Khamis, 3 September 2020

Teks Ucap Utama Perhimpunan Teras Pengupayaan Melayu.

MENGURUS BANGSA MEMBINA NEGARA.

 Oleh :

Dato’ Ahmad bin Kasim.

Pengerusi Syura WAP Kedah.

 Bangsa Melayu memerlukan rombakan besar. Tranformasi orang Melayu perlu diusahakan melalui satu wadah yang berupaya mencetuskan perubahan dari dalam diri orang Melayu itu sendiri. Jiwa kerdil dan budaya tunduk serta berserah diri kepada keadaan perlu dirongkai. Orang Melayu memerlukan kekuatan dan kesedaran yang cukup kritikal bagi mengeluarkan dari mereka dari belenggu penjajahan.

 

1.0              MUQADDIMAH.

 

1.1          20 Tahun lalu 1 Muharram 1419 TERAS telah memulakan langkah pertama mencetuskan isu-isu khusus mengenai umat Melayu. Pengistiharan tersebut telah dinyatakan secara jelas dan terang mengenai 12 isu pokok yang melingkari umat Melayu yang disebut berada dalam keadaan sungguh kritikal dan perlu diberi rawatan segera.  Pengistiharan tersebut bukan sahaja menyebut penyakit yang kronik, tetapi juga menyediakan sembilan remidi pengubatan untuk penyembuhan yang mujarab.

 

1.2           Mohd Azmi Abd Hamid (2004) menjelaskan isu pokok kepada kemelut umat Melayu ini adalah persoalan pemikiran dan nilai-nilai agama dalam hidup mereka. Siddiq Fadhil (1992) pula mengungkapkan dengan memiliki jumlah penduduk Muslim terpadat di dunia bererti rantau ini adalah paling kaya dengan sumber tenaga manusia muslim. Andainya kekuatan ini dapat digembelingkan dan dimanfaatkan secara maksimum dan bijaksana, rantau ini mampu mencipta great achievements atau pencapaian-pencapaian yang besar dan cukup bererti.

 

1.3           Kombinasi dua tokoh ini yang telah menjurus keprihatinan mereka kepada umat Melayu khususnya di Malaysia sudah cukup untuk kita memahami kemelut dan persoalan yang melingkari umat Melayu kini.  Kertas ini sekadar menambah rencah dalam siri-siri wacana yang membincangkan   kemelut umat Melayu hari ini, khususnya dalam konteks Malaysia baharu pasca PRU 14 yang lalu. Penulis berusaha membuat analisis berdasarkan pengistiharan TERAS pada tahun 1998 dan dokumentasi yang ditulis oleh TERAS sejak mula penubuhannya untuk menyorot kembali aksi dilapangan dalam tempoh 20 tahun serta membandingkan dengan makalah dari pemikir Melayu kontemporari Dato Dr Siddiq Fahdil.

 

2.0              MEMAHAMI FIKRAH MALAYSIA BAHARU.

Rakyat Malaysia telah membuka lembaran baru negara apabila mereka bersama-sama membentuk tsunami yang paling besar dalam sejarah politik Malaysia sejak kemerdekaan. Dalam banyak keadaan, sebahagian mereka juga mengenepikan kecenderungan diri sendiri dan rasa kegusaran peribadi atas apa-apa alasan semata-mata demi menukar kerajaan Persekutuan. Mereka telah mengambil risiko mencipta harapan baru bersama Pakatan Harapan. Hasil dari keberanian ini maka beberapa kesan telah menjelma antaranya;-

 

2.1              Kesuburan demokrasi.

 

2.1.1      Demokrasi ialah kesepakatan rakyat untuk memilih sebahagian orang yang akan memerintah dan mengatur urusan mereka. Dengan cara itu rakyat terhindar daripada memilih seorang pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan sistem yang menindas mereka. Demokrasi boleh difahami sebagai satu sistem yang mempunyai undang-undang berprosedur yang mengkhususkan siapa yang berwibawa untuk membuat sesuatu keputusan secara kolektif dan apakah prosedur yang harus digunakan untuk membut keputusan (Azzam Tamimi, 2001: 10).

 

2.1.2  Kemerdekaan kali kedua, dalam erti kata kemerdekaan dari penjajahan sebagaimana istilah Al-Istiqlal (kemerdekaan) iaitu bebasnya negara dari penguasaan pihak asing yang mencengkam dan mempengaruhi pentadbiran, ekonomi, politik dan budaya. Namun Malaysia baharu bergerak bukan sekadar Al-Istiqlal tetapi kearah Al-Hurriyyah (Kebebasan) , iaitu kebebasan bagi warganegara bergerak, bekerja, mengamalkan keyakinan, kebebasan berfikir serta bertukar pendapat dalam kerangka perlembagaan persekutuan.

 

2.2              Kebebasan berfikir. 

 

2.2.1   Pejuang kemerdekaan dijulang bagi menyedarkan generasi baharu terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan. Umat yang bebas dan merdeka, dapat berfikir dengan bebas apa yang baik untuk diri, bangsa atau kepentingan umat seluruhnya. Kebebasan kini diterjemahkan dengan pemasuhan beberapa akta yang mengongkong pemikiran rakyat dan kesannya rakyat kini keluar dari rasa takut yang telah mencengkam mereka sejak sekian lama.

 

2.2.2   Walaupun begitu, kebebasan yang diberikan bukan bermaksud membiarkan gejala fitnah bermaharajalela. Undang-undang yang menyekat gejala fitnah yang kini semakin menjadi-jadi mesti di aplikasikan. Inilah kemerdekaan sebenar iaitu  kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpanya, kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan muslim menyedari cabaran utama umat Islam setelah mencapai kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.

2.3       Kebebasan berbeza pandangan (Mengkritik).

2.3.1   Dr Yusuff Al-Qaradawy menulis suatu kitab ‘Adab al-ikhtilaf fi al-Islam’ menyorot beberapa segmen pertembungan pemikiran dalam Islam yang melahirkan beberapa mazhab sebagai suatu yang subur, indah dan bersifat semulajadi. Perbezaan pandangan itu merupakan suatu fenomena yang baik dan perlu diurus dengan baik  supaya kesan pada umat juga akan jadi baik. Inilah konsep perbezaan pandangan dalam Islam.

2.3.2   Malaysia baharu cuba untuk aplikasikan konsep perbezaan pandangan serta membenarkan perbezaan ini diutarakan seluas-luasnya. Medium untuk mengkritik pemerintah kini dalam pelbagai bentuk. Inilah kesan disebabkan adanya globalisasi serta dunia tanpa sempadan. Ianya kelihatan lebih mudah untuk sesiapa sahaja mempengaruhi dan meluahkan idea melalui  kuasa politik, ekonomi serta sosial.

2.3.3    Namun kita sering diingatkan, serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri adalah pengganti kepada serangan fizikal yang sentiasa mengalahkan mana-mana pihak  dan menakutkan mereka, sedangkan umat Islam sentiasa bersedia menghadapi cabaran fizikal itu dengan jayanya.

            2.4       Keadilan untuk semua.

2.4.1  Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan baharu akan terus melindungi kepentingan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kebajikan kumpulan marginal di negara ini. Rakyat daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India serta warga Sabah dan Sarawak, telah mengundi kerajaan baharu, jadi mereka harus bersikap adil kepada mereka. Usaha untuk menangani isu dan pembaharuan berkaitan dengan pengurusan ekonomi dan kewangan negara tidak akan menjejaskan mana-mana kumpulan seperti yang termaktub di bawah perlembagaan. Inilah tugas utama untuk memastikan  kerajaan mengagihkan kekayaan ekonomi secara adil pada semua rakyat

 

            2.5       Negara tanpa rasuah.

2.5.1      Perkara utama yang perlu wujud untuk sesebuah negara yang danggap bersih atau bebas dari rasuah.  Ia meski didukung sikap amanah dan jujur pemimpinnya, penjawat awam malah rakyat seluruhnya. Inilah ciri utama yang perlu wujud. Ini disebut oleh ulama dan tokoh besar sains sosial Islam, Ibnu Khaldun dalam ‘Muqadimah Ibnu Khaaldun’. Dia tidak menyebut rasuah, tetapi secara umumnya ia menyebutkan  menyelewengkan harta negara. Negara yang begini, katanya, tidak akan ada keberkatan dari Ilahi. Oleh itu, kata Ibnu Khaldun lagi, jika pemimpin sesebuah negara rosak, maka rosaklah sesebuah negara itu dan rosaklah pula rakyat negara itu. Rasuah adalah najis berat, walau sebesar manapun jumlahnya.

 

2.5.2      Ada lima teras kepada memerangi rasuah ini diberikan tumpuan dalam usaha untuk memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa Malaysia baharu ini adalah ;-

 

a)  Mereformasi SPRM menjadi sebagai badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

b)       Memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah

c) Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) untuk membolehkan SPRM membuat pilihan sendiri pegawai dalam perkhidmatan SPRM.

d)  Memastikan peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan mereka dan

e)  Menjamin hak pelantikan tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan tegas dan tanpa takut. Pelantikan Ketua Pesuruhjaya akan dibuat oleh Yang Dipertuan Agung atas nasihat jawatankuasa Parlimen.

 

3.0              REMPUHAN GLOBALISASI DAN CABARAN MENGURUS BANGSA MELAYU.

 

3.1      Azmi Abdul Hamid (1998) Menekankan realitinya orang Melayu masih terbelenggu  tersepit dalam lurah yang semakin curam, aliran deras kemerosotan nilai dan kelunturan budaya orang-orang Melayu telah menjadi tirai pembuka kepada abad ke 21.  Terlalu pedih TERAS menyaksikan  fenomena orang Melayu disisihkan di tanah air sendiri, di pinggir di negara  sendiri, menagih bantuan ditempat sendiri, diperkotak katikkan oleh pemimpin sendiri, dilesukan oleh kecuaian sendiri. Inilah cetusan seawal pembinaan TERAS kira-kira 20 tahun yang lalu.

 

3.2            Cabaran globalisasi ternyata amat berat kerana ia sebenarnya sedang mengugat keutuhan jati diri dan budaya setempat demikian Siddiq Fadhil (2012) mengungkapkan.  Kesan dari rempuhan ini kita sedang mengalami krisis yang terjelma dalam pelbagai dimensi kekeliruan dan kepincangan persepsi mengenai ketuhanan, keinsanan , alam dan kehidupan seluruhnya.  Bukan sekadar itu ia juga terserlah dalam kekalutan nilai-nilai dan budaya tradisi masyarakat yang telah berakar umbi sejak dahulu lagi.

 

3.3        Rasulullah SAW pernah mengingatkan dalam satu pesanannya , diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”.             (Hadith riwayat al-Hakim )

 

3.4          Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadith tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana telah banyak kita lihat berlaku di kalangan kaum Muslimin pada hari ini. Bahangnya telah mula dirasai sejak zaman dahulu lagi. Ini jelas kita dapati, di sana sini penyakit ini sudah mula merebak dan menjalar dalam masyarakat Islam dengan begitu parah sekali. Dunia umat Islam pada hari ini terus-menerus dilanda krisis demi krisis sama ada dalam semua segi baik dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial kemasyarakatan yang sangat kritikal dan meruncing. Umat Islam diserang dari semua segi. Dengan kata lain, penyakit yang berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini diibaratkan seperti sejenis penyakit barah yang tidak mampu dirawat oleh doktor pakar.

 

3.5      Muhammad Natsir sebagaiman dipetik oleh Siddiq Fadhil (1992) menyingkap empat gejala kelemahan yang menghambat kebangkitan umat. i) Ketiadaan inventarisasi, ii) Hobi bermusuhan, iii) Tidak menghargai diri dan iv) Rakus pada dunia, takut pada risiko. Yang dimaksudkan ketiadaan Inventarisasi itu ialah kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanfaatkan potensinya. Manakala analisis mengenai penyakit umat Melayu sebagaimana yang dibincangkan oleh Siddiq Fadhil (2012) dan Mohd Azmi Abd Hamid (1998) antaranya adalah :-

 

3.5.1        Hilangnya jati diri.

Polimik hilangnya jati diri Melayu tercetus sejak penjajahan di alam Melayu seawal abad ke 15 lagi. Walaupun wujud penentangan namun proses pembaratan telah mewujudkan generasi yang telah hilang jati diri. Generasi ini amat terpesona dengan kemilau gaya hidup kebendaan, tetapi mereka gagal untuk sampai ke akar nilai-nilai budaya yang memajukan bangsa-bangsa Barat. Penyakit ini juga meresap di kalangan guru-guru agama lepasan institusi pengajian Islam yang utuh seperti dari Timur Tengah dan pengajian Islam tradisional di tanah air.

 

Namun Dato’ Dr Siddiq Fadzil (2012) merumuskan bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan yang sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi pertiwi. Dunia masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha rebuilding, pemulihan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan ratusan tahun selama era penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan bahaya jebakan penjajahan bentuk baru, penjajahn budaya, penjajahan ekonomi, hegemoni, dominasi, globalisasi dan seumpamanya.

 

Azmi Abd Hamid (1998) pula menegaskan bahawa akibat terpukau dengan kemajuan Barat, masyarakat Melayu kini secara membuta tuli mengambil  apa saja yang  ditaja dari Barat, tanpa mempersoalkan akibatnya. Budaya hidup kepenggunaan berasaskan simbol sebagai ukuran status seseorang, telah mempengaruhi kehidupan orang-orang Melayu.

 

3.5.2        Maruah yang tercemar.

Bangsa yang tidak mempunyai maruah serta tidak mempunyai kehormatan diri  akan melakukan perbuatan hina dan keji seperti rasuah, penipuan, salahguna kuasa dann seumpamanya. Pelaku rasuah adalah orang yang tidak tahu malu, tidak tahu nilai dan harga maruah. Siddiq Fadhil (2012) menyatakan bahawa menghina, meremeh dan memperlekehkan bukan cara yang benar untuk membina watak warga yang bermaruah dan berprestasi.

 

Filem arahan Tan Sri P. Ramlee Labu Labi boleh memandu mesej yang lebih jelas dalam isu ini. Menampilkan Hj.Bakhil sebagai majikan, pengurus dan pemimpin egois yang mengurus warga kerjanya dengan cara menghina, memperbodohkan dan merendah-rendahkan mereka. Sementara itu Labu dan Labi adalah manusia lemah yang kehilangan maruah akibat menjadi mangsa pelayanan pengurus dan pemimpin model Hj Bakhil. Mereka tidak berdaya mempertahankan maruah dan tidak berani memprotes walaupun maruah mereka diinjak-injak oleh pihak atasan. Mereka hanya mampu memendam rasa dan kemudiannya tersalur dalam mimpi. (siddiq Fadhil, 2012).

 

3.5.3        Jiwa hamba.

Jiwa hamba adalah jiwa yang lemah, penakut, rela dihina, mudah menyerah, hilang daya juang, tidak punya daya tahan, tidak percaya diri, tidak mempunyai wawasan, tidak mempunyai cita-cita tinggi, tidak mampu berfikir kritis. Inilah fenomena anak jajahan yang disebut oleh banyak tokoh termasuk Edward E. Said dan Malik Bennabi. Siddiq Fadhil (2012) mengulas pandangan Malik Bennabi tentang kemerdekaan jiwa astiqlal al-a’ql yang disebut sebagai golongan intelektual yang terjajah dalam pemikiran orentalis Barat sehingga tidak mampu keluar dari  sudut pandangan, perspektif dan paradigma keilmuan Barat. 

 

3.5.4        Martabat rendah.

Sindrom kebergantungan adalah satu istilah yang tepat yang telah diterangkan oleh Azmi Abd. Hamid (1998) bahawa umat Melayu masih berpaut dengan mentaliti subsidi, walaupun bantuan terus disalurkan namun kemajuan umat Melayu masih terbatas. Kenyataan bahawa orang Melayu tanpa bantuan tidak akan mampu maju seolah-olah tidak boleh dinafikan. 

 

Perlembagaan tentang hak istimewa orang-orang Melayu mungkin dapat dijustifikasikan untuk suatu jangka waktu tertentu sebagai usaha pembelaan terhadap golongan yang diabaikan dan dipinggirkan sepanjang berabad-abad penjajahan. Namun umat Melayu tidak boleh terus bergantung pada peruntukan tersebut selama-lamanya,kerana akan membawa kesan pencitraan Melayu sebagai bangsa yang kurang upaya yang selama-lamanya bergantung pada subsidi dan hak keistimewaan tersebut. (siddiq Fadhil, 2012).

 

3.5.5        Misi pembodohan / Penyakit kaum firaunisme.

Sepanjang masa kita menyaksikan misi pembodohan ummat persis Firaun dengan kaumnya. Misi pembodohan umat ini adalah dalam dasar pembinaan pemikiran rakyat. Siddiq Fadhil (2012) menjelaskan salah satu bentuk pembodohan itu adalah membelenggu pemikiran rakyat dalam kurungan ideologi penguasa. Rakyat tidak dibenarkan melihat diluar tembok kekuasaan. Bukan sekadar itu malah strategi menakut-nakutkan dengan ancaman akta dan undang-undang. Strategi ini telah menjadikan rakyat bodoh, lemah, takut dan kesannya menjadi tanah yang subur untuk penguasa yang zalim laksana Firaun.

 

3.6       Semua penyakit kronik yang berlaku kepada umat Melayu pada hari ini hanya dapat dipulihkan dengan beberapa  kaedah rawatan yang dapat memberi jaminan penyelesaian dengan pemerkasaan bangsa yang memerlukan pengembelengan pelbagai kekuatan. Landasan falsafah yang mantap, wawasan yang jelas, tenaga pelaksana yang kompeten dan strategi  yang bijaksana. Perjuangan pemerkasaan atau empowerment (perberdayaan) harus bertolak dari keyakinan bahawa al-‘izzah (kekuatan, kemulian dan keunggulan) hanya mungkin diperolehi dari Allah , kerana Dialah yang memiliki. (Siddiq Fadhil, 2012).

 

3.7   Satu lagi formula pemberdayaan ummat adalah memperkasakan institusi-institusi kemasyarakatan seperti masjid termasuk pendidikan rakyat yang didanai oleh rakyat iaitu sekolah agama rakyat. Sekarang semuanya telah diambil alih oleh kerajaan dengan dalih untuk membantu, tetapi hakikatnya melemahkan. Seterusnya selepas dilemahkan mereka terjerumus kelembah kebergantungan.

 

3.8    Manakala TERAS pula mengariskan formula supaya umat Melayu dikeluarkan dari sindrom kerdil dan tidak berani untuk menyatakan pendirian mereka sendiri. Orang-orang Melayu perlu dibangunkan secara dinamis dari segi pemikiran, displin bekerja dan keupayaan bertindak. Dalam isu kepimpinan pula TERAS menyarankan kepimpinan yang berkesan yang bersih dari amalan rasuah, pilih kasih, hipokrasi, pecah amanah dan penyelewengan secara bersungguh-sungguh.(Azmi Abd Hamid 1998).

 

4.0              PENUTUP - MENGEMBALIKAN KEAKAR MELAYU-ISLAM.

 

4.1        Oleh itu terdapat dua perkara utama untuk kembali keakar Melayu Islam.  Iaitu dengan mengetahui sejarah perjuangan dan mengangkat martabat bangsa  melalui dua konsep utama iaitu Al-ilmu dengan al-fahmu. Penyakit bangsa Melayu bukan sekadar untuk didendangkan atau sekadar disyarahkan yang dikategorikan sebagai al-ilmu, namun yang lebih utama adalah Al-fahmu (memahami) punca sebenar permasalahan tersebut lalu bertindak memulihkan atau penyembuhan dalam bentuk program dan aktiviti yang menyeluruh dan bersepadu. Tindakan ini memerlukan kerjasama semua pihak dengan semangat  pejuangan, kesungguhan, kegigihan, perancangan, kesatuan tindakan dari segenap dimensi pendidikan, politik, organisasi sosial, media dan dibantu oleh faktor ekonomi. 

 

4.2         Al-Qaradawy (2015) Menjelaskan umat perlu kembali pada Islam yang diturunkan oleh Allah swt kepada rasulNya, yang dinyatakan di dalam semua kitab yang diturunkan yang Allah redhai ia sebagai manhaj (petunjuk jalan) bagi semua makhluknya dengan syarat kita hendaklah memahaminya dengan sebaik-baiknya, beramal dengannya, menyeru kepadanya dan menunjukkan contoh-contoh hidup yang boleh dilihat, bukannya sekadar kata-kata yang diucapkan.

 

4.3          Siddiq Fadhil (2012) pula menyatakan bahawa peranan nilai-nilai keagamaan tidak hanya sebagai penjana kekuatan daya maju, tetapi lebih daripada itu ia adalah penentu survival bangsa. Nilai keadilan misalnya adalah salah satu nilai teras yang mendasari kehidupan yang harmonis, damai dan sejahtera. Kerana keadilan adalah antara kata kunci yang dapat mengekspresikan kesempurnaan nilai-nilai unggul Islam dengan tepat, utuh dan menyeluruh.

 

4.4            Membangunkan integriti dan melaksanakan keadilan adalah tonggak untuk umat Melayu kembali keakarnya. Keadilan adalah jantung kehidupan manusia yang baik dan yang sejahtera.  Cabaran utama dalam melaksanakan keadilan adalah para pelaksana keadilan yang melibatkan proses yang panjang. Kalau keadilan telah lenyap dan reput disebabkan rasuah, maka segala apa sahaja undang-undang dan dasar negara yang  mapan akan mati dan dimakan bubuk. (Mohd Daud Bakar, 2018).

 

RUJUKAN.

Al-Qaradawy (2015), Hebatnya Islam Peradaban Al-Ternatif Masa Depan, Syabab Book Link, Selangor.

http://www.haluan.org.my/v5/topik-pilihan/modal-insan/537.

Mohd Azmi Abdul Hamid (1998), Pengistiharan Dasar TERAS, Teras Pengupayaan Melayu, Sungai Petani.

Mohd Azmi Abdul Hamid (2004), Membina Manusia Melayu Memulih Kemelut Bangsa, Ucapan Bertindak , Perhimpunan Pengerak Melayu Kebangsaan, Teras Pengupayaan Melayu, Maahad Tarbiyyah Islamiah, Pokok Sena.

Mohd Daud bakar, 2018, Harapan Buat Pakatan Harapan,  Amanie Media Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Siddiq Fahdil (2012), Islam dan Melayu Martabat Umat Dan Daulat Rakyat, Akademi Kajian Ketamadunan. Selangor.

Siddiq Fadhil (1992), Minda Melayu Baru, Institut Kajian Dasar, Kuala Lumpur.

 

 

 

 

 


  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...