Rabu, 8 September 2021

 

Dimensi pemikiran SIDDIQ:

Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat.


1.0           Dato’ Dr. Siddiq Fadzil  nama besar yang tidak asing di negara dan rantau ini yang memiliki sejumlah nilai-nilai hebat seorang murabbi umat yang kompeten. Nilai-nilai ini terjelma dalam diri beliau sebagai penjana fikrah dan pemikir ulung Melayu Islam abad ini. Namun pada tanggal 31 Ogos 2021 negara kehilangan sebutir permata ummat yang akan dikenang dengan peninggalan sejumlah khazanah yang tidak ternilai serta kesetiaan pengikut yang berjaya dididiknya. Beliau adalah seorang tokoh pemikir Melayu yang Islamis yang terangkum padanya pelbagai dimensi dan kekuatan pemikiran serta syaksiah. Beliau adalah pemimpin, pencetus, pendidik dalam lapangan akademik, siasah, sosial, budaya, bahasa dan kemampuannya mengadunkan dengan Islam sebagai Rahmatan Lil a’lamin merupakan suatu kehebatan anugerah Illahi buat dirinya.

 

2.0              Tanggal 31 Ogos pada setiap tahun  detik negara menyambut kemerdekaan yang pernah  beliau ungkapkan dalam tema Memaknai Kemerdekaan : Pembebasan, Pencerahan dan Pemerkasaan dalam buku Islam dan Melayu – Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Ucapan dan tulisannya mengenai kemerdekaan diulang siar dalam media sosial serta ditular pelbagai lapisan masyarakat kerana pendekatan berbeza bagi memahami makna kemerdekaan yang sebenarnya. Perspektif kemerdekaan yang beliau bawa amat berlainan kerana kemerdekaan yang sebenarnya adalah pembebasan (tahrir) dan pencerahan (tanwir) bermula dengan tranformasi pengislaman dengan kemerdekaan diri yang membawa nilai tauhid serta implikasi ketidakrelaan untuk tunduk mengabdikan kepada siapa pun dan apa pun selain Tuhan yang Maha Esa. 

 

3.0              Penulis cuba untuk mengungkapkan dimensi diri beliau melalui akronim nama SIDDIQ yang menjadi nama pena beliau sepanjang karya hingga akhir hayat. Nama SIDDIQ itu bukan sekadar definisi kalimah ‘benar’ dalam terjemahan Arab-Melayu, tetapi beliau membawa nilai Siddiq itu dalam kehidupan dan pemikirannya. Siddiq itu adalah sebahagian sifat dan watak Rasulllah s.a.w yang sentiasa benar dalam semua keadaan. Enam nilai itu adalah mengikut firasat penulis sahaja, namun bukan jumlah itu saja nilai-nilai hebat yang ada pada tokoh ini, malah lebih dari itu, dan ianya boleh diolah serta ditulis oleh pihak lain yang berminat.

 

4.0              S- SISTEMAIK. Tokoh hebat selalunya bermula dengan kehidupan yang sistematik. Hidup yang bersistem (tanzim) akan melahirkan sejumlah nilai-nilai unggul yang lain seperti yang beliau ungkapkan  bermula dengan pemugaran idealisme ‘orang budiman’ iaitu konsep yang kuat dan padat dengan nilai-bilai keunggulan watak: berilmu dan berakhlak, beragama dan bersusila, bijaksana dan prihatin. Kemampuan hebat tokoh ini adalah melahirkan gagasan besar dengan tema yang memukau dari olahan bahasa yang indah lagi sarat dan padat dengan makna. Semua ini terjelma dari kehidupan beliau yang sistematik dalam erti kata bijaksana menyusun arus pemikiran serta mengetahui sasaran secara mendalam. Dari situ lahirlah  sejumlah penulisan makalah dan syarahan yang menjadi fundamental kepada dasar-dasar kehidupan bermasyarakat.

 

5.0              Terlalu banyak tema-tema yang beliau cetuskan sepanjang berkecimpung dalam arena pendidikkan ummat ini. Antara tema besar yang terkini yang beliau tampilkan adalah Membina Kesatuan bangsa : Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai. Satu perspektif hebat dari Fiqh Al-ta’ayush  Al-Silmiy . Suatu tema untuk merungkai kemelut kehidupan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Tema ini adalah satu bentuk penyelesaian bagi masyarakat majmuk, yang kemungkinan jika tidak diurus dengan baik akan mewujudkan malapetaka dan kerosakan yang amat merugikan. Kita yakin sekiranya para pemain politik di negara ini memahami dan memiliki keazaman politik untuk melihat kemakmuran dan kehidupan yang lebih damai, maka rujukan makalah ini sudah cukup untuk menjadi panduan dasar negara bagi mencapai kehidupan yang damai lagi harmonis.

 

6.0              I-ISLAMIK. Tokoh besar ini muncul dari asas pendidikan Islam di peringkat awalnya dengan menguasai ilmu agama yang mantap dan  bahasa Arab yang fasih. Berbekalkan pendidikan asas yang kuat itu, maka dilanjutkan dengan penguasaan ilmu-ilmu lainnya menjadikan beliau seorang dae’ yang berkredibiliti dan berautoriti apabila berbicara mengenai hal keagamaan. Kemantapan dan ketajaman pemikiran terolah dan teradun dengan menguasai bahasa Melayu sebagai lingua franca. Beliau berjaya menggali khazanah ilmu thurah dari penulisan ulamak terdahulu dan memiliki kemampuan untuk dicerakinkan dengan olahan pelbagai isu-isu ummat yang bersifat kontemporari. Hasil karya beliau tidak lekang dari menjadikan Islam sebagai  rujukan utama dan mengembalikan maqasid Islam itu ditanzilkan. 

 

7.0              Sebagai Presiden sebuah gerakan Islam, beliau telah berjaya membina gerakan yang berciri Islamik secara amali dan jamaie. Sebahagian besar tulisan dan ucapan beliau tetap meyakinkan Islam sebagai penyelesaian kepada kemelut ummat setiap zaman dan keadaan. Berwatakan jurubicara ummat beliau tegas berbicara konsep dakwah dan bagaimana pada dae’ harus berperanan. Antara petikan  ucapan dasar semasa memimpin ABIM yang pernah beliau ungkapkan adalah “Di hadapan kita terbentang gelanggang yang amat luas untuk dijelajahi dalam rangka melaksanakan risalah Islam sebagai pendakwah, sebagai pentarbiyyah, sebagai juru Islah, sebagai pembela kaum mustad‘afin, sebagai pejuang ekonomi umat, sebagai tanda politik non-partisan, sebagai pengempur terhadap mereka yang cuba mencabul kedaulatan ajaran Allah.” Ciri-ciri yang Islamik ini tidak pernah ada noktah hingga akhir hayatnya. Beliau juga mengkagumi tokoh mujaddid mutakhir iaitu Prof Dr Yusuf Al-Qaradawiy, dan sentiasa menjadikan hasil karyanya sebagai rujukan utama.

 

8.0              D-DEMOKRATIK. Demokratik dalam rujukan Kamus Dewan bermaksud berpegang kepada prinsip-prinsip demokrasi. Tokoh ini adalah tokoh yang demokratik. Hasil karya dan prinsip kerjanya bersifat demokratik. Beliau amat berpegang kepada prinsip-prinsip Islam yang jitu terutamanya berkaitan dengan aqidah, namun besifat anjal dalam perkara cabang (furu’) yang diizinkan oleh syarak. Beliau bersedia mendengar pelbagai pendapat walaupun berbeza kerana meyakini kepelbagaian adalah suatu tabiat semulajadi manusia, yang penting adalah pendapat tersebut diikat dalam bingkai kesatuan supaya tidak merugikan sesiapa. Kesempatan penulis bersama beliau dalam arus gerakan Islam, terpancar sikap yang demokratik ketika memimpin ABIM lewat tahun 80an dan hingga ke penghujung hayat beliau.

 

9.0              Ketegasan prinsip yang beliau pegang  terungkap dalam tulisan beliau di bawah tajuk Daulat Syariat dan Daulat Rakyat Dalam Pemikiran Politik Islam melalui buku Islam dan Melayu. Antara kandungan tulisan ini memaparkan bahawa kedaulatan Islam adalah persoalan dasar yang mengakar pada keyakinan iaitu faham tauhid. Manusia Muslim berpendirian bahawa seluruh aspek kehidupan harus integrated, terpadu dan teracu dalam satu aturan yang didatangkan dari satu sumber iaitu Allah s.w.t. sebagai satu-satunya law giver, dan sebagai satu-satunya pemilik kedaulatan yang mutlak. Namun apabila berbicara persoalan wasatiyyah beliau memetik pandangan pelbagai sarjana ulung seperti Al-Qaradawiy, A.Yusof Ali, Muhammad Imarah dan lain-lain lagi. Antara pandangan mereka Islam yang di tampilkan dalam bentuk wasatiyyah diungkapkan la ifrat wala tafrit yang bererti tidak ketat (melampau) dan tidak longgar.

 

10.0          D-DEDIKASI – Tokoh ini adalah insan yang cukup berdedikasi, iaitu insan yang telah mengabdikan diri, masa, tenaga, pemikiran dengan sepenuhnya untuk pemberdayaan ummat serta bangsa yang bermaruah melalui pembinaan tamadun bangsa. Sejarah telah mencatatkan bahawa keterlibatan beliau seawal usia muda  dengan PKPIM (Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) sebagai pemimpin dengan membawa citra Islam. Ketokohan beliau sebagai pemimpin dimanafaatkan oleh ABIM (Angkatan belia Islam Malaysia) untuk menerajuinya sebagai sebuah gerakan Islam yang unggul dan melancarkan gerakan dakwah di tanah air. Usia tidak menyekat beliau dari terus aktif apabila WADAH (Wadah Pencerdasan Ummat Malaysia) ditubuhkan, beliau menjadi teraju utama memimpin wadah ini sebagai Presiden pertama. Komitmen beliau dalam bidang akademik bukan dicurahkan semasa menjawat jawatan dalam Universiti sahaja, tetapi keaktifan dan kemampuan serta hasil kerja disalurkan melalui institusi pemikiran rakyat seperti IDE (Intitut Darul Ehsan). Beliau juga adalah Presiden dan CEO Kolej Darul Hikmah serta Fellow Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM). Pihak kerajaan yang menghidu ketokohan dan pemikiran beliau tidak mensia-siakan peluang ini, lalu beliau ditawarkan menjadi Pengerusi Lembaga USIM (Universiti Sains Islam Malaysia).

 

11.0          Melalui pelbagai institusi inilah beliau curahkan sepenuh hati jiwa dan raga tanpa kenal jemu. Pada peringkat awal menjawat jawatan sebagai Presiden ABIM beliau telah berjaya mengadunkan satu tema dasar muktamar ABIM dengan tajuk Garis-garis Besar Haluan Perjuangan. Tema ini digagaskan ketika ABIM dalam delima menanggani isu Sdr Anwar Ibrahim yang menyertai UMNO lewat tahun 1982. Anggota ABIM pada ketika itu dalam keadaan resah gelisah dan hilang motivasi gerakan. Namun kebijaksanaan tokoh ini menghasilkan satu tema dasar yang menjadi momentum kepada anggota ABIM untuk kembali berpartisipasi dengan gerakan dakwah ini. Sejak tema ini dilancarkan penulis sendiri merasai satu kekuatan yang luar biasa untuk gerak kerja dakwah, yang akhirnya mewujudkan pelbagai inisiatif dakwah melalui kewujudan institusi pendidikan Islam sebagai model alternatif kepada umat.

 

12.0          I- INTELEKTUAL . Ketika menyorot khazanah ilmu yang tokoh ini miliki, tidak ada siapa yang boleh menafikan keintelektualan beliau. Beliau merupakan intelek Melayu yang sangat memahami budaya, bahasa dan sejarah bangsa. Beliau menyertai Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sebagai tutor dan melanjutkan pengajian ijazah keduanya di universiti yang sama sehingga berjaya meraih Sarjana Persuratan (M.Litt.) Pemikiran Islam pada tahun 1978. Pada tahun 1989, beliau menjadi penerima pertama ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1989. Tajuk tesis Phd beliau adalah “Pemikiran Barat Moden – Sikap Para Cendekiawan Muslim Dengan Tumpuan di Alam Melayu”. Dengan tajuk ini, beliau telah diiktiraf sebagai intelektual Melayu Islam yang menguasai sifat dan tabiat bangsa di rantau ini.

 

13.0          Seawal tahun 1971 hasil karya beliau telah diterbitkan dalam makalah dan jurnal-jurnal akademik. Kemampuan beliau bukan sekadar topik-topik yang Islamik sahaja, malah beliau telah menghasilkan karya merentasi budaya, bahasa, politik dan juga agama.  Antara buku yang diterbitkan ialah Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu (1971), Kebangkitan Islam: Kenyataan dan Harapan (1975), terjemahan Di Bawah Naungan al-Qur’an (1980), Minda Melayu Baru (1992), Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999), Menoleh Sejarah Menyorot Arah (1999), Pengurusan Tawhidik (2001), Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik (2003) dan Pengurusan Dalam Islam: Menghayati Prinsip dan Nilai (2005). Ternyata beliau adalah seorang intelektual yang sangat prolifik dalam bidang penulisan dan seorang yang progresif dalam dakwah serta amal bakti.

 

14.0          Q-QUR’ANI.  Al-Quran menjadi sebagai teras utama bagi tokoh ini sejak dikenali penulis. Buku Tafsir Surah Al-Muzammil dan Al-Mudassir melalui terjemahan Di bawah Naungan Al-Quran tulisan Sayed Qutb sebagai bukti keakraban beliau dengan Al-Quran. Selanjutnya  banyak makalah dan tulisan akademik yang beliau hasilkan tidak akan lengkap sekiranya tidak dirujuk kitab suci ini. Pemikiran beliau dilengkapi dengan hasil karya tafsir yang bersifat kontemporari dengan persoalan semasa umat. Di penghujung usia cita-cita untuk menerbitkan hasil tafsir maudhuiyy  sebagai hasil tinggalan berharga buat bekalan umat tidak dapat direalisasikan kerana keuzuran yang membawa ke akhir hayatnya. Namun pihak IDE telah siap untuk menjadikan hasil karya ini untuk diterbit , sebagai hadiah terakhir beliau buat kita semua.

 

15.0          Keyakinan beliau bahawa Islam sebagai penyelesaian kemelut semasa telah berjaya di rungkaikan melalui tafsir Al-Quran bertajuk Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik. Tafsiran Al-Quran yang beliau hasilkan bukan sekadar tafsiran makna secara harfiah tetapi dijelmakan dalam bentuk penyelesaian isu-isu semasa yang berligar dalam masyarakat. Ternyata Al-Quran itu berbicara pada setiap zaman dan lingkungannya. Inilah yang telah diadunkan oleh tokoh besar ini melalui khazanah Al-Quran dalam tafsir maudhuiyy. Kuliah-kuliah tafsir ini diadakan secara berkala yang disampaikan penuh dengan ilmu dan kehebatan istilah bahasa yang mengkagumkan.

 

16.0          Tidak ada kalimah yang penulis boleh ungkapkan, hanya doa yang mengiringi roh beliau ke alam barzah, bahawa kami menjadi saksi kesungguhan, keiklasan, ketulusan, dan jihad beliau dalam  bidang pemikiran serta amal bakti yang telah beliau curahkan sepanjang hayat. KepadaMu Ya Allah  kami serahkan murabbi kami ini semoga rahmatMu, keampunanMu dilimpahi kepada Al-Marhum Siddiq Fadzil. Amin Ya Rabbal a’lamin.

 

 

 

Al-Faqir Illlah.

 

Ahmad bin Kasim.

Pengerusi Majlis Syura WAP Kedah.

Alor Setar, Kedah darul Aman

8 September 2021.

 

 

 

 

 

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...