluruhnya. Inilah
ciri utama yang perlu wujud. Ini disebut oleh ulama dan tokoh besar sains
sosial Islam, Ibnu Khaldun dalam ‘Muqadimah
Ibnu Khaaldun’. Dia tidak menyebut rasuah, tetapi secara umumnya ia
menyebutkan menyelewengkan harta negara.
Negara yang begini, katanya, tidak akan ada keberkatan dari Ilahi. Oleh itu,
kata Ibnu Khaldun lagi, jika pemimpin sesebuah negara rosak, maka rosaklah
sesebuah negara itu dan rosaklah pula rakyat negara itu. Rasuah adalah najis
berat, walau sebesar manapun jumlahnya.
2.5.2 Ada lima
teras kepada memerangi rasuah ini diberikan tumpuan dalam usaha
untuk memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa
Malaysia baharu ini adalah ;-
a) Mereformasi
SPRM menjadi sebagai badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada
Parlimen.
b)
Memberi
kuasa pendakwaan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah
c) Menubuhkan
Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) untuk membolehkan
SPRM membuat pilihan sendiri pegawai dalam perkhidmatan SPRM.
d) Memastikan
peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan
mereka dan
e) Menjamin
hak pelantikan tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau
melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan tegas dan tanpa takut. Pelantikan
Ketua Pesuruhjaya akan dibuat oleh Yang Dipertuan Agung atas nasihat
jawatankuasa Parlimen.
3.0
REMPUHAN
GLOBALISASI DAN CABARAN MENGURUS BANGSA MELAYU.
3.1 Azmi Abdul Hamid (1998)
Menekankan realitinya orang Melayu masih terbelenggu tersepit dalam lurah yang semakin curam,
aliran deras kemerosotan nilai dan kelunturan budaya orang-orang Melayu telah
menjadi tirai pembuka kepada abad ke 21.
Terlalu pedih TERAS menyaksikan
fenomena orang Melayu disisihkan di tanah air sendiri, di pinggir di negara sendiri, menagih bantuan ditempat sendiri,
diperkotak katikkan oleh pemimpin sendiri, dilesukan oleh kecuaian sendiri.
Inilah cetusan seawal pembinaan TERAS kira-kira 20 tahun yang lalu.
3.2 Cabaran globalisasi
ternyata amat berat kerana ia sebenarnya sedang mengugat keutuhan jati diri dan
budaya setempat demikian Siddiq Fadhil (2012) mengungkapkan. Kesan dari rempuhan ini kita sedang mengalami
krisis yang terjelma dalam pelbagai dimensi kekeliruan dan kepincangan persepsi
mengenai ketuhanan, keinsanan , alam dan kehidupan seluruhnya. Bukan sekadar itu ia juga terserlah dalam
kekalutan nilai-nilai dan budaya tradisi masyarakat yang telah berakar umbi
sejak dahulu lagi.
3.3 Rasulullah
SAW pernah mengingatkan dalam satu pesanannya , diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a
berkata: "Aku pernah mendengar
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa
penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “
Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu
'alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak
berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu
dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut
sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”. (Hadith riwayat al-Hakim )
3.4 Penyakit-penyakit
yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadith
tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana telah banyak kita lihat berlaku
di kalangan kaum Muslimin pada hari ini. Bahangnya telah mula dirasai sejak
zaman dahulu lagi. Ini jelas kita dapati, di sana sini penyakit ini sudah mula
merebak dan menjalar dalam masyarakat Islam dengan begitu parah sekali. Dunia
umat Islam pada hari ini terus-menerus dilanda krisis demi krisis sama ada
dalam semua segi baik dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial
kemasyarakatan yang sangat kritikal dan meruncing. Umat Islam diserang dari
semua segi. Dengan kata lain, penyakit yang berlaku di kalangan umat Islam pada
hari ini diibaratkan seperti sejenis penyakit barah yang tidak mampu dirawat
oleh doktor pakar.
3.5 Muhammad
Natsir sebagaiman dipetik oleh Siddiq Fadhil (1992) menyingkap empat gejala
kelemahan yang menghambat kebangkitan umat. i) Ketiadaan inventarisasi, ii)
Hobi bermusuhan, iii) Tidak menghargai diri dan iv) Rakus pada dunia, takut
pada risiko. Yang dimaksudkan ketiadaan Inventarisasi itu ialah kekeringan idea
dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanfaatkan
potensinya. Manakala analisis mengenai penyakit umat Melayu sebagaimana yang
dibincangkan oleh Siddiq Fadhil (2012) dan Mohd Azmi Abd Hamid (1998) antaranya
adalah :-
3.5.1
Hilangnya
jati diri.
Polimik hilangnya jati
diri Melayu tercetus sejak penjajahan di alam Melayu seawal abad ke 15 lagi.
Walaupun wujud penentangan namun proses pembaratan telah mewujudkan generasi
yang telah hilang jati diri. Generasi ini amat terpesona dengan kemilau gaya
hidup kebendaan, tetapi mereka gagal untuk sampai ke akar nilai-nilai budaya
yang memajukan bangsa-bangsa Barat. Penyakit ini juga meresap di kalangan
guru-guru agama lepasan institusi pengajian Islam yang utuh seperti dari Timur
Tengah dan pengajian Islam tradisional di tanah air.
Namun
Dato’ Dr Siddiq Fadzil (2012) merumuskan bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan
yang sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi pertiwi.
Dunia masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha rebuilding, pemulihan dari
kerosakan-kerosakan yang berlanjutan ratusan tahun selama era penjajahan belum
diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan bahaya jebakan
penjajahan bentuk baru, penjajahn budaya, penjajahan ekonomi, hegemoni,
dominasi, globalisasi dan seumpamanya.
Azmi
Abd Hamid (1998) pula menegaskan bahawa akibat terpukau dengan kemajuan Barat,
masyarakat Melayu kini secara membuta tuli mengambil apa saja yang
ditaja dari Barat, tanpa mempersoalkan akibatnya. Budaya hidup
kepenggunaan berasaskan simbol sebagai ukuran status seseorang, telah
mempengaruhi kehidupan orang-orang Melayu.
3.5.2
Maruah
yang tercemar.
Bangsa
yang tidak mempunyai maruah serta tidak mempunyai kehormatan diri akan melakukan perbuatan hina dan keji
seperti rasuah, penipuan, salahguna kuasa dann seumpamanya. Pelaku rasuah
adalah orang yang tidak tahu malu, tidak tahu nilai dan harga maruah. Siddiq
Fadhil (2012) menyatakan bahawa menghina, meremeh dan memperlekehkan bukan cara
yang benar untuk membina watak warga yang bermaruah dan berprestasi.
Filem
arahan Tan Sri P. Ramlee Labu Labi boleh memandu mesej yang lebih jelas dalam
isu ini. Menampilkan Hj.Bakhil sebagai majikan, pengurus dan pemimpin egois
yang mengurus warga kerjanya dengan cara menghina, memperbodohkan dan
merendah-rendahkan mereka. Sementara itu Labu dan Labi adalah manusia lemah
yang kehilangan maruah akibat menjadi mangsa pelayanan pengurus dan pemimpin
model Hj Bakhil. Mereka tidak berdaya mempertahankan maruah dan tidak berani
memprotes walaupun maruah mereka diinjak-injak oleh pihak atasan. Mereka hanya
mampu memendam rasa dan kemudiannya tersalur dalam mimpi. (siddiq Fadhil,
2012).
3.5.3
Jiwa
hamba.
Jiwa hamba adalah jiwa
yang lemah, penakut, rela dihina, mudah menyerah, hilang daya juang, tidak
punya daya tahan, tidak percaya diri, tidak mempunyai wawasan, tidak mempunyai
cita-cita tinggi, tidak mampu berfikir kritis. Inilah fenomena anak jajahan
yang disebut oleh banyak tokoh termasuk Edward E. Said dan Malik Bennabi.
Siddiq Fadhil (2012) mengulas pandangan Malik Bennabi tentang kemerdekaan jiwa astiqlal al-a’ql yang disebut sebagai
golongan intelektual yang terjajah dalam pemikiran orentalis Barat sehingga
tidak mampu keluar dari sudut pandangan,
perspektif dan paradigma keilmuan Barat.
3.5.4
Martabat
rendah.
Sindrom kebergantungan
adalah satu istilah yang tepat yang telah diterangkan oleh Azmi Abd. Hamid
(1998) bahawa umat Melayu masih berpaut dengan mentaliti subsidi, walaupun
bantuan terus disalurkan namun kemajuan umat Melayu masih terbatas. Kenyataan
bahawa orang Melayu tanpa bantuan tidak akan mampu maju seolah-olah tidak boleh
dinafikan.
Perlembagaan tentang hak
istimewa orang-orang Melayu mungkin dapat dijustifikasikan untuk suatu jangka
waktu tertentu sebagai usaha pembelaan terhadap golongan yang diabaikan dan
dipinggirkan sepanjang berabad-abad penjajahan. Namun umat Melayu tidak boleh
terus bergantung pada peruntukan tersebut selama-lamanya,kerana akan membawa
kesan pencitraan Melayu sebagai bangsa yang kurang upaya yang selama-lamanya
bergantung pada subsidi dan hak keistimewaan tersebut. (siddiq Fadhil, 2012).
3.5.5
Misi
pembodohan / Penyakit kaum firaunisme.
Sepanjang
masa kita menyaksikan misi pembodohan ummat persis Firaun dengan kaumnya. Misi
pembodohan umat ini adalah dalam dasar pembinaan pemikiran rakyat. Siddiq
Fadhil (2012) menjelaskan salah satu bentuk pembodohan itu adalah membelenggu
pemikiran rakyat dalam kurungan ideologi penguasa. Rakyat tidak dibenarkan
melihat diluar tembok kekuasaan. Bukan sekadar itu malah strategi menakut-nakutkan
dengan ancaman akta dan undang-undang. Strategi ini telah menjadikan rakyat
bodoh, lemah, takut dan kesannya menjadi tanah yang subur untuk penguasa yang
zalim laksana Firaun.
3.6 Semua
penyakit kronik yang berlaku kepada umat Melayu pada hari ini hanya dapat
dipulihkan dengan beberapa kaedah
rawatan yang dapat memberi jaminan penyelesaian dengan pemerkasaan bangsa yang
memerlukan pengembelengan pelbagai kekuatan. Landasan falsafah yang mantap,
wawasan yang jelas, tenaga pelaksana yang kompeten dan strategi yang bijaksana. Perjuangan pemerkasaan atau
empowerment (perberdayaan) harus bertolak dari keyakinan bahawa al-‘izzah
(kekuatan, kemulian dan keunggulan) hanya mungkin diperolehi dari Allah ,
kerana Dialah yang memiliki. (Siddiq Fadhil, 2012).
3.7 Satu lagi formula
pemberdayaan ummat adalah memperkasakan institusi-institusi kemasyarakatan
seperti masjid termasuk pendidikan rakyat yang didanai oleh rakyat iaitu
sekolah agama rakyat. Sekarang semuanya telah diambil alih oleh kerajaan dengan
dalih untuk membantu, tetapi hakikatnya melemahkan. Seterusnya selepas
dilemahkan mereka terjerumus kelembah kebergantungan.
3.8 Manakala TERAS pula
mengariskan formula supaya umat Melayu dikeluarkan dari sindrom kerdil dan
tidak berani untuk menyatakan pendirian mereka sendiri. Orang-orang Melayu
perlu dibangunkan secara dinamis dari segi pemikiran, displin bekerja dan
keupayaan bertindak. Dalam isu kepimpinan pula TERAS menyarankan kepimpinan
yang berkesan yang bersih dari amalan rasuah, pilih kasih, hipokrasi, pecah
amanah dan penyelewengan secara bersungguh-sungguh.(Azmi Abd Hamid 1998).
4.0
PENUTUP
- MENGEMBALIKAN KEAKAR MELAYU-ISLAM.
4.1 Oleh itu terdapat dua perkara utama untuk
kembali keakar Melayu Islam. Iaitu
dengan mengetahui sejarah perjuangan dan mengangkat martabat bangsa melalui dua konsep utama iaitu Al-ilmu dengan al-fahmu. Penyakit bangsa Melayu bukan sekadar untuk didendangkan
atau sekadar disyarahkan yang dikategorikan sebagai al-ilmu, namun yang lebih utama adalah Al-fahmu (memahami) punca sebenar permasalahan tersebut lalu
bertindak memulihkan atau penyembuhan dalam bentuk program dan aktiviti yang
menyeluruh dan bersepadu. Tindakan ini memerlukan kerjasama semua pihak dengan
semangat pejuangan, kesungguhan,
kegigihan, perancangan, kesatuan tindakan dari segenap dimensi pendidikan,
politik, organisasi sosial, media dan dibantu oleh faktor ekonomi.
4.2 Al-Qaradawy (2015)
Menjelaskan umat perlu kembali pada Islam yang diturunkan oleh Allah swt kepada
rasulNya, yang dinyatakan di dalam semua kitab yang diturunkan yang Allah
redhai ia sebagai manhaj (petunjuk jalan) bagi semua makhluknya dengan syarat
kita hendaklah memahaminya dengan sebaik-baiknya, beramal dengannya, menyeru
kepadanya dan menunjukkan contoh-contoh hidup yang boleh dilihat, bukannya
sekadar kata-kata yang diucapkan.
4.3 Siddiq Fadhil (2012) pula
menyatakan bahawa peranan nilai-nilai keagamaan tidak hanya sebagai penjana
kekuatan daya maju, tetapi lebih daripada itu ia adalah penentu survival
bangsa. Nilai keadilan misalnya adalah salah satu nilai teras yang mendasari
kehidupan yang harmonis, damai dan sejahtera. Kerana keadilan adalah antara kata
kunci yang dapat mengekspresikan kesempurnaan nilai-nilai unggul Islam dengan
tepat, utuh dan menyeluruh.
4.4 Membangunkan integriti
dan melaksanakan keadilan adalah tonggak untuk umat Melayu kembali keakarnya.
Keadilan adalah jantung kehidupan manusia yang baik dan yang sejahtera. Cabaran utama dalam melaksanakan keadilan
adalah para pelaksana keadilan yang melibatkan proses yang panjang. Kalau
keadilan telah lenyap dan reput disebabkan rasuah, maka segala apa sahaja
undang-undang dan dasar negara yang mapan akan mati dan dimakan bubuk. (Mohd Daud
Bakar, 2018).
RUJUKAN.
Al-Qaradawy (2015), Hebatnya Islam Peradaban
Al-Ternatif Masa Depan, Syabab Book Link, Selangor.
http://www.haluan.org.my/v5/topik-pilihan/modal-insan/537.
Mohd Azmi Abdul Hamid (1998), Pengistiharan Dasar TERAS, Teras Pengupayaan Melayu, Sungai Petani.
Mohd Azmi Abdul Hamid (2004), Membina Manusia Melayu Memulih Kemelut Bangsa, Ucapan Bertindak ,
Perhimpunan Pengerak Melayu Kebangsaan, Teras Pengupayaan Melayu, Maahad
Tarbiyyah Islamiah, Pokok Sena.
Mohd Daud bakar, 2018, Harapan Buat Pakatan
Harapan, Amanie Media Sdn. Bhd. Kuala
Lumpur.
Siddiq Fahdil (2012), Islam dan Melayu Martabat Umat
Dan Daulat Rakyat, Akademi Kajian Ketamadunan. Selangor.
Siddiq Fadhil (1992), Minda Melayu Baru, Institut
Kajian Dasar, Kuala Lumpur.