Khamis, 7 November 2013

SYEIKH NIAMAT YUSOFF PEMBINA MAAHAD TARBIYYAH ISLAMIAH


MENELADANI PERJUANGAN  SYEIKH NIA’MAT YUSOFF PEMBINA MAAHAD TARBIYYAH ISLAMIAH (PONDOK DERANG), POKOK SENA.

Oleh : Al-Akh Ahmad bin Kasim.

Abstrak.
Syeikh  Nia’mat Yusoff merupakan antara nama-nama besar dalam deretan tokoh-tokoh yang sewajarnya dijadikan ikutan kepada para pendakwah kini. Kemunculan beliau dengan imej ulama muda dalam kebangkitan Islam dan gelombang dakwah sekitar tahun 70an merupakan aset besar kepada negara. Beliau telah membangunkan sebuah intitusi pengajian Islamyang beliau namakan Maahad Tarbiyyah Al-Islamiah (MTID ,atau lebih dikenali dengan nama Pondok Deran, dengan moto “Melahirkan Generasi Ulama Rabbani”.  Sebagai pemimpin dan murabbi peribadi dan gaya hidup beliau adalah cerminan nilai serta prinsip yang diperjuangkannya, bukan sekadar itu, malah beliau juga  adalah seorang mahaguru, perintis jalan perjuangan, ahli siasah, perancang, pemidato, pemuisi juga seorang pemikir. Beliau juga bergiat aktif dalam Persatuan Ulama Kedah dan menyertai Parti Islam Semalaysia (PAS) sebagai pelengkap kepada kesyumulan  Islam yang diperjuangkannya. Kertas ini sekadar untuk melihat susuk tubuh seorang da’i kontemporari yang paling dekat dengan dunia kita. Cukuplah Syeikh Nia’mat Yusoff sebagai model pilihan yang dapat kita saksikan pengorbanan serta hasilnya dengan pancaindera  hari ini. Penulis berusaha untuk membuat sedikit kajian ilmiah berdasarkan tulisan para ilmuan dan pengalaman sendiri mendampingi beliau semasa di Pondok Derang atau semasa kesempatan bersama berdakwah ke serata pelusuk daerah dan negeri.


MUQADDIMAH
Kertas ini membicarakan seorang tokoh ulama kontemporari yang telah meninggalkan sebuah gagasan atau institusi Islam yang masih utuh melahirkan golongan ilmuan dan kader-kader dakwah ditengah masyarakat. Pegorbanan beliau amat tinggi, kesusahan, keperitan dan kesempitan hidup yang beliau lalui sangat mencabar, namun keazaman dan kesungguhan untuk membina manusia berilmu dan berakhlaq tetap diteruskan walau seribu halangan melanda.
Syeikh Nia’mat Yusoff  adalah diantara tokoh-tokoh ulama’ yang membanggakan negeri Kedah khasnya dan negara amnya. Walaupun beliau merupakan anak kelahiran negeri Pulau Pinang , tetapi jasa yang ditinggalkan di negeri Kedah sangat besar. Perkahwinan dan alam pekerjaan sebagai guru agama di Maahad Mahmud Alor Setar telah mengikat beliau untuk menetap dan berdakwah di Kedah. Beliau memulakan langkah awal perjuangan sebaik sahaja kembali dari Mesir selepas mendapat pendidikan dalam bidang Usuludin dari Universiti Al-Azhar.

KELAHIRANNYA.
Hasil perkongsian hidup antara bapanya Syeikh Yusoff bin Said dengan ibunya Che Tah binti Abdul Hamid maka pada tengahari khamis, tanggal 13 Muharram 1309 bersamaan 22 Februari 1940, di Kepala Batas, Pulau Pinang, lahirlah seorang putera lelaki yang pada awalnya diberi nama Mazlan oleh bapanya. Ternyata nama itu tidak begitu serasi dengan si anak tersebut kerana sering menangis dan merengek lalu diubah kepada nama baru iaitu Nia’mat. (Harun bin Zakaria 2004).

Bapanya Sheikh Yusoff bin Said merupakan ustaz yang mengajar warga tempatan dengan ilmu agama di madrasah , masjid dan surau-surau. Kehidupan bapanya sering berpindah randah dari satu tempat ketempat yang lain semata-mata untuk membimbing masyarakat dengan ilmu agama. Bermula dari Kepala Batas, Seberang Perai ke Padang Sera , Kedah. Beliau bersama Ustaz Bistaman mengasaskan Madrasah An-Nahzoh Hasanah. Perpindahan berikutnya ke Kubur Panjang, Kedah dan mengasaskan Madrasah At-Tarbiyyah Al-Auladiyah mengantikan Tuan Guru Hussin Masri.  Pada tahun 1952 , Syeikh Yusoff Said berpindah ke Kampong Telok, Sungai Korok, Alor Setar untuk mengembangkan pengetahuan agama kepada masyarakat setempat termasuk kerabat Di Raja. (Wan Jeffree Wan Sulaiman 2004).

 Latar belakang bapa dan keluarga telah mempengaruhi Syeikh Niamat Yusoff untuk mendalami ilmu agama. Seperti kebanyakkan ulama’ yang lain, beliau menerima pendidikan awal dan asas agama daripada ibu dan bapanya.  Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kepala Batas pada tahun 1946 hingga 1948. Kemudian melanjutkan pengajian di Madrasah Al-Tarbiyah Al-Auladiyah, Kubur Panjang. Pengajian diteruskan lagi di Maktab Mahmud, Alor Setar dan beliau telah lulus Syahadah Nihaiyah pada tahun 1960. Beliau seterusnya ke Mesir untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuludin , dan kembali ke tanahair pada 18 Oktober 1968. (Wan Jefree Wan Sulaiman 2004)

Syeikh Nia’mat Yusoff berkahwin dengan Puan Khadijah binti Othman (lebih dikenali dengan Kak Bashah) pada 22 September 1961 dan dikurniakan 14 orang anak (8 lelaki dan 6 perempuan). Pada bulan November 1990, beliau berkahwin dengan Puan Engku Faizah binti Engku Mohsin (lebih dikenali dengan panggilan Ummi) dan mendapat seorang anak lelaki. Semua anak beliau mendapat pendidikan agama, sama ada di sekolah agama berdekatan atau di Maahad Tarbiyah Islamiah yang beliau bina sendiri.

KESUSAHAN HIDUP MEMBINA KEKUATAN DIRI.
Mengenali peribadi Syeikh Nia’mat Yusof   bermula dari keluarga beliau dan juga semasa di alam pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir sehinggalah beliau kembali kerahmatullah, kesusahan tidak pernah lekang dari kehidupan beliau.  Kesusahan adalah asam garam hidup beliau. Kesusahan dan keperitan dalam hidup bukan untuk dikesali, tetapi dijadikan salah satu kaedah tarbiyyah yang wajar diteruskan kepada generasi mendatang. Mengikut  pengamatan penulis berdasarkan pembacaan serta pengajian, ternyata kesusahan boleh membina kekuatan iltizam, tekad, peningkatan daya kretiviti dan ketajaman akal fikiran. Kesusahan dalam mendidik generasi akan memberi mereka untuk bersedia menghadapi cabaran hidup.

Keluarga beliau bukan dari golongan yang senang, bapanya memegang falsafah ‘Hidup tidak memburu harta’ dan ingin memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama serta keupayaan untuk hidup berdikari. Ini dibuktikan melalui usaha beliau sendiri mengutip derma daripada orang ramai untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.  Pada permulaan pengajian beliau terpaksa menumpang di rumah kawan-kawan semasa menuntut disana. Sifat berdikari yang diajar oleh bapanya membuatkan beliau berusaha untuk menambah sumber pendapatan bagi membiayai kehidupan di rantau orang. Beliau membeli kitab-kitab terpakai dari gerai-gerai di Azbakiyah, Kaherah lalu menjilidnya dan mengirimkannya ke sebuah Toko Buku di Pekan Rabu, Alor Setar, dengan mengenakan harga buku dan kos menjilidnya sekali. (Wan Salim Wan Mohd Noor 2004)

Hidup dengan kemiskinan tetapi gigih mencari ilmu disertakan dengan tawakal kepada Allah swt menjadi azimat kepada Syeikh Nia’mat Yusof.  Tanpa biasiswa atau tajaan, beliau meredah hidup sebagai seorang pelajar dan akhirnya beliau berupaya mendapat segulung ijazah dalam bidang Usuludin. Syeikh Nia’mat Yusof  menjadikan kesusahan sebagai salah satu intipati tarbiyyah di MTID seawal pembinaan intitusi ini. Ini dapat saya sahkan kerana beliau enggan menerima sumbangan atau peruntukan dari pihak kerajaan, walaupun pada waktu itu Menteri Kewangan sendiri yang memberikan sumbangan tersebut.  Beliau membina keyakinan yang tinggi bahawa institusi yang berteraskan agama harus dibina dari sumbangan masyarakat dan susah payah mereka.

DAKWAH, PERJUANGAN DAN PENGORBANAN.
Seorang pejuang dinilai atas pengorbanan  yang dilakukan.  Demikian watak Syeikh Nia’mat Yusoff yang  telah membuktikan kesungguhan beliau dalam meniti jalan dakwah. Pada beliau pengorbanan dalam dakwah, adalah bukti kesungguhan seseorang meraih redha Allah swt. Tanpa pengorbanan, dakwah tidak akan berkembang. Beliau juga telah mendidik anak muridnya menjadi pendakwah yang sesuai pada setiap zaman. Didikkan yang beliau sangat tekankan pada mereka adalah dengan menambah ilmu pengetahuan dan sentiasa meningkatkan pengorbanan, kerana kaedah ini menepati dengan manhaj dakwah Rasulullah saw yang menjadi  faktor Islam dapat tersebar keseluruh pelusuk dunia. Oleh itu beliau telah mewaqafkan dirinya dalam dunia dakwah sepenuhnya, atas keyakinan bahawa dakwah sahajalah yang akan mengembalikan umat kepada kemuliaan insan dan kejayaan hidup. Meninggalkan dakwah bererti menjeremuskan umat ke dalam kebinasaan.

Syeikh Nia’mat Yusoff telah menunjukkan contoh sebagai seorang pendakwah yang  kompiten. Beliau bersedia untuk berada dalam semua keadaan, susah atau senang, dan siap siaga untuk berkorban apa sahaja yang mampu diberikan. Sebab utama beliau jadikan pengorbanan sebagai suatu aspek penting dalam bidang dakwah kerana  Allah swt telah menjanjikan surga yang penuh kenikmatan bagi yang  istiqamah mengembangkan panji-panji dakwah, Allah telah membeli dari orang-orang mukmin  yang berjuang, jiwa dan harta mereka dengan surga Allah swt menerusi  firmanNya:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran.” (At-Taubah ayat: 111)

Syeikh Nia’mat Yusoff sering mengingatkan anak muridnya erti pengorbanan, dan sudah menjadi fitrah kepada yang ingin meniti jalan dakwah maka ia dituntut melakukan pengorbanan. Berdakwah tanpa pengorbanan, adalah ibarat perahu di daratan, iaitu  tidak dapat menuju sasarannya. Sejarah telah membuktikan bahawa selepas kewafatan baginda Rasulullah saw, para sahabat berkorban dan bertebaran untuk menyebarkan Islam keseluruh penjuru alam. Mereka menjadikan dakwah sebagai kerjaya yang utama.  Pelbagai pendekatan yang digunakan untuk menyebarkan dakwah, ada yang menjadikan bidang perniagaan. Sebahagian para sahabat menjadikan  peperangan sebagai jalan untuk menyebarkan Islam. Namun kebanyakkan para sahabat dan generasi selepas itu menjadikan dakwah melalui bidang  pendidikan dengan menubuhkan pusat pengajian Islam termasuk menghasilkan karya-karya yang sangat bermanfaat hingga kini. Semua kaedah ini melengkapkan tugas menyebarkan faham Islam mengikut kemampuan masing-masing.

Syeikh Niamat Yusoff tergolong dari kalangan yang mempunyai kebolehkan dalam menghasilkan karya-karya seni termasuk menulis makalah ilmiah untuk dibentangkan dalam wacana dakwah dan pendidikan. Beliau sering menulis sajak yang mengisahkan perjuangan dan kehidupan. Sejak tahun 1958 lagi karya-karya beliau tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar harian, antaranya majalah Mastika yang dianggap paling terkenal waktu itu. Mulai tahun 1957 hingga 1960 beliau menghasilkan 50 buah sajak, lima buah cerpen, dua buah cerpen terjemahan, beberapa buah makalah sejarah pahlawan Kedah dan dua buah menuskrip drama. Beliau turut menjadi ahli Jawatankuasa Badan Seni Seri Budaya.  Namun selepas tahun 1964, beliau lebih cenderung menulis makalah yang menyentuh aspek agama, falsafah, sejarah dan pendidikan. Mulai tahun 1974, hasil karya beliau menumpukan kepada persoalan dakwah dan tarbiyyah. Sebahagian dari karya seni beliau telah diabadikan dalam sebuah antologi sajak yang bernama ‘Madarij’. Beberapa buah sajak ini telah diubahsuai menjadi alunan nasyid antaranya ‘ Derang Yang Permai” oleh pelajar-pelajar  MTID. (Wan Jefree Wan Sulaiman, 2004).

Syeikh Nia’mat Yusoff juga terlibat dalam merangka kurikulum pendidikan Islam, iaitu untuk mensepadukan antara pengajian Islam, ilmu Sains dan Tahfiz Al-Quran. Hasil dari perancangan inilah lahirnya Darul Quran di Kuala Kubu Baru, Selangor Darul Ehsan. Lepasan daripada Darul Quran yang telah hafaz 30 juzuk, akan melanjutkan pengajian di Universiti Islam dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang termasuk bidang sains. Tanggungjawab ini dapat beliau laksanakan kerana pengalaman dan penglibatan beliau yang luas dalam bidang agama dan dunia pendidikan. Pengalaman ini ditimba melalui kunjungan dan lawatan ke institusi pengajian Islam khususunya di luar negara.  Oleh itu tidak hairan jika beliau menjadikan ziarah dan lawatan amal ke institusi pendidikan  serta melihat kesan tamadun Islam khususnya diluar negara sebagai suatu yang penting.
  
TERKESAN DENGAN GERAKAN ISLAM ABIM.
Pertemuan Syeikh Niamat Yusof  dengan Anwar Ibrahim adalah detik awal penglibatan beliau dengan ABIM. Beliau menegaskan berkali-kali bahawa beliau memahami Islam secara syumul dari Anwar Ibrahim bukan di Mesir. Beliau pulang dari Mesir dengan membawa faham Nasiriyyah (fahaman yang mengagungkan Jamal Abdul Nasir). Jasa Anwar Ibrahim yang membawa pembaharuan fahaman dan fikrah yang asasi ini kepada pemikiran beliau tidak dapat dilupakan. Anwar Ibrahim adalah diantara pengasas dan perancang utama kewujudan gerakan Islam ABIM. Ketika ABIM mula didaftarkan  pada tahun 1971, Syeikh Nia’mat Yusoff menjadikan Kedah antara negeri terawal ABIM ditubuhkan pada tahun berikutnya. Beliau merupakan Yang Dipertua ABIM Kedah yang pertama. Bermula dari itulah ABIM Kedah berkembang dengan membawa gerakan dakwah kepada masyarakat umum.

Gerakan ini dimulakan dengan mencari dan melahirkan para petugas untuk bersiap melaksanakan misi dan visi dakwah . Melalui  ABIM beliau telah bergerak cergas membina petugas-petugas dakwah, membimbing watak mereka melalui sistem tarbiyyah dalam usrah dan tamrin.  Pada masa itu kalangan aktivis ABIM adalah terdiri dari penjawat awam kerajaan pelbagai peringkat dan para pelajar lepasan Badan Dakwah, Maahad Mahmud, Alor Setar. Beliau memulakan proses mendidik mereka  untuk hidup cara Islam dengan mengadakan usrah di beranda  rumahnya sendiri. Bertitik tolak dari beranda inilah ABIM Kedah berkembang di seluruh daerah.

Perkembangan dakwah yang semakin pesat menuntut ABIM memiliki pusat operasinya sendiri. Pusat operasi ABIM atau lebih dikenali dengan ‘markaz’ telah  berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Ini adalah kerana dana untuk menyewa markaz ini adalah dari poket ahli-ahliya. Hingga kini markaz ABIM telah tetap di Jalan Datuk Kumbar. Alor Setar.

Markaz ABIM sering diintip pihak tertentu khususnya daripada Polis Cawangan Khas, mereka telah menyusup masuk dalam usrah-usrah, mengikuti setiap ceramah yang  anjurkan dan pelbagai bentuk ancaman dikenakan. Ini adalah cara mereka memberi tekanan kepada ABIM yang begitu lantang terhadap perjuangan untuk memartabatkan syariah Islamiah. Pihak polis Cawangan Khas  juga pernah menawarkan ganjaran berupa elaun tetap bulanan kepada Syeikh Nia’mat Yusof  semata-mata untuk mendapatkan maklumat dalaman daripada beliau, tetapi beliau telak menolak dengan cara hikmah.

Kini dakwah yang ABIM telah mulakan seawal tahun 70an telah berkembang dengan pesatnya, Pada peringkat permulaan ABIM membawa slogan ‘Islam suatu cara hidup’, slogan ini telah disyarahkan keserata tempat pada setiap kesempatan dakwah yang ada.  Membawa kefahaman ‘Islam sebagai suatu cara hidup’ merangkumi keseluruhan aspek kehidupan termasuk cara berpakaian yang menutup aurat adalah suatu keperluan pada waktu itu. Syeikh Nia’mat Yusoff adalah diantara orang yang pertama yang memperkenalkan pakaian tudung mini kepada wanita muslimah yang berkembang hingga kini. (Wan Jefree Wan Sulaiman, 2004)

MELETAK JAWATAN SEBAGAI GURU AGAMA.
Keaktifan untuk memenuhi undangan berceramah dan berdakwah menyukarkan beliau untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru agama di Maahad Mahmud. Tuntutan dakwah untuk bergerak kesegenap pelusuk negara memerlukan kerja sepenuh masa.  Oleh itu beliau telah melepaskan jawatan sebagai seorang guru di Maahad Mahmud, Alor Setar.   Pendapatan beliau pada waktu itu mencecah RM 2000.00 sebulan. Jumlah pendapatan yang sebanyak itu adalah memadai untuk  meneruskan kehidupan, apatah lagi beliau mempunyai keluarga yang besar. Inilah erti pengorbanan yang  beliau tunjukkan melalui teladan. Pada beliau dakwah lebih besar dari jawatan dan wang ringgit.

Tindakan melepas jawatan sebagai seorang guru agama, ditanggapi pelbagai reaksi. Ada yang positif tidak kurang juga yang negatif. Pelbagai tohmahan, kritikan, kutukkan yang beliau terima tidak kurang juga yang memuji dan menyanjungi sikap beliau itu. Tetapi semua itu dihadapi dengan tenang dan akhirnya semua mengakui bahawa tindakan beliau itu tepat dan amat diperlukan.

Keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai seorang guru agama dibuat setelah beliau berazam untuk membina institusi pengajian sendiri. Matlamat penubuhan sebuah institusi pengajian Islam memerlukan tumpuan dan perhatian sepenuh masa. Oleh itu beliau tiada pilihan, melainkan berkorban pendapatan yang banyak semata-mata untuk memenuhi matlamat ini. Kemahiran beliau dalam bidang pendidikan dan dakwah ini, memudahkan tertubuhnya institusi ini tepat pada masa

MEMBINA MAAHAD TARBIYAH ISLAMIAH DARI KOSONG.
Sejarah membuktikan bahawa kebangkitan dan kemunduran tamadun Islam bergantung sepenuhnya kepada amalan budaya ilmu dan penghayatan Islam  oleh umatnya (Rahimin Affandi. 2001) Sebaliknya pula , penggantian budaya ilmu dengan taklid adalah antara punca keruntuhan keagungan tamadun Islam. (Mohd. Kamil Abd. Majid. 2000). Umat perlu dan wajib dibangunkan melalui proses pendidikan yang utuh. Tanpa kesungguhan untuk memastikan pendidikan Islam dimartabatkan maka kehancuran sedang menanti  suatu umat tersebut.

Syeikh Niamat Yusoff memang memiliki watak sebagai seorang Tok Guru. Watak ini mewajarkan beliau untuk memiliki pondoknya sendiri. Oleh itu beliau mula menjelalah beberapa pesantren (pondok) di Indonesia, untuk mencari ilham membina pondok yang beliau idamkan. Akhirnya beliau telah berjaya  membangunkan sebuah institusi pengajian Islam yang diberi nama Maahad Tarbiyyah Islamiah (MTID) di Kg Derang, Pokok Sena. Lokasi ini adalah hasil pilihan  rakan-rakan seperjuangan yang mempunyai niat yang sama. Proses membangunkan sebuah institusi pengajian bukannya perkara mudah, ia memerlukan prasarana yang wajib, iaitu tempat untuk mengaji. Prasarana yang pertama didirikan adalah sebuah bangunan dari bahan binaan Masjid Kandis yang di waqafkan. Keseluruhan pembinaan sekolah adalah hasil dari pengorbanan rakan-rakan seperjuangan untuk memartabatkan pendidikan Islam.

Rakan beliau tertutamanya ahli-ahli ABIM yang telah terdidik dengan jiwa pengorbanan telah tampil membantu beliau. Gabungan antara tenaga, fikiran dan sumbangan yang diterima itulah permulaan bagi sebuah madrasah yang dihajati. Sebahagian dari mereka sanggup menangguhkan pengajian di luar negara semata-mata untuk memastikan intitusi pengajian ini dapat berjalan seperti yang dirancangkan.  Mereka amat menghayati firman Allah swt yang mengambarkan kelompok yang berkorban . sebagaimana yang tercatat dalam Al-Quran.

“perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha mengetahui.”           (Al-Baqarah : ayat 261)

Begitu juga dengan tenaga pengajarnya, mereka adalah ahli-ahli ABIM yang lahir dari usrah dan tamrin yang di bimbing oleh beliau. Sebahagian lagi merupakan pimpinan pelajar PPINK (Persatuan Pelajar Islam Negeri Kedah) pada ketika itu. Al-hamdulillah, kesungguhan dan kekuatan serta berkat doa dan solat hajat yang tidak putus-putus. MTID dikunjungi dan mula mendapat pengiktirafan masyarakat dan kehadiran guru-guru luar yang sangat berilmu telah menguatkan lagi MTID untuk melahirkan generasi ulama yang boleh membimbing umat. Kini lepasan MTID bertebaran di seluruh Malaysia, selepas mereka melanjutkan pengajian tinggi di luar negara. Mereka adalah penyambung fikrah Islamiah dan dakwah masa kini.

PEMIMPIN DAN MURABBI.
Syeikh Nia’mat Yusof  tidak berhenti dengan menjadi mudir dan Sheikhul Maahad sahaja, Apabila penglibatan beliau diperlukan untuk berada di pentas politik. Beliau tidak mengambil masa yang panjang. Beliau melihat tragedi yang berlaku kepada Anwar Ibrahim yang telah menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana  Menteri dipecat dan dihina serta diaibkan. Sedangkan Anwar Ibrahim adalah orang yang membuka minda beliau kepada Islam yang syumul. Beliau terus terjun kekancah politik dengan menjadi calon PAS untuk bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1999. Beliau tewas kepada calon BN dengan majoriti  440 undi sahaja.

Selepas itu Dato’ Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS telah meminta beliau untuk menjadi Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Kedah, kerana pengalaman beliau dalam melahirkan ramai kader-kader dakwah. Namun keuzuran beliau membuatkan penglibatan dan sumbangan dalam lajnah itu agak terbatas.

Pertarungan dalam medan politik juga bukan mudah, terdapat cabaran dan halangan yang tersendiri. Sebelum beliau terjun ke medan politik, beliau sering diundang untuk menyampaikan ceramah di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, tetapi sebaik sahaja beliau terlibat dalam politik pembangkang, semua jemputan untuk menyampaikan ceramah disekat dan dihalang oleh pihak jabatan atau ketakutan secara tidak langsung.


KHATIMAH.
Syeikh Nia’mat Yusoff adalah lagenda dalam dakwah di Kedah dan Malaysia. Beliau pernah ditabalkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kedah pada tahun 1989, kerana pengorbanan dan kegigihan beliau dalam perjuangan dan dakwah. Kehidupan dunia yang sementara ini beliau manfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan mengorbankan hartanya, pemikiran, jiwa dan raga di jalan dakwah,  kerana beliau yakin setiap perkara  yang dikorbankan untuk dakwah, akan dibalas oleh Allah swt  dengan balasan yang berlipat ganda sesuai dengan kehendak Allah swt .

Syeikh Nia’mat Yusof meninggalkan kita pada tanggal 10 September 2003. Tetapi beliau telah meninggalkan khazanah pendidikan dan dakwah yang berterusan hingga kini. Harta yang beliau warisi adalah sebuah madrasah yang semakin berkembang kini. MTID adalah institusi pendidikan Islam yang telah melahirkan ramai kader-kader dan juru dakwah yang bertebaran di seluruh pelusuk negara.  Beliau layak ditabalkan sebagai ‘Shehu Nuru Zamani” (Ulama’ Penyuluh Zaman) kerana beliau telah membina insan yang akan membina zaman masing-masing.

BIBLIOGRAFI :-

Terjemahan Al- Quran Al-Karim Rasm Uthmani, 2010. Al-Hidayah House Of Quran Sdn Bhd. Selangor D.E.

M. Anuar Tahir. 2004. “Fadzil Noor, Nia’mat Yusoff dan Abd. Wahab Zakaria : Bintang-bintang Di Medan Dakwah” Yayasan Pembangunan Ummah. Selangor D.E.

Siddiq Fadzil. 1992. “Minda Melayu Baru”. Intitut Kajian Dasar. Kuala Lumpur.

Ab Halim bin Tamuri & Zarin bin Ismail. 2007. “ Perspektif Pendidikan Islam Terhadap Pembudayaan Penyelidikan Dan Pengembangan Ilmu” .Jurnal Pendidikan Islam. Yayasan Takmir Pendidikan. Selangor D.E.

Dr. Yusoff Al-Qardawy. 2012. “Feksibiliti Islam, Prinsip, Aqidah, Keutamaan dan Sumber”. Syabab Book Link. Selangor D.E.

Rashidah Mustafa,.Mei 2013 Dibawah tajuk “Ajar anak hidup susah” Isu 61, Majalah Solusi,  PP15048/05/2013 . Telaga Biru Sdn Bhd. Kuala Lumpur.


Siddiq Fadzil, Zambry Abd. Kadir, Azizan Bahari. 1999. “Menoleh Sejarah Menyorot Arah”. Institut Kajian Dasar. Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...