Khamis, 22 Oktober 2015

Cabaran Undang- Undang Hudud di Malaysia


CABARAN UNDANG-UNDANG HUDUD UNTUK MENGHARUNGI
SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA – SATU PERSPEKTIF.

Dato’ Hj Ahmad bin Kasim.[1]

PENDAHULUAN.
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) 1993 pindaan 2015 atau disebut Undang-undang Hudud telahpun mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri Kelantan Darul Naim. Fasa kedua pula  akan disusuli dengan cadangan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang Kuasa Syariah) 1965 Akta 355 di Parlimen  bagi membolehkan enakmen yang telah diluluskan itu dapat direalisasikan. Pindaan akta ini akan dicadangkan oleh parti PAS melalui Rang Undang-undang persendirian yang akan dibawa oleh  Presiden PAS sendiri selaku Ahli Parlimen Marang. Pindaan ini amat mustahak kerana had hukuman kini dalam Akta Mahkamah Syariah adalah sehingga tiga tahun penjara, denda tidak melebihi RM 5,000.00 atau maksimum enam kali  sebatan sahaja. Cadangan pindaan adalah untuk mengubah had hukuman yang menepati dengan hukum syarak, iaitu  hukuman memotong tangan apabila kesalahan mencuri, 100 kali sebatan jika melakukan kesalahan zina ghairu muhsan dan 40 kali sebatan jika kesalahan syurb iaitu minum minuman yang memabukkan dan lain-lain lagi.

Abd. Razak Musa (2013) selaku Penasihat Undang-undang negeri Kelantan menjelaskan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 pindaan 2015 mempunyai enam bab, merangkumi tiga kategori kesalahan yang boleh dikenakan hukuman had, iaitu kesalahan sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina (melakukan persetubuhan haram), qazaf (membuat pertuduhan seseorang itu melakukan zina yang mana tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi), syurb (meminum arak atau minuman yang memabukkan) dan irtidad atau riddah (keluar dari agama Islam). manakala terdapat dua kesalahan yang dikenakan hukuman qisas iaitu jenayah yang menyebabkan kematian dan jenayah yang menyebabkan kecederaan.


Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan ini pada mula dibentangkan dan mendapat kelulusan DUN pada 25 Disember 1993 lalu, semasa YAB Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar sebelum ini, namun telah mendapat tentangan keras daripada Perdana Menteri Malaysia waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad, demi untuk menjaga maslahah yang lebih besar pada masa itu, enakmen ini tidak diwartakan sebagai satu undang-undang. Abd. Razak Musa (2013) juga menyatakan halangan utama perlaksanaan undang-undang ini adalah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
Kertas ini bertujuan untuk melihat apakah cabaran-cabaran yang ada dalam episod perjalanan satu undang-undang jenayah yang menepati dengan hukum syariah untuk melepasi sistem demokrasi berparlimen yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak merdeka lagi. Cabaran-cabaran yang diutarakan ini adalah pandangan peribadi penulis, selaku mantan ahli Parlimen yang melihat proses sesuatu rang undang-undang itu diluluskan dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Halangan dan cabaran ini boleh dihalusi oleh pakar undang-undang sivil dan syariah jika berhasrat untuk melihat undang-undang jenayah syariah ini dilaksanakan di negara ini
PAS DAN ASPIRASI MENDAULATKAN UNDANG-UNGANG SYARIAH DI MALAYSIA.
PAS adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk mendapat kuasa melalui proses pilihanraya. Penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951 adalah bermula dari Persatuan Ulamak SeMalaya iaitu satu badan di dalam UMNO. Kamarundin Jaafar (2000) menjelaskan bahawa pemimpin pertama PAS pada masa itu adalah Hj Ahmad Fuad yang membawa keluar penyokong-penyokong yang memiliki fikrah Islam dari UMNO. Namun apabila Dr Burhanuddin Al-Helmy menjadi pemimpin kedua PAS,  ia memastikan bahawa tiada unsur-unsur UMNO dalam PAS. Beliau telah meletakkan perjuangan PAS diatas landasan Islam sebagaimana ucapan beliau selaku Yang Dipertua PAS pada 24 Ogos 1957. Antara kandungan utama ucapan beliau adalah meletakkan Islam sebagai agama resmi dalam erti kata yang betul pada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah.
PAS telah menyatakan dengan jelas pendirian untuk melaksanakan Islam dalam perjuangannya. Tujuan PAS adalah sebagaimana yang tercatat dalam perlembagaannya iaitu:-

memperjuangkan wujudnya di dalam negara Malaysia sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredzaan Allah serta mempertahankan kesucian Islam juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.’ 

Sebagai sebuah parti politik PAS masuk bertanding dalam pilihanraya untuk membolehkan wakil mereka bersuara dalam Dewan Rakyat dan membawa aspirasi Islam. PAS sedar bahawa sistem pilihanraya ini adalah sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara Malaysia ini mempunyai kelemahannya tersendiri. Walaupun sistem ini tidak sempurna dan tidak seratus peratus Islamik, namun setakat ini, sistem ini sahaja yang ada bagi menyampaikan cita-cita Islam sebagaimana yang PAS perjuangkan.  
Sarjana tempatan seperti Mohd Azizuddin Mohd Sani (2002) menjelaskan dalam sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan sistem demokrasi kebebasan mengeluarkan pendapat adalah salah satu hak asas dalam sistem tersebut. Sistem ini menjamin hak rakyat menyatakan pendapat dan bersuara dalam pembentukan undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan ke atas mereka. Pendapat dan hak bersuara ini disampaikan oleh ahli-ahli Parlimen yang menang dalam suatu pilihanraya. Dalam PRU ke 13 yang lalu  jumlah ahli Parlimen PAS adalah sebanyak 21 orang. 



SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA.
Institusi Parlimen di Malaysia mula mendapat perhatian ramai selepas pilihanraya umum yang ke 12 sejak Mac 2008. Malike Ibrahim (2012) menyatakan parti kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN) gagal untuk mendapat dua pertiga dari jumlah kerusi yang ada dalam Dewan Rakyat. BN cuma mendapat 140 kerusi sahaja daripada 222 kerusi yang ada dalam Dewan Rakyat. Jeniri Amir (2011) Kehilangan dua pertiga kerusi dalam dewan ini, memberi implikasi besar kepada proses membuat keputusan, terutamanya dalam meminda perlembagaan  persekutuan. Pindaan perlembagaan persekutuan memerlukan jumlah sokongan  dua pertiga atau lebih dari ahli-ahli Parlimen. Oleh itu BN perlu mendapat sokongan dari pihak pembangkang jika berhasrat untuk membuat pindaan pada perlembagaan persekutuan.
Kehilangan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen mengakibatkan tidak ada satu cadanganpun dibawa ke dewan ini untuk dipinda Perlembagaan Malaysia. Sebagai contohnya isu persempadanan semula kawasan pilihanraya memerlukan pihak kerajaan untuk mendapat sokongan dua pertiga atau lebih bagi meluluskan pindaan ini. Namun bagi urusan yang tidak melibatkan pindaan perlembagan Abd. Rashid Ab. Rahman (2007) menjelaskan sistem mudah (simple system) telah digunakan dengan memerlukan hanya majoriti mudah bagi meluluskan pindaan tersebut. Sistem ini terbukti telah memberikan sebuah kerajaan yang baik dan stabil dari segi politik, ekonomi serta memberi keamanan dan kemakmuran pada negara. Majoriti mudah ini adalah bagi memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat keputusan-keputusan penting yang melibatkan rakyat dan negara.
i)                    Realiti yang ada di hadapan kita.
Keputusan dalam politik biasanya dibuat mengikut corak pemerintahan yang diamalkan dalam sesebuah negara itu. Terdapat banyak corak pemerintahan yang diamalkan oleh negara-negara di dunia ini. Ada Sistem Raja Mutlak (feudal) seperti Brunei Darus Salam dan sebahagian negara Arab. Sistem Demokrasi oleh Amerika Syarikat dan kebanyakkan negara di dunia kini, Sistem Republik seperti Negara China dan Indonesia. 
Malaysia mengamalkan sistem politik secara demokrasi berparlimen. Lukman Thaib (1995) menyebutkan walaupun kebanyakkan badan perundangan seluruh dunia hampir sama, tetapi yang membezakan hanyalah bentuk Parlimen setiap negara. Perlembagaan Malaysia memecahkan kuasa kepada tiga struktur yang utama, iaitu kuasa perundangan, kuasa kehakiman dan kuasa eksekutif. Kuasa ini terkandung dalam perkara 144 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:-
“kuasa perundangan persekutuan haruslah diberikan kepada parlimen yang terdiri dari Yang di-Pertuan Agong dan majlis yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”
Melalui kuasa inilah segala undang-undang dibentuk dan dikuatkuasakan. Walau apapun agenda perubahan yang kita hasratkan, yang berada di hadapan kita adalah satu sistem demokrasi secara Parlimen yang telah disepakati dah telah diterima bagi meluluskan satu rang undang-undang. Merombak sistem ini secara kekerasan dan menimbulkan implikasi lain yang lebih buruk adalah tidak syar’e.

Sistem ‘Whip’ dan kualiti ahli  Parlimen.
Banyak kajian yang telah membincangkan mengenai akhlak seorang ahli politik khususnya dalam institusi politik kini. Kesedaran mengenai akhlak dalam institusi ini semakin mendapat perhatian kerana terdapat banyak gejala yang merosakkan keperibadian  ahli-ahli politik. Rosnah Abd. Rashid Shirlin (2007) memberi pandangan gejala amalan politik wang, rasuah, pecah amanah, amalan nepotisma, pilihanraya yang tidak adil merupakan barah yang melanda politik nasional kini.
Parlimen Malaysia dianggotai oleh 222 orang ahli Parlimen, yang dipilih melalui pilihanraya. Ahli-ahli yang dicalonkan ini ada yang mewakili parti politik dan ada yang bertanding tanpa parti politik (calon bebas). Komposisi 222 orang ini mewakili pelbagai parti,  kaum dan juga agama di Malaysia. Malike Ibahim (2012) memetik pandangan Birch yang menghuraikan tiga cara watak perwakilan yang berada di Parlimen. Pertama, perwakilan berperanan sebagai agen atau jurucakap tuannya dan mempertahankan tuannya. Kedua, perwakilan yang mempunyai ciri dan sifat yang menyerupai kumpulan atau pihak yang diwakilinya.  Ketiga,  perwakilan dianggap sebagai wakil yang melambangkan identiti atau sifat satu kumpulan manusia yang membawa simbol atau kepentingan kumpulan atau partinya.
Justeru itu komposisi perwakilan yang mewakili  Parti Islam di Parlimen Malaysia  amat sedikit jika dibandingkan dengan tidak mewakili aspirasi Islam. Ditambah lagi dengan perwakilan yang akan mengundi berdasarkan sistem ‘Whip’ dimana arahan ketua ‘whip’ parti perlu diutamakan, tanpa mengira benar atau salah satu rang undang-undang itu diluluskan. Sebagai contoh dari pengalaman penulis, anggota Parlimen BN akan tetap mengundi berasaskan cadangan yang dibuat oleh kerajaan, walaupun terdapat cadangan pindaan yang dikemukakan oleh pembangkang adalah amat baik untuk kesejahteraan rakyat umumnya, namun demi menjaga integriti dan maruah kerajaan, cadangan pembangkang akan di tolak.
ii)                  Proses membuat keputusan bagi meluluskan Rang Undang-Undang.
Proses membuat keputusan dalam institusi Parlimen adalah suatu proses yang agak rumit, kerana ia melibatkan prosedur yang mesti dipatuhi. Sebelum suatu undang-undang atau usul  itu menjadi undang-undang yang sah atau diluluskan untuk tindakan, ia perlu di bawa menjadi satu agenda dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu.  Sekiranya salah satu dari rang undang-undang atau usul yang di bawa ke dewan  itu tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan , ia akan ditolak oleh Yang Dipertua Dewan kerana tidak mengikut peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat.
            Proses membuat keputusan dalam Dewan Rakyat melibatkan beberapa langkah yang mesti dituruti. Proses ini diringkaskan  seperti berikut :-
i)                    Usul atau rang undang-undang mestilah dimaklumkan dan diterima  oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dimasukan sebagai agenda dalam mesyuarat sesebuah majlis.
ii)                  Usul atau rang undang-undang dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat dengan membaca tajuk rang undang-undang tersebut sebagai bacaan pertama.
iii)                Pembentang usul atau wakil kerajaan untuk undang-undang akan menyampaikan intipati usul atau rang undang-undang dalam Majlis Mesyuarat disebut sebagai bacaan kedua.
iv)                Ahli-ahli Dewan Rakyat akan  memberikan pandangan, cadangan, kritikan terhadap usul atau rang undang-undang yang dibentangkan itu.
v)                  Pembentang usul akan menjawab seluruh persoalan yang disampaikan oleh ahli-ahli dewan yang memberi persoalan atau cadangan tadi.
vi)                Usul atau rang undang-undang itu akan di luluskan atau ditolak melalui dua kaedah :
                        Pertama : Diputuskan dengan suara ‘Setuju’ atau ‘Tidak’
                        Kedua   : Undian secara belah bahagian.
vii)              Selepas usul atau rang undang-undang itu di terima dalam majlis mesyuarat ini. Pembawa usul atau rang undang-undang akan membuat bacaan kali ketiga (untuk dibawa ke Dewan Negara dan melalui proses seterusnya).
Pindaan Akta 355 Rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) sebagaimana yang diusulkan oleh PAS melalui usul persendirian sebagaimana yang termaktub dalam peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Usul dari YB Marang berada di senarai agenda ke 16 (akhir) pada 9 April 2015 iaitu pada hari terakhir sidang Parlimen pertama tahun 2015. Bilangan ini berada selepas Rang undang-undang kerajaan, Usul oleh YB Menteri dan disusuli pula dengan usul oleh ahli bukan ahli kerajaan . Usul YB Marang yang tersenarai dalam Penyata Rasmi Parlimen adalah seperti berikut:-
24.       Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] akan mencadangkan:- “Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 seperti berikut:
            i-          menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut: “
                                    2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”;dan
            ii-         memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut:
“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, sesuai dengan kehendak syariah Islam.”
Bila satu pindaan dalam rang undang-undang yang ingin dibuat dalam usul mestilah ditulis secara terperinci dengan menyebut satu demi satu kesalahan dan hukuman dengan pilihan-pilihan yang ada.

CABARAN YANG PERLU DIHARUNGI.
i)                    Karenah Birokrasi.
Diantara cabaran awal untuk merealisasikan undang-undang hudud di Kelantan adalah menghadapi karenah birokrasi di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas. YB Dato Husam Musa, salah seorang ADUN PAS di Kelantan ketika membahaskan mengenai enakmen ini di sidang DUN Kelantan pada 19 March 2015 menjelaskan beberapa halangan yang perlu diteliti oleh kerajaan negeri sebelum ia mampu diaksanakan, antara yang beliau sentuh adalah :-

a)      Persiapan para hakim yang mempunyai kelayakkan untuk mengadili kes-kes berkaitan dengan jenayah hudud.
b)      Penubuhan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas telah dijayakan melalui undang-undang.
c)      Perjawatan dari JPA termasuk waran dari perbendaharaan dan bajet perjawatan semua hakim-hakim ini.
d)     Mempersiapkan enakmen sokongan seperti Enakmen Acara Jenayah Syariah, Enamen Acara Keterangan Jenayah dan lain-lain enakmen yang akan memperkukuhkan lagi perlaksanaan ini tidak terdapat cacat celanya.
e)      Persiapan jadual II, III dan IV berkaitan dengan diat.
f)       Membuat persediaan untuk pindaan Perkara 76 (1) mengenai hal perkara undang-undang persekutuan dan negeri yang memerlukan dua pertiga sokongan di Dewan Parlimen kerana melibatkan pindaan perlembagaan persekutuan.
g)      Pindaan Akta Jenayah Syariah Akta 355 untuk meningkatkan jumlah hukuman yang menepati hukum syarak.
h)      Perbincangan dalam Jawatankuasa Teknikal bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat peringkat awal mengesyorkan pindaan Akta 355 ini dibawa oleh seorang menteri, tetapi cadangan kedua berlaku sebaliknya.
i)        Kesediaan kerajaan pusat untuk meningkatkan bilangan rotan hanyalah 39 sebatan sahaja, cadangan ini akan menggagalkan aplikasi hudud yang menepati syariah.
j)        Menghadapi sumpah pegawai perubatan untuk memotong tangan bagi kesalahan pencuri.
k)      Mengambil kira pertimbangan politik dengan penuh teliti, cermat, berhemah dengan semangat permuafakatan yang berjaya.

ii)                  Peranan dan kuasa Institusi Raja-Raja Melayu.
Shuhairimi el.at (2013) ketika memberi komentar mengenai peranan Institusi Raja-raja Melayu dalam relevansi menurut Perlembagaan Persekutuan mengungkapkan bahawa perlembagaan negara telah memperuntukkan kedaulatan raja dan sultan, hak istimewa orang Melayu, tanah simpanan Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan. Justeru itu peranan institusi Beraja sebagai faktor teras yang memayungi umat Islam sebagai ketua agama Islam di Tanah Melayu. Memperakui bahawa sistem institusi beraja yang telah diterimapakai sejak merdeka lagi adalah suatu realiti masa kini. Sebagai ketua agama ada asas penting yang membolehkan faktor pemayung untuk berkongsi asas kemajuan dan pembangunan berasaskan prinsip keadilan, amanah, timbang rasa dan juga kemanusiaan supaya asas kestabilan dan keamanan terus wujud dan kelangsungan agama Islam dapat diperkasakan.

Sebarang isu yang berkaitan dengan agama , walaupun ditanggani oleh institusi agama seperti Jakim, atau Jabatan Agama diperingkat negeri, namun kuasa ini telah diberi secara prerogatif kepada Raja-raja Melayu. Apa-apa pindaan yang melibatkan undang-undang syariah mesti dalam pengetahuan Majlis Raja-raja Melayu. Shuhairimi el.at (2013) melanjutkan hujahnya bagi melestarikan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam di Tanah Melayu, semua bangsa dan etnik di Tanah Melayu telah bersetuju untuk menerima kemasukan Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini. Perkara 3(2) turut dimasukkan untuk menjamin hak-hak, keistimewaan dan kuasa prerogatif Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Sebarang usaha daripada rakyat Malaysia sendiri untuk merendah-rendahkan kedudukan agama Islam boleh dianggap sebagai suatu penghinaan kepada Perlembagaan dan negara.

iii)                Mendapatkan kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Yang Dipertua adalah ketua dalam Dewan Rakyat dibawah perkara 4A (1) disebut sebagai Ketua Majlis Mesyuarat. Di dalam buku peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, dibawah Perkara 43 yang bertajuk  Keputusan Pengerusi adalah muktamad. Pengerusi disini adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat yang mempengerusikan sidang dewan. Inilah diantara beberapa kendala yang dihadapi oleh pihak pembangkang untuk mendapat kebenaran dalam usul yang bertentangan dengan kehendak kerajaan. Terdapat juga usul-usul dari pembangkang yang dipersetujui oleh pihak kerajaan, selagi usul itu tidak bercanggah dengan polisi atau dasar kerajaan. Sebagai contohnya usul mengenai Lahad Datu dan Isu lambakkan padi telah diterima dan dibahaskan. Sesuatu usul yang akan diterima dibawah perkara 18 (1) boleh dibawa untuk menangguhkan agenda mesyuarat dengan tujuan untuk berunding sesuatu isu besar mestilah mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan syarat menepati dengan tiga perkara berikut :-

a)                  Perkara tertentu.
b)                  Untuk kepentingan orang ramai.
c)                  Perlu disegerakan.

Kuasa pemutus untuk sesuatu cadangan boleh dibawa ke Dewan Rakyat adalah mutlak kepada Yang Dipertua selaku Ketua Majlis Mesyuarat. Dibawah perkara 18 (7 & 8) dijelaskan kuasa boleh menerima atau menolak mana-mana usul yang dikemukakan. 
iv)                Perbahasan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Fungsi sebenar ahli Parlimen adalah bersuara di Dewan Rakyat. Norlida Mohd Ibrahim (2006) menerangkan  Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil mereka. Telah dijelaskan dalam perkara proses untuk membuat keputusan di Dewan Rakyat adalah dengan undian bersuara di bawah perkara 46 dan undian secara belah bahagian dibawah perkara 47. Kedua-dua kaedah ini diguna untuk mendapat kelulusan bagi majoriti mudah. Untuk meminda Perlembagaan Persekutuan memerlukan jumlah dua pertiga sokongan ahli-ahli. Sesuatu usul atau perkara yang dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen dikira diterima jika ia mendapat majoriti sokongan mereka. Akta 355 yang dibawa oleh YB Marang memerlukan sokongan majoriti mudah, tetapi untuk meminda Akta 76 (1) Jadual negeri memerlukan dua pertiga ahli Parlimen bersetuju.  Data dibawah menunjukkan jumlah ahli Parlimen Islam dan yang bukan Islam dalam PRU 12 dan 13.

PRU 12
ISLAM
B. ISLAM
PRU 13
ISLAM
B. ISLAM
BN
90
50
BN
101
32
PR
44
38
PR
36
53
                                                         
v)                  Menghadapi kuasa  Dewan Negara.
Fungsi Dewan Negara samalah seperti di Dewan Parlimen, iaitu menimbang dan meluluskan apa-apa perkara yang dibawa ke majlis. Perbezaan yang ketara adalah Malike (2012) ahli-ahlinya tidak dipilih melalui pilihanraya berbanding dengan keahlian di Dewan Rakyat. Tempoh keahlian adalah maksima  dua penggal dengan tiga tahun bagi setiap penggal. Jumlah terkini anggota Dewan Negara adalah 63 orang dengan perwakilan dari DUN setiap negeri adalah dua orang dan yang bakinya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Secara umumnya kita boleh memahami bahawa jumlah penyokong BN di Dewan Negara yang mewakili DUN diperingkat negeri  adalah majoriti berbanding hanya tiga DUN  sahaja yang mewakili PR iaitu Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. Jumlah penyokong PR di Dewan Negara hanyalah enam orang. Disini kita dapat simpulkan bahawa jika satu usul atau rang undang-undang yang hendak dipinda tetapi tidak mendapat restu kerajaan maka usul itu atau pindaan itu akan ditolak samada di peringkat Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara. Kuasa Dewan Negara boleh membatalkan satu usul atau cadangan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

PENUTUP.
Melihat kepada cabaran-cabaran yang ada di hadapan undang-undang hudud negeri Kelantan, amatlah sukar untuk melihat sinar kelulusan menerusi sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita. Harapan  untuk implimentasi dalam jangkawaktu yang terdekat ini juga masih kabur. Tetapi demikian lumrah yang ada dalam Islam, cabaran, tentangan dan mehnah adalah asam garam perjuangan walau perlu dibayar dengan harga yang sangat mahal. Masih banyak perkara yang perlu diubah, bukan sekadar sistem malah pemikiran, sikap, ilmu rakyat juga memerlukan usaha gigih bagi mencapai tahap yang dicita-citakan.

Politik di Malaysia masih lagi mengamalkan cara politik lama. Iaitu politik yang tidak membenarkan perbezaan pandangan diterima walaupun hakikatnya pandangan itu amat baik untuk kesejahteraan rakyat. Saifudin Abdullah (2008) cuba mempopularkan politik baru. Politik baru menurut beliau adalah suatu kombinasi politik yang berteraskan ilmu dan hikmah.  Era kini adalah era perubahan yang menitik beratkan ilmu dalam semua bidang, maka politik juga sewajarnya berubah mengikut perubahan ilmu pengetahuan. Seandainya seorang ahli politik itu gagal untuk mengadaptasikan ilmu dalam perjuangan ia sebenarnya gagal untuk mengurus kehidupan politiknya. Begitu juga dengan perbezaan pendapat, antara parti politik tidak menjadi masalah apabila ia bertitik tolak dari pendapat yang terdidik (educated opinion) atau sekurang-kurangnya tidak bertitik tolak daripada pendapat yang tercekik (choked opinion).

Kemana sudahnya undang-undang Hudud yang akan dilaksanakan ini?. Abd. Razak Musa (2014) selaku individu yang terlibat secara langsung untuk menghadapi isu ini melontarkan rumusan yang cukup menarik untuk diteliti. Persoalan yang dihadapi sekarang ialah samada undang-undang jenayah syariah tersebut boleh dilaksana atau tidak dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang substantif lain yang sedia ada dan masih terpakai. Pihak yang berhasrat melaksanakannya perlu bersedia dari pelbagai segi selain infrastruktur kerana sebaik sahaja dilaksanakan akan pasti dicabar atas alasan ianya bertentangan (ultra vires) dengan Perlembagaan Persekutuan.






RUJUKAN.
Abd. Razak Musa. (2014). Rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan – Sejauhmana dapat diimplimentasikan. Kuala Lumpur : Artikel Laman Jabatan Peguam Negara.
Husam Musa. (2015). Teks ucapan perbahasan Enakmen Jenayah Syariah di DUN Kelantan. Pada 19 Mac 2015.
Jeniri Amir (2011), Kuasa BN Tinggal Tiga Penggal, Jurnal Pemikir Apr – Jun 2011.  Bangi, Selangor Darul Ehsan: Utusan Karya Sdn Bhd.
Kamarudin Jaffar (2000), Dr Burhanuddin Al-Helmy Pemikiran Dan Perjuangan,  Kuala Lumpur : IKDAS Sdn Bhd.
Lukman Thaib (1995), Syura & Aplikasi Dalam Sistem Pemerintahan Masa Kini, Kuala Lumpur: Penerbit Elman.
Malike Ibrahim (2012), Sistem Demokrasi Berparlimen Di Malaysia ,  Selangor Darul Ehsan:  IBS Buku Sdn Bhd.
Mohd Azizuddin Mohd Sani (2002), Hak Kebebasan Mengeluarkan Pendapat Dari Perspektif Undang-undang Malaysia,  Sintok: Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 4 & 5, Jun & Disember 2002.UUM.
Norlida Mohd Ibrahim (2007), Malaysia Jubli Emas, Buku Rasmi Tahunan 2006/2007,  Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia. 
Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (2008), Menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan,  Kuala Lumpur :Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Rosnah Rashid Shirlin (2007), Integriti Politik Di Malaysia, Kuala Lumpur : Institut Integriti Malaysia.
Saifuddin Abdullah (2008), Politik Baru Mematangkan Demokrasi Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.
Shuhairimi, AbdullahAhmad Zaidi, JohariHuzili, Hussin. (2013). Relevansi Institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia mendaulatkan Islam di Malaysia. Satu sorotan menurut Perlembagaan Persekutuan. Kuala Lumpur : Seminar Raja Melayu (SIRaj) 2013 telah dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis pada 5-6 Jun 2013 bertempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia,

Yusuf Al-Qaradhawy (2009), Agama Dan Politik Wawasan Ideal Dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular- Libral, Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise.




[1] Dato Hj Ahmad bin Kasim adalah Mantan Ahli Parlimen Malaysia Kawasan Kuala Kedah 2008 – 2013. Kini menjawat jawatan sebagai Ketua Biro Penyelidikan Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, (BIPPA), Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...