Khamis, 22 Oktober 2015

Tugasan Pengajian Islam Peringkat Sarjana di OUM.

METHODOLOGI PENULISAN SYARAH HADIS KITAB RIYADHUS SALIHIN
OLEH  SYEIKH MUHAMMAD BIN SALIH AL-‘UTHAIMIN.

Oleh : Ahmad bin Kasim.

     Abstrak.
Huraian atau syarah dalam ilmu hadis merupakan satu bidang yang sangat penting kini. Ini adalah kerana untuk  menghasilkan karya yang menepati dengan maksud sebenar matan hadis tersebut. Hanya individu yang memiliki keilmuan yang khusus sahaja yang mampu untuk menghasilkan sebuah  syarah hadis. Kekuatan integrasi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan lughah, tatabahasa, usul fiqh, sejarah dan asbab al- wurud hadis semuanya diperlukan bagi seseorang yang ingin mensyarahkan sesebuah hadis. Syarah hadis bukanlah satu bidang baru dalam tradisi keilmuan Islam, malah ianya telah bermula seawal kewafatan Rasululah saw dan telah dimulai dari zaman para sahabat  disambung oleh generasi demi generasi hingga kini. Sheikh Muhammad bin Salih Al-‘Uthaimin merupakan salah seorang ilmuan dalam bidang ilmu hadis kontemporari yang telah menghasilkan syarah hadis dari karya Imam Al-Nawawi iaitu Kitab Riyadhus Al-Salihin.  Pendekatan yang beliau gunakan secara Muqaran adalah bertepatan untuk masa kini. Sebab utama  pendekatan ini adalah bersesuaian kerana kelahiran atau kewujudan pelbagai syarah sebelumnya. Syarah hadis oleh tokoh-tokoh ulama’ sebelum ini telah membantu beliau untuk membuat perbandingan antara satu syarah dengan syarah yang lainnya. Dalam syarah ini, beliau juga telah membandingkan antara hadis dengan hadis yang lain bagi memahami maksud sebenar hadis tersebut serta memahami sebab wurud hadis tersebut.  Sebahagian dari syarah hadis beliau mengunakan ayat-ayat Al-Quran bagi menguatkan hujah atau sandaran beliau.  Sebahagian hadis yang samar-samar telah diperjelaskan dengan amat baik sekali. Beliau juga memetik pandangan ulama’ lain dalam sesetengah huraian hadis tertentu. Pandangan peribadi beliau selitkan sebagai satu hujah tambahan kerana faktor uruf serta mengikut arus perubahan zaman  masa kini.


1.0       PENGENALAN.
Rasulullah saw telah meninggalkan kita selama 1426 tahun yang lalu mengikut hitungan hijjri.  Namun dalam  tempoh yang panjang ini, khazanah yang Baginda tinggalkan kepada umatnya berupa hadis dan sunnahnya terus berkembang. Shahir Akram (2013) memetik pandangan Muhammad ‘Ajjaj (1961) bahawa hadis dari segi syarak ialah perkara yang disandarkan kepada Nabi saw sama ada percakapan, perbuatan, pengakuan, sifat fizikal atau sifat peribadi dan sirah Nabi saw sama ada sebelum atau selepas kenabian . Selanjutnya beliau mengatakan bahawa hadis adalah sumber kepada al-sunnah. Al-Qaradawy (2013) menyebutkan istilah al-sunnah menurut ulama’ hadis adalah apa sahaja ungkapan, perbuatan, pengakuan, ataupun sifat dari segi ciptaan ataupun akhlak dan perjalanan sirah Nabi Muhammad saw.

Imam Al-Nawawi (2009) mengungkapkan bahawa hadis sahih Al-Bukhary dan sahih Muslim telah menjadi sumber hukum yang otentik  selepas Al-Quran al-Karim, dan semua umat Islam telah menerimanya sebagai suatu ketetapan. Walaupun terdapat perbezaan terhadap status sesuatu hadis itu, namun perbincangan mengenai ilmu hadis telah berlangsung sejak zaman sahabat lagi. Banyak sarjana yang menulis berkaitan dengan ilmu hadis sebagai sumber kedua yang secara funsionalnya hadis dijadikan sebagai penjelas  (bayan) biasanya singkat dan bertujuan untuk memberi informasi tentang apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad saw  dan apa yang dipersetujuinya dan yang tidak dipersetujuinya. (Siti Fatimah ,2009).

Tujuan kertas ini adalah mengkaji apakah methodologi yang digunakan oleh Syeikh  Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin (selepas ini disebut Syaikh ‘Uthaimin ) dalam tulisan beliau semasa menulis syarah kepada Kitab Riyadhus al-Salihin karangan Imam al-Nawawi yang cukup hebat ini. Kerana diantara syarah hadis kontemporari adalah syarah yang dihasilkan oleh Syaikh ‘Uthaimin ini. Secara tidak langsung kita akan memahami tafsiran dan huraian sesebuah hadis itu mengikut pensyarahnya. Namun hasil penulisan  sesebuah kitab syarah hadis tergantung pada ‘uruf  kehidupan pensyarah tersebut  yang menyebabkan perbezaan methodologi dalam hasil karya masing-masing.

2.0       PERKEMBANGAN ILMU HADIS.
Perkembangan pengajian ilmu hadis telah berlarutan dalam tempoh yang sangat panjang dan kewujudan pelbagai kitab-kitab yang membincangkan ilmu hadis ini dalam pelbagai displin ilmu yang lainnya. Pengajian ilmu hadis ini lebih popular disebut dengan ilmu Musthalah Hadis atau ulum hadis dan pecahan serta bahagian- bahagian ilmu hadis, dari matan teksnya, hingga ke sanadnya terlalu banyak perbahasan dan perinciannya yang memerlukan individu yang ingin memahami ilmu hadis ini menekuni dengan disiplin pengajian yang tinggi. Oleh itu kaedah-kaedah ilmu hadis yang telah dibangunkan oleh para ulama’ khususnya para muhaddisin tercakup dalam dua aspek iaitu berkaitan dengan sanadnya dan matannya, kedua-dua aspek ini dikembangkan dengan pelbagai bidang yang berkaitan dalam kitab-kitab yang membahaskan khusus mengenai ulum hadis. Bahkan perlunya disyarahkan ilmu hadis ini untuk pemikiran moden dan kepentingan masa depan umat Islam. (Sunusi, 2013)

Prof. Kh. Ali Mustafa Yaqub dalam kata pengantar kepada kitab karangan Imam Al-Nawawi (wafat 643H) Dasar-dasar Ilmu Hadis versi Indonesia menyebutkan bahawa perkembangan kajian ilmu hadis mencapai puncaknya ketika Imam Ibnu al-Shalah atau lebih dikenali dengan  Imam al-Nawawi   menulis karya ilmiah yang sangat monumental iaitu Muaqaddimah Ibnu al-Shalah. Kitab ini telah menegaskan bahawa kitab yang paling otentik sesudah Al-Quran adalah kitab Sahih Bukhary dan Sahih Muslim. Sesudah itu wujud tidak kurang 33 buah kitab yang membahaskan Kitab Ibnu al-Shalah ini, meliputi ikhtisar (ringkasan), syarah (ulasan), nazhm (puisi dan Syarir) dan mu’arabhah (perbandingan).

Syarah hadis bermaksud huraian atau dalam istilah ulum hadis juga dikenali sebagai Fiqh al-Hadis demikian pandangan Akhmad (2010), ia juga bermaksud memberi keterangan dan pemahaman yang sebenarnya terhadap sebuah hadis itu. Manakala  M. Nurkholis (2003) yang menghuraikan erti syarah menurut kalimah bahasa arab dari kata “syaraha, yasyrahu, syarh” yang bererti menghuraikan dan memisahkan bahagian-bahagiannya. Selanjutnya beliau menyebutkan syarah tidak hanya terbatas pada penjelasan naskah kitab secara keseluruhan tetapi juga secara huraian bahagian-bahagian tertentu, bahkah huraian dari sebuah hadis itu juga disebut dengan syarah. Maka yang disebut dengan syarah terhadap kitab yang tertentu itu adalah huraian atau penjelasan satu kitab secara keseluruhan, sedangkan apabila dikatakan syarah hadis secara mutlak adalah syarah terhadap segala ucapan, tindakan, dan ketetapan Rasulullah saw beserta sanadnya. Disamping itu syarah tidak semestinya dalam bentuk tulisan namun juga boleh berbentuk lisan.
Ilmu berkaitan syarah hadis semakin berkembang sejak kurun ketiga hijri lagi. Selepas penyusunan hadis Sahih Al-Bukhary, al-Muwattha’, Sunan al-Tarmizi, Sunan Abi Daud. Ramai ulama’ mula  menulis syarah ilmu hadis antaranya Al-Hafiz Abu Sulaiman Al-Khattab (wafat 388H) menghasilkan Ma’alim al-Sunan yang merupakan syarah Sunan Abi Daud. Ali bin Khalf (Wafat 499) juga menghasilkan syarah Sahih Bukhary. Al-Qadhi ‘Iyadh (Wafat 544H) juga menghasilkan syarah Sahih Bukhari.  Agusni (2014)  dalam kajian tesisnya menyebutkan karya-karya syarah hadis yang terkenal antaranya adalah kitab Fath al-Bari iaitu syarah dari kitab Sahih Bukhary oleh Ibn Hajar al-Qasthalani. Diantara tokoh nusantara dalam syarah hadis oleh Syeikh Idris al-Marbawy (wafat 1989M) dengan karya besar beliau yang berjudul Bahr al-Madzi sebanyak 30 jilid. Kitab ini mula ditulis pada tahun 1352 H/ 1933M hingga dicetak pada tahun 1377H/1957M. Karya beliau benar-benar menonjol kerana syarahnya ini keluar dari konsep terjemahan kepada tahlili. (Akhmad, 2010).

3.0       BIOGRAFI  PENGARANG DAN PENSYARAH. 
            3.1       Latarbelakang pengarang utama kitab Riyadhus al-Salihin.
 Fahmi Zam Zam (2005)  menyebutkan bahawa Imam al-Nawawi merupakan tokoh ulama’ feqah yang berpegang kepada mazhab Syafi’e. Namanya yang sebenar adalah Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Muri bin Hasan bin Husain bin Muhammad bin Juma’ah bin Hizam bin al-Hizami al-Dimashqi. Beliau lahir di Nawa, Selatan Damsyik pada bulan 631 H / 1233M. Beliau mendapat pendidikan awal bertempat di Madrasah al-Rwahiyah di Damsyik. Beliau tidak pernah berkahwin  kerana terlalu sibuk dengan kehidupannya yang begitu zuhud. Beliau seorang yang sangat berani dalam memperjuangkan Islam.

Manakala Nur Rahim.(2013) menjelaskan lagi mengenai latarbelakang pengajian dalam detik-detik awal alam pendidikan al-Nawawi dengan katanya  ketika ia berumur sepuluh tahun Syaikh Yasin bin Yusof al-Zarkashi melihatnya dipaksa bermain oleh rakan-rakan sebaya dengannya, namun ia menghindari, menolak dan menangis dengan paksaan tersebut, lalu Syaikh Yasin berkata bahawa anak ini akan menjadi orang yang cerdik dan paling zuhud pada masanya dan akan memberi banyak manfaat kepada umat Islam. Sejak dari itu ia mendapat perhatian yang khusus oleh ayah dan guru-gurunya. Pada tahun 649H ia mulai rihlah thalabul ilmi di Damasyik dengan menghadiri halaqah-halaqah ilmiah yang diadakan oleh para ulama’ di kota tersebut. Disebutkan ia menghadiri dua belas halaqah dalam sehari.
Guru-guru kepada Imam al-Nawawi diantaranya adalah :
i)                    Abul Baqa’ al-Nablusy,
ii)                  Abdul Aziz bin Muhammad al-Ausy.
iii)                Abu Ishak al-Murady,
iv)                Abul Faraj ibnu Qutamah al-Maqdisiy.
v)                  Ishak bin Ahmad al-Maghriby
vi)                Ibnu Firkah.
Hasil karya beliau berjumlah empat puluh buah kitab merupakan kitab-kitab yang amat masyur, antara kitab-kitab beliau yang besar adalah :-
i)                    Al-Arba’in An-Nawawiyah. (Bidang Hadis)
ii)                  Riyadhus al-Salihin. (Bidang hadis)
iii)                Al-Minhaj (Syarah Sahih Muslim).
iv)                Al-Taqrib wa al-taysir fi ma’rifat sunan al-basyirin nadzir.(Bidang Hadis)
v)                  Minhajul thalibin. (Bidang Feqah)
vi)                Raudhatul thalibin. (Bidang Feqah)
vii)              Al-Majmu’ (Bidang Feqah)
viii)            Tahdzibul Asma’ wal lughat. (Bidang Bahasa)
ix)                Al-Tibyan fi adab hamalatil quran. (Bidang Ulum Quran)
x)                  Bustanul ‘ariffin. (bidang Tasauf / Akhlak)
xi)                Al-Adzkar. (Bidang akhlak / Doa)
Beliau telah digelar dengan gelaran ‘Muhyiddin’ iaitu yang menghidupkan agama, namun beliau membenci gelar ini kerana tawadhu’. Beliau adalah seorang yang sangat zuhud, wara’ dan bertaqwa, ramai muridnya mengatakan al-Nawawi seorang yang sederhana, qana’ah lagi sangat berwibawa. Fahmi Zam Zam (2005) menjelaskan bahawa Imam Al-Nawawi  sering menegakkan amar maaruf nahi mungkar termasuk kepada para pemerintah dengan cara menulis surat berisi nasihat dengan bahasa yang halus sekali. Secara umumnya menurutnya lagi al-Nawawi termasuk salafi dan berpegang teguh pada manhaj ahlul hadis, tidak terjerumus dalam falsafah dan berusaha untuk meneladani generasi awal umat dan beliau sering menulis bantahan kepada ahlul bid’ah  dan menyisihkan mereka. Beliau adalah ulama’ besar dalam mazhab Al-Syafie. Beliau seorang pemikir muslim di bidang feqah dan hadis. Beliau sering menyibukkan diri untuk beribadah, menuntut ilmu, menulis kitab, serta mengabdikan diri untuk menyebarkan ilmu pengetahuan hingga akhir hayat beliau. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir ketika usia 45 tahun iaitu pada  676 H / 1277M di kampong asalnya di Nawa.

3.2       Latarbelakang Pensyarah  Hadis Syaikh Muhammad Salih ‘Uthaimin.
Abu Anas (2008) menyebutkan latar belakang Syaikh ‘Uthaimin dengan nama penuhnya dan gelarannya Al-A’lamah Al-Faqeh Abu Abdullah Muhammad Ibn Soleh Ibn Muhammad Ibn Al-‘Utahimin Al-Tamimi Al-Najdi, beliau lahir pada 27 Ramadzan 1347 H di Unayzah, Al-Qasim, Saudi Arabia.  Sejak kecil telah belajar membaca Al-Quran daripada neneknya iaitu Syaikh Abdurrahman bin Sulaiman Ali al-Damigh hingga beliau menghafalnya. Selepas itu beliau mulai mencari ilmu dan belajar khat (ilmu tulis menulis), ilmu algebra dan beberapa bidang ilmu sastera. Beliau melanjutkan pengajiannya di  Maktab Syaikh Abdurrahman al-Sa’di, dan telah menjadi tradisi di intitusi ini pelajar senior akan mengajar dan membimbing pelajar baru yang masih muda. Syaikh ‘Uthaimin telah dibimbing oleh Syaikh Ali al-Shalihin dan Syaikh Muhammad bin Abdil Aziz al-Muthawwi.  Dengan Syaikh Muhammad bin Abdil Aziz al-Muthawwi ini  Syaikh ‘Uthaimin mempelajari kitab ‘Mukthasar al-Aqidah al-Wasithiyah’ dan ‘Minhaju Salikin fil Fiqh’ karya Syaikh Abdurrahman al-Sa’di. Beliau belajar ilmu faraid (waris) dan fiqh kepada Syaikh Abdurrahman bin Ali ‘Audan. Sedangkan kepada Syaikh Abdurrahman al-Sa’di beliau mempelajari ilmu tauhid, tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, faraid, musthalahul hadis, nahu dan saraf. Syaikh ‘Uthaimin tergolong dalam kalangan murid yang memiliki kedudukan istemewa disisi Syaikh Abdurrahman bin Nashir al-Sa’di. Ketika ayahnya akan berpindah ke Riyadh di usia pertumbuhannya dia ingin ikut serta bersama ayahnya, namun dihalang oleh Syaikh Abdurrahman  dengan meminta agar dia tetap di sini bagi mendapat didikan yang lebih sempurna.  Syaikh Abdurrahman  sangat terkesan dengan kemampuan Syaikh ‘ Uthaimin yang dapat menguasai ilmu serta akhlaknya yang baik. Syaikh ‘Uthaimin mudah bergaul dengan anak-anak kecil dan bersifat sangat ramah dan menghormati orang dewasa.

Ketika ia meningkat dewasa, Syaikh ‘Uthaimin belajar dengan Syaikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz, seorang mufti Arab Saudi yang ternama. Disini beliau belajar kitab Sahih Bukhary, sebahagian karya Ibnu Taimiyyah serta beberapa kitab fiqh yang lainnya. Syaikh ‘Uthaimin amat mengkagumi akhlak gurunya ini yang sangat mengambil perhatian kepada ilmu hadis dan juga akhlaknya dengan orang ramai. Pada tahun 1951 Syaikh ‘Uthaimin mengajar di Masjid Jame’ dan pada tahun 1952 apabila di buka institut ilmu di Riyadh dia mula mengajar di sini setelah meminta izin Syaikh Abdurrahman  al-Sa’di. Ketika itu Ma’had al-Ilmiyyah (Riyadh) terbahagi kepada dua bahagian, iaitu umum dan khusus, Syaikh ‘Uthaimin mengajar di bahagian khusus.

Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syaikh iaitu mufti kerajaan Arab Saudi yang pertama pernah menawarkan bahkan meminta berulang kali kepada Syaikh ‘Uthaimin untuk menduduki Jabatan Qadhi (Hakim) tinggi, bahkan telah mengeluarkan surat perlantikan sebagai Ketua Hakim Agama di Ak- Ihsa (Ahsa), namun Syaikh ‘Uthaimin menoloknya dengan halus. Setelah Syaikh Abdurrahman  bin Nashir as-Sa’di wafat, beliau mengantikan sebagai imam Masjid Jame’ di Unaizah dan mengajar di Perpustakaan Nasional di Unaizah di samping mengajar di Maahad al-‘Ilmi. Beliau berpindah dan mengajar di Universiti Imam Muhammad bin Su’ud al-Islamiyah di Qasim. Beliau juga termasuk dalam anggota Hai’ah Kibarul Ulama’. Beliau mempunyai banyak kegiatan dakwah dan banyak menghasilkan tulisan dalam kitab-kitab hasil karangannya, diantara kitab-kitab tersebut adalah :
i)                    Talkhis al-Hamawiyah.
ii)                  Tafsir ayat al-Ahkam.
iii)                Syarh Umdatul Ahkam.
iv)                Musthalah Hadis.
v)                  Al Ushul min Ilmi Ushul.
vi)                Risalah fi Wudhu wal Ghusi wash Salah.
vii)              Risalah Fil Kufri Tarikis Shalah.
viii)            Majalisu ar Ramadhan.
ix)                Al-Udhiyah wa Az- Zakah.
x)                  Al-Manhaj li Muridil Hajj Wal Umrah.
xi)                Tashil al-Faraid.
xii)              Syarh Lum’atul I’tiqad.
xiii)            Syarh al-Aqidah al-Wasathiyah.
xiv)             Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jammah.
xv)               Risalah Al-Hijab.
xvi)             Risalah fil Al Mash ‘alal Khuffain.
xvii)           Tafsir Ayat Qursi.
xviii)         Min Musykilat Asy-Syabab.
xix)             Risalah fi Qashri Ash Shalah lil Mubtaisin
xx)               Fatawa al-Hajj.
xxi)             Min Musykilat Asy-Syabab
xxii)           Al-Majmu’ al-Kabir min al-Fatawa.
xxiii)         Syarh Riyadus Salihin.
xxiv)         Al Khilaf Bainal Ulama, Asbabuhu wa Muaqifuna Minhu.
xxv)           Ushul At Tafsir.
xxvi)         Risalah Fi Ad Dima’ Ath Tabiiyah.
xxvii)       As’illah Muhimmah.
xxviii)     Izalat As-Sitar ‘Anil Jawab Al-Mukhtar li Hidayatil Muhtar.
xxix)         Al-Ibtida’ fi Kamali Asy Syar’i wa Khtharil Ibtida’.
xxx)          Dan lain-lain kitab lagi.

Syaikh ‘Uthaimin sangat fokus dalam menghafal matan-matan, serta mendidik anak muridnya juga kearah itu, sambil mengulang dan menghafal setiap pelajaran. Beliau telah mencurahkan segenap kemampuannya untuk mensyarah dan mentahqiq berbagai permasalahan dan menjelaskan pendapat ulama’ yang rajih dengan mengenepikan kepentingan peribadi.  Ketika memberi penjelasan, beliau cenderung menggunakan dialog dan menyoal pelbagai soalan kepada muridnya serta mendengar pendapat mereka.

Syaikh ‘Uthaimin telah menerima  penghargaan antarabangsa  dari Raja Al-Malik Faisal pada 1414 Hijrah atas dedikasi dan sumbangan serta pemikiran kepada permasalahan kaum muslimin. Beliau diserang penyakit kanser usus dan telah menerima rawatan hingga ke Amerika Syarikat, namun beliau membatalkan hasrat rawatan secara kimotrapi apabila dimaklumkan bahawa selepas kimotrapi ini, janggutnya juga akan gugur. Beliau tidak mahu berjumpa dengan Allah swt tanpa janggut. Beliau wafat pada 15 Syawal 1421 Hijrah dalam usia 74 tahun di Hospital Al-Malik Faisal At-Takhassushi, Jeddah. (Sumber tambahan dari Internet: Wikipedia Scholars Biographies (2001) dan Biografy of  Syaikh ‘Uthaimeen (2013).

4.0       METHODOLOGI SYARAH KITAB INI.
            4.1       Latarbelakang kitab Riyadhus Salihin.
Menurut Farhatul Hakimah (2011)  yang menulis tesis sarjana beliau menyebutkan Kitab Riyadhus al-Salihin  dari perspektif definisi menurut kamus Za’ba (2000:641) adalah seperti berikut,  Kitab adalah buku yang mengandungi ajaran atau hukum keagamaan di dalamnya. Riyad pula adalah perkataan arab yang bermaksud taman. Al-Salihin pula bermaksud orang-orang soleh. Salih adalah istilah inklusif yang meliputi segala nilai-nilai unggul keagamaan, nilai-nilai samawi yang tetap dan mutlak demikian pandangan Siddiq Fadzil (2013). Jadi Riyad al-Salihin bermaksud taman orang-orang soleh. Namun hakikat sebenarnya adalah Kitab Riyadhus Salihin adalah satu kitab yang dikarang oleh Imam al-Nawawi dengan mengumpulkan hadis-hadis yang boleh dijadikan panduan hidup seluruh umat manusia.

Kata pengantar terjemahan  yang ditulis oleh  Thariq Abdul Aziz (2008) dalam kitab Syarah Riyadhus al-Salihin oleh Syaikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin  mengungkapkan bahawa kitab ini tidak asing lagi dan telah tersebar diseluruh pelusuk dunia kerana keikhlasan yang dimiliki oleh Imam al-Nawawi itu sendiri. Kitab ini mencakupi pelbagai bab antaranya adalah mengenai adab, akhlak  dan ikhlas. Bab-bab ini disusun mengikut tema-tema utama misalnya solat, zakat, jihad, doa, al-Quran dan sebagainya. Imam al-Nawawi dalam muqaddimah kitab Riyadhus al-Salihin ini menyebutkan bahawa kitab ini mengandungi hadis-hadis yang beliau kutip dari Khutub Sittah (Enam kitab hadis yang utama) dan secara tegas beliau menegaskan hanya hadis-hadis yang sahih dari kitab-kitab hadis yang mashyur sahaja yang beliau gunakan, dengan itu tidak ada satu hadis daif pun yang dimasukkan ke dalam kitab ini.  

4.2       Methodologi dalam penulisan syarah kitab hadis.
 Mustaffa al-Siba’i (2014) salah seorang tokoh gerakan Islam yang alim dan faqih  yang membincangkan masa depan hadis dan ulum hadis menyorot perbahasan mengenai pemikiran dan aspek interpretasi hadis dan perbezaan pemahaman ilmu hadis telah bermula sejak zaman Rasulullah saw lagi. Konflik tentang martabat sesuatu hadis dan sempadan pembersihan antara sunnah dan pembohongan hadis bermula pada tahun 40H.  Ulama’ hadis bangkit untuk membersihkan hadis dari unsur-unsur yang meragukan kerana tafsiran yang berbeza dari sejak zaman sahabat lagi. Sebahagian sahabat cenderung untuk memahami hadis Nabi saw secara tekstual, manakala segolongan lagi dari sahabat baginda memahami secara kontekstual. Isu ini banyak dibahaskan oleh ulama’ ilmu hadis dalam menjusitifakasikan pandangan bahawa syarah hadis berasaskan kepada kontektual dibenarkan dan tidak menjadi tegahan oleh Rasulullah saw.  

Namun menurut  Ibnu Taimiyah (2005) penulisan syarah hadis dimulai sejak adanya tradisi dalam Islam, kerana sikap umat Islam ketika salaf al-salih yang sentiasa berpegang teguh pada Al-Quran dan hadis dalam setiap aspek kehidupan mereka kerana  pada ketika zaman  salaf al-salih perbezaan dalam memahami hadis Rasulullah saw sangat sedikit. Oleh itu lebih terfokus pada huraian yang bersifat istid’lal (induktif) daripada huraian hadis secara istilahnya yang menggunakan kaedah istintaj (deduktif). (Akhmad, 2013).

Ulama’ yang terlibat dalam ilmu methodologi syarah hadis mempunyai pelbagai pandangan mutaakhir ini, kerana menurut Sunusi (2013) aspek interpretasi secara kontektual dijadikan asas syarah hadis. Ini kerana kewujudan hadis adalah  sebagai petunjuk atau maqasid (tujuan) untuk maslahah hidup umat manusia. Malah pemahaman secara kontektual sesebuah hadis itu memerlukan ijtihad para ulama’ dan perubahan makna yang sesuai dengan perubahan zaman dan lingkungannya.

                        Methodologi syarah hadis mula diketahui pertama kali sekitar akhir abad kedua dan awal abad ketiga hijrah, Kelahirannya dimulai dengan penulisan bidang ikhtilaf al-hadis dan gharib al-hadis. Penulisan dalam bentuk ini lebih cenderung menggunakan pendekatan istintaj sebagai kaedah huraian hadisnya dan dari segi skopnya masih terfokus pada huraian yang bersifat ta’wil serta makna perkataan sahaja, tidak secara tahlili. (Akhmad, 2010).
                       
Terdapat beberapa bentuk dalam syarah hadis ini, disebutkan oleh dalam modul isu-isu kontemporari pengajian hadis bahawa tiga method utama yang digunakan oleh ulama’ dalam ilmu hadis dalam menyampaikan syarah mereka. ( Zulhilmi et al. 2013)

i)                    Pendekatan Tahlili (Analisis).
Pendekatan atau methodologi ini adalah secara analisis iaitu dengan menjelaskan hadis-hadis Nabi saw dengan memaparkan secara aspek yang terkandung dalam sebuah hadis tersebut antaranya seperti kosa kata, makna perkataan, latar belakang turunnya hadis ini (asbab al-wurud) , kaitannya dengan hadis yang lain  serta pendapat ulama’. Secara umumnya syarah dengan method ini berbentul ma’thur (riwayat) atau ra’y (pendapat atau pemikiran rasional). Menurut M. Nurcholis ( 2003) bentuk ma’thur adalah huraian yang datang dari para sahabat, tabi’in, tabi’ al-tabi’in atau ulama’ hadis dalam menjelaskan maksud hadis yang disyarahkan itu. Manakala  kaedah ra’y pula adalah berasaskan pemikiran rasional yang mendominasi pensyarahnya. 

ii)                  Pendekatan Ijmali (Ringkasan).
Pendekatan atau methodologi  ini adalah huraian ringkas secara menerangkan hadis-hadis sesuai dengan urutan dalam kitab-kitab hadis yang ada dalam al-khutub al-sittah secara umum, tetapi dalam masa yang sama dapat mempersembahkan syarah hadis dengan bahasa yang mudah difahami. Syarah hadis ini dilakukan dengan penjelasan dari awal hingga akhir tanpa perbandingan dan penerangan judul. Pensyarah tidak menggunakan pendapat peribadi semaksimum yang mungkin. (Zulhilmi et al. 2013). Namun menurut M. Nurcholis (2003) yang menjelaskan beberapa aspek kelemahan dalam method ini kerana huraian hadis terpisah antara satu hadis dengan hadis yang lain, sehingga hadis itu jika difahami secara sendiri akan mengakibatkan pemahaman yang terpecah.

iii)                Pendekatan Muqaran (Perbandingan).
Zulhilmi et al. (2013) menjelaskan pendekatan atau methodologi ini adalah perbandingan iaitu dengan dua cara, pertama membandingkan hadis yang memiliki lafaz yang sama atau mirip dalam tajuk yang sama atau memiliki lafaz yang berbeza tetapi masih dalam tajuk yang sama. Kedua membandingkan pelbagai pendapat ulama’ yang telah mensyarahkan hadis ini.  Manakala menurut M. Nurcholis (2003) yang menyebutkan dalam method ini pensyarah akan meninjau berbagai aspek yang menyebabkan timbulnya perbezaan tersebut, seperti asbab al-wurud, penggunaan perkataan dan susunannya, kontek hadis ini muncul dan sebagainya. Pensyarah mengambil hadis lain sebagai bandingan dan pendapat ulama‘ lain yang mengkomentari hadis ini.

            4.3       Aplikasi dalam penulisan oleh Syarah oleh Syaikh ‘Uthaimin.
Kitab Riyadhus al-Salihin yang di syarah kan oleh Syaikh ‘Utahimin ini ditulis dalam bentuk pendekatan Muqaran.  Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam  perenggan yang lalu, bentuk muqaran ini adalah dengan membuat perbandingan antara hadis dengan hadis yang lain, dan mengambil pendapat ulama’ lain dalam memberikan pandangan terhadap hadis yang berkaitan. Namun terdapat sedikit pendekatan Tahlili (Analisis) yang digunakan oleh Syaikh ‘Uthaimin, iaitu dengan memberikan pendapat serta pandangan sendiri terhadap beberapa isu yang memerlukan penjelasan tambahan sebagaimana yang difahami secara ra’y.  

Hujah mengatakan bahawa Syaikh ‘Uthaimin menggunakan pendekatan Muqaran ini adalah :-
i)                    Membandingkan antara hadis dengan hadis dalam tajuk yang sama. Contohnya , dalam bab 19  bertajuk  Orang yang memberi contoh amal yang baik atau buruk. Dalam bab ini  Iman al-Nawawi mulai dengan dua ayat Al-Quran iaitu surah al-Furqan ayat 74 dan surah al-Anbiya; ayat 73, diikuti dengan  dua buah hadis sahaja. Kitab Syarah Syaikh ‘Uthaimin beliau menambah hadis Rasulullah saw “ Setiap bid’ah itu sesat”  dengan menghuraikan maksud Sunnah dan Bid’ah.  Beliau mendefinisikan Sunnah yang baik ada dua , pertama sunnah yang disyariatkan tetapi ditinggalkan oleh Rasulullah saw seperti solat terawih secara berjamaah, Baginda tinggalkan kerana khuwatir memberatkan umatnya. Kedua, kata Syaikh ‘Uthaimin lagi seperti sunnah orang yang pertama yang mengerakkan kebaikan, lalu diikuti oleh orang ramai, contohnya dalam bersedekah.

Contoh berikutnya dalam bab 43  bertajuk memuliakan ahli bait Rasulullah saw dan menjelaskan tentang keutamaan mereka.
Beliau membawa beberapa rujukan hadis  dari Sahih Muslim atau Sahih Bukhary dalam rujukan yang sama yang ada kaitan dengan tajuk ini.  Sheikh ‘Uthaimin juga memberikan kesimpulan keatas beberapa isu dalam syarah hadisnya ini  supaya mudah difahami dan boleh diamalkan dengan kefahaman yang menyeluruh.

ii)                  Memetik ayat Quran untuk menyokong hadis.
Syaikh ‘Uthaimin juga memetik ayat-ayat Quran untuk menyokong hujah atau huraian hadis yang beliau syarahkan, contohnya dalam Bab 3  bertajuk Sabar, beliau memetik  Surah al-hadid ayat 4, Surah al-Mujadalah ayat 7 dan  Surah al-Hajj ayat 70 .  Walaupun syarah dalam satu hadis sahaja tetapi beliau menggunakan sokongan ayat-ayat al-Quran bagi memantapkan huraiannya.  Beliau juga menghuraikan dari segi bahasa arab yang dimaksudkan dalam sesebuah hadis. Sebagai contohnya , istilah ‘nuha’ berbentul plural (jamak)  dari ‘nuhyah’ iaitu akal dalam maksud lain adalah orang yang berfikir. Contoh berikutnya dalam bab 43  bertajuk Memuliakan ahli bait Rasulullah saw dan menjelaskan tentang keutamaan mereka. Didalam bab ini Syaikh ‘Uthaimin memberikan sebanyak tiga ayat Al-Quran iaitu ayat 46 Surah Huud  ayat 33, Surah Al-Ahzab  Ayat 29 dan Surah an-Nisa’ ayat 59 .

iii)                Menghuraikan isu atau hadis yang  mutasyabihat (samar-samar).
Syaikh ‘Utahimin juga membuat huraian yang terang kepada ayat-ayat atau istilah-istilah mutasyabihat (samar-samar) supaya dapat dijelaskan dengan makna dan kefahaman yang betul. Contohnya hadis dalam bab 2  bertajuk Taubat. Beliau menghuraikan sifat-sifat ‘Allah bergembira’ dengan tafsiran Allah swt bergembira, murka, benci dan cinta, namun sifat Allah swt bergembira, murka, benci dan cinta  tidak sama dengan manusia seperti firman Allah swt dalam surah  as-Syura ayat 11 yang bermaksud  “Tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya”. Beliau juga memberi panduan syariat berasaskan pemahaman ilmu feqah. Sebagai contohnya, bab 44 bertajuk  menghormati alim ulama’, orang tua dan orang mulia, mendahulukan, menjunjung tinggi serta mengakui martabat mereka. Hadis yang ke 361 tentang ‘ liayaliyani minkum’(hendaklah berada di dekatku) telah dibahaskan dari segi kedudukan atau keutamaan serta susunan seseorang dalam saf sembahyang. Iaitu orang yang sudah baligh dan berakal berada di saf hadapan berbanding dengan anak-anak.
iv)                Memetik pandangan ulama’ lain dalam membahaskan hadis.
Contohnya dalam Bab 1 mengenai keikhlasan dalam beramal, dalam sebahagian hadis beliau memetik pandangan Syaikh al-Albani dalam Gayah al-Maram untuk menyokong pendapatnya itu.  Sebahagian yang lain Syaikh ‘Uthaimin menyebutkan perbezaan lafaz dalam hadis oleh Imam Muslim. Contoh lain dalam bab 3 tajuk sabar, Syaikh ‘Uthaimin membawa pendapat Syaikhul Islam. Mengenai cara bunuh diri dengan meletupkan diri ditengah-tengah musuh Islam, pendapat Syaikhul Islam, mengatakan bahawa mereka tidak termasuk dalam golongan jihad fi sabilillah atau orang yang mati syahid, Na’ uzubillah. Syaikhul Islam pada pandangan saya adalah Ibnu Taimiyyah, kerana Syaikh ‘Uthaimin sangat meminati karya Ibnu Taimiyyah.
v)                  Pandangan peribadi berdasarkan latar belakang pensyarah.
Syarah Syaikh ‘Uthaimin sebagaimana yang disebutkan adalah secara muqaran namun terdapat juga cara ra’y dalam methodologi tahlili iaitu pandangan peribadi pensyarah. Semua sedia maklum kehidupan Syaikh ‘Uthaimin hidup dalam lingkungan di tanah Arab dan lebih khusus lagi di Mekah, Jeddah, Madinah dan sekitarnya. Kehidupan di sini banyak dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad bin Abdul Wahab, tokoh mujaddid dan pembaharuan pada zamannya. Oleh itu perselisihan pendapat dalam isu mazhab masih kuat melingkari Syaikh ‘Uthaimin , isu sunnah , bid’ah dan khurafat amat ditekankan. Antaranya pandangan keras beliau dalam bab 1 mengenai niat yang ikhlas, beliau berpandangan dengan katanya ;-
bahawa niat itu di hati, bukan pada lisan dalam seluruh amalan. Oleh kerana itu barangsiapa yang mengucapkan niat saat hendak puasa, solat, haji, wudhuk, atau amalan-amaln lainnya , maka dia adalah pembuat bid’ah dengan mencetuskan  sesuatu yang bukan sebahagian dari agama.”
                                    Pandangan ini berbeza dengan amalan dalam mazhab As-Shafie yang meminta lafaz niat di jaharkan pada permulaan amalan seperti solat atau puasa, walaupun hukumnya adalah tidak wajib.

            4.4       Empat methodologi yang digunakan oleh  Syaikh ‘Uthaimin.
i)                    Menyebut martabat hadis dan memilih hadis yang sahih sahaja.
Kebanyakkan syarah oleh Syaikh ‘Utahimin mengambil dari rujukan al-Sunnan al-Sittah, iaitu Sahih Bukhary, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan an-Nasai’ dan Sunan Ibn Majah.

ii)                  Memilih pendapat yang boleh diamalkan.
Contohnya dalam bab feqah, beliau memilih pendapat atau hukum feqah yang telah diamalkan oleh Rasulullah saw. Beliau amat menentang bid’ah dan amalan-amalan yang tidak ada sandaran syarak.

iii)                Menerangkan  darjat hadis dan pandangan ulama’ dalam darjat hadis tersebut.
Beliau juga menyebut status hadis dalam rujukan kitab hadis yang lain, seperti ‘Hadis ini telah di daifkan oleh Ibnu Majah’. Atau ‘Hadis ini telah di Hassankan oleh Syaikh al-Albani’. Termasuk menyebut hadis ini juga telah di sahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih al-Jami’.


iv)                Memberikan pandangan ulama’ terhadap fatwa terkini atau kontemporari.
Syaikh ‘Uthaimin dalam syarahnya hadis ini juga menyentuh persoalan semasa umat Islam dan fatwa yang terkini yang telah dikeluarkan oleh Ulama’ sezamannya dalam isu-isu umat Islam sejagat.

5.0       KEISTIMEWAAN DAN KELEBIHAN KITAB SYARAH INI.
5.1       Perbandingan syarah kitab ini dengan syarah kitab al-Minhaj oleh al-Nawawi .
Antara seorang pensyarah dengan pensyarah yang lainnya terdapat perbezaan pendekatan atau methodologi.  Permulaan kitab syarah yang lengkap menurut Akhmad (2010) adalah setelah lahirnya kitab al-Minhaj iaitu syarah Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi. Kelahiran kitab ini dianggap penyempurnaan dan pelengkap kitab-kitab  syarah sebelumnya. Hal ini menurut Akhmad lagi adalah kerana kitab-kitab sebelum ini dipenuhi dengan pendapat dan pandangan ulama’ sahaja  tanpa disertai dengan tarjih dan rumusan pendapat tersebut. Imam al-Nawawi bukan sahaja mengutip kembali pendapat-pendapat tersebut tetapi beliau memilih, menyaring dan mentarjihnya. Zulhilmi et al. (2013) merujuk karya Faisal Ahmad Shah (2010) yang menyebutkan methodologi yang digunakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab ini adalah :
i)                    Mengambil pendekatan sederhana dalam mensyarahkan hadis Nabi saw.
ii)                  Mengekalkan hadis-hadis serta sanadnya sepertimana yang terdapat dalam Sahih Muslim.
iii)                Mendiskusikan secara menyeluruh dengan penekanan terhadap ilmu riwayah dan dirayah juga  menyentuh  persoalan furu’ fiqhiyyah, usul fiqh, bahasa dan sebagainya.
iv)                Tidak menyandarkan pendapat-pendapat yang mashyur kepada sumber melainkan disebab terlupa pada beberapa tempat.
v)                  Tidak mengulang syarah sesuatu hadis dengan berulangkali, hanya mengisyaratkan bahawa hadis tersebut telahpun disyarahkan.
vi)                Mentakhrijkan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitabnya.
Kesimpulan perbandingan diantara syarah yang pernah dibuat oleh Imam al-Nawawi melalui kitab al-Minhaj iaitu syarah Sahih Muslim, dengan syarah oleh Syaikh ‘Uthaimin iaitu kitab Riyadhus al-Salihin ini,  terdapat perbezaan dan persamaan.
Persamaannya :-
i)                    Kedua-dua syarah tidak mengulangi huraian hadis yang ada persamaan atau telah disebut dalam bab yang lain. Hanya menyatakan rujukan nombor hadis sahaja yang telah disyarahkan.
ii)                  Mentakrijkan hadis dan menyatakan status hadis tersebut.
iii)                Mengambil pendekatan sederhana dan menyatakan pendapat yang mudah untuk diamalkan.
iv)                Mengekalkan kedudukan hadis mengikut kitab yang disyarahkan, Imam al-Nawawi mengekalkan susunan dalam Sahih Muslim. Syaikh ‘Uthaimin mengekalkan susunan dalam Riyadhus al-Salihin.
Perbezaannya :-
i)                    Syaikh ‘Uthaimin tidak mendiskusikan secara menyeluruh pendapat hadis dari segi riwayah atau dirayah  dan perkara furu’, fiqiyyah, usul fiqh kecuali beberapa istilah atau bahasa sahaja.
ii)                  Beliau juga tidak menyandarkan kepada pendapat ulama’ yang mashyur dalam syarahnya ini.


5.2       Perbandingan syarah kitab ini dengan  kitab Jawahir al-Bukhary oleh al-Qasthalani.
Kitab Jawahir al-Bukhary yang telah disyarahkan oleh al-Qasthalani mengandungi hanya 817 hadis pilihan dari Sahih al-Bukhary. Beliau menggunakan pendekatan syarah hadis secara Ijmali iaitu secara ringkas sahaja dengan banyak merujuk kepada  penulis kitab Fathul Bari.  Penyusun Mustafa (2014) dalam kata pengantar syarah hadis ini menyebutkan , ketika diperlukan penjelasan yang lebih mendalam, penulis sering mengulangi keterangannya. Ia juga mencatat hal-hal yang telah jelas bagi ulama’, agar boleh difahami oleh kalangan orang awam.
Perbandingan dengan syarah oleh Syaikh ‘Uthaimin dalam syarah Riyadhus al-salihin adalah,
Persamaannya :-
i)                    Syaikh al-Qasthalani banyak memetik ayat-ayat al-Quran bagi menguatkan hujah beliau.
ii)                  Pandangan peribadi al-Qasthalani dalam lingkungan amalan feqahnya dimasukkan dalam syarah sebagaimana Syaikh ‘Uthaimin.
Perbezaannya :-
i)                    Permulaan syarah al-Qasthalani adalah secara menterjemah perkataan demi perkataan dengan bahasa dan pengertiannya.
ii)                  Banyak perbahasan feqah yang lebih terperinci berbanding syarah oleh Syaikh ‘Uthaimin
iii)                Lebih banyak memetik hadis lain berbanding dengan Syaikh ‘Uthaimin sebagai sandaran hujahnya.
iv)                Tidak mengikut susunan kitab asal Sahih Bukhari, hanya memilih 817 hadis sahaja dan dikelasifikasikan mengikut bab-bab tertentu.
v)                   Al-Qasthalani memetik pandangan ulama’ dalam mensyarahkan sesebuah hadis sebagai contohnya padangan Imam al-Nawawi, Zamakhsyari, dan Pandangan ulama salaf berbanding dengan Syaikh ‘Uthaimin yang kurang mengambil pandangan ulama’ lain.

5.3       Keistimewaan kitab syarah oleh Syaikh ‘Uthaimin.
Terdapat beberapa keistimewaan dalam kitab Syarah Hadis Riyadhus al-Salihin oleh Syaikh ‘Uthaimin ini, diantara keistimewaan tersebut adalah :-
i)                    Penjelasan yang mudah dan ringkas.
ii)                  Terdapat sandaran nas al-Quran bagi mengukuhkan lagi pandangan dan huraian beliau.
iii)                Menghuraikan istilah-istilah yang kurang jelas dengan pandangan dari ilmu pengetahuannya yang mendalam.
iv)                Menyebut rujukan dari kitab al-Sunan al-Sittah termasuk nombor dalam  hadis  seperti HR Bukhary, HR  Muslim , HR al-Tirmizi, HR Abu Daud, HR An-Nasai dan HR Ibnu Majah.
v)                  Mengariskan hukum feqah dalam syarah hadis, supaya pemahaman terhadap hadis tidak terkeluar dari kerangka syariat.
vi)                Menghuraikan isu-isu semasa umat Islam, contohnya isu di Palestin yang dijajah oleh Yahudi Israel dalam bab 3 tajuk sabar.

6.0       RUMUSAN.
Kepentingan sesuatu syarah hadis samalah seperti pentingnya tafsir dalam al-Quran, tafsiran atau syarah ini diperlukan kerana berlaku perubahan zaman yang memerlukan  kita melihat isu-isu yang melingkari umat Islam kini, pendekatan secara mengambil teks-teks agama secara membabi buta tanpa syarah oleh ahli dalam bidangnya akan menjerumuskan umat Islam kekancah kemunduran.  Terdapat beberapa istilah dalam bahasa arab, pemahaman dan u’ruf  yang memerlukan sentuhan dan tafsiran para  ulama’ ilmu hadis. Namun kepentingan nas al-Quran atau al-hadis tergantung kepada sejauhmana amalan yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian. Nas-nas itu akan tinggal begitu sahaja walaupun datang seribu kitab syarah, namun tidak akan mendatangkan manfaat jika kita tidak berusaha untuk memahami syarah dari mutiara yang paling qate’ ini. Kedatangan al-Quran sebagai mukjizat yang mencakup pelbagai dimensi sebagaimana kata Siddiq Fadzil (2014) cukup menakjubkan. Kemukjizatan meliputi isu-isu saintifik, kebahasaan dan kesusasteraannya, tetapi yang lebih penting adalah kekuatan daya rubahnya, kekuatan tranformatif atau qudrah taghyiriyyahnya.

Samalah seperti hadis Rasulullah saw, kemunculannya sebagaimana di sebut oleh As-Shahid Sayed Qutb dalam Maalim fi Tariq (Pertunjuk Sepanjang Jalan), dengan tajuk perbahasan beliau Generasi Al-Quran Yang Unik, yang dipimpin oleh Rasulullah saw dengan sentuhan kata-kata, bahasa, akhlak yang mulia. Maknanya syarah hadis Rasulullah saw bukan bermula selepas Baginda wafat, namun syarah itu telahpun bermula dengan praktikal ditunjukkan sebagai qudwah hasanah, inilah model syarah yang terbaik. Mudah-mudahan Allah swt melimpahkan keberkatan kepada kita semua untuk mengamalkan sunnah Rasulullah saw sebagaimana yang telah diungkapkan oleh para alim ulama’ dalam syarah mereka.
Wallah hu ‘alam.




























RUJUKAN.
Abu Anas Ibn Abd basir (2008). Mengenali Sheikh Muhammad bin Soleh al-Utahimin. Melalui laman sesawang . http://yeopmadiny.blogspot.com/2008/09/mengenali-syeikh-muhammad-bin-soleh-al.html.
AgusniYahya (2014). Pendekatan Heumeneutik Dalam Pemahaman Hadis. International Journal Of Islamic Studies. Vol 2. No 1.Desember 2014.
Akhmad Sagir  (2010). Perkembangan Syarah Hadis Dalam Tradisi Keilmuan Islam. Jurnal Ilmu Usuludin , Vol 9. No 2. IAIN Antasari, Banjarmasin.
Al-Nawawi  (2009). Dasar-Dasar Ilmu Hadis. Pustaka Firdaus, Jakarta.
Biografy of  Syaikh ‘Uthaimeen (2013) melalui laman sesawang https://firqatunaajiyah.wordpress.com/2013/01/16/short-biography-of-shaykh-ibn-uthaymeen/.
Farhatul Hakimah Zakaria (2011). Pendidikan Akhlak Terhadap Allah Menurut Imam Al-Nawawi: Satu Kajian Teks Kitab Riyadhus Salihin. Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Johor Darul Takzim.
Ibnu Taimiyah (2005). Pengantar Kepada Usul Al-Tafsir. Intel Multimedia And Publication. Selangor.
Imam Al-Nawawi (2005). Bustanul ‘Arifin, terjemahan oleh Ahmad Fahmi Zam Zam. Kahazanah Banjariah. Kedah. 
M. Nurkholi(2003). Metodologi Syarah Hadist. Fasygil Grup.  Bandung.
Mustaffa Muhhamad Umarah (2014). Terjemahan Kitab Jawahir al-Bukhary oleh al-Qasthalani. Penerbit Zam Zam, Jakarta.
Nur Rahim (2013), Nilai-nilai Pendidikan Islam Dalam Kitab Al-Arbain al-Nawawi,  Jurusan Tarbiyyah Program Studi Pendidikan Agama Islam Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri, salatiga, Indonesia.
Scholars Biographies (2001).melalui laman sesawang  https://id.wikipedia.org/wiki/ Muhammad_bin_Shalih_al-Utsaimin.
Shahir Akram Hassan (2013). Penerangan Kaedah Pengumpulan Hadith Dalam Penyelidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Siddiq Fadzil  (2014) . Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan. Akademi Kajian Ketamadunan. Kajang. Selangor.
Siti Fatimah  (2009). Methode Pemahaman Hadis Nabi dengan Pertimbangan Asbabul Wurud. Tesis Sarjana, Jurusan Tafsir dan Hadis, Fakulti Usuludin, UIN Sunan Kalijaga, Jogjakarta.
Sunusi  (2013). Masa Depan Hadis dan Ilmu Hadis, Jurnal Al-Hikmah Vol 14, No 2, Universitas Islam Negeri (UIN),  Alaudin, Makassar.
Syaikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin Ta’liq Kitab Imam al-Nawawi. (2009). Riyadhus Salihin, Pustaka As-Sunnah, Jakarta.
Telaah Pemikiran Mustafa Al-Siba’i. (2014). Melalui laman sesawang  https://quranicsociety.wordpress.com /2014/01/04/telaah-pemikiran-mustafa-al-sibai/.
Yusof Al-Qaradawy (2013). Sunnah vs Bidah. PTS Islamika Sdn Bhd. Selangor.
Zulhilmi Mohamad  Nor, Robiatul Adawiyah Mohd @ Amat dan Norzulaili Mohd Ghazali. (2013). Isu Kontemporari Dalam Pengajian Hadis, Modul Open Universiti (OUM), Kuala Lumpur.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...