Ahad, 29 September 2013

NOTA PANDANGAN BIPPA (Biro Pemahaman & Pemantapan Agama)


HUDUD – ANTARA NIAT DAN PERLAKSANAAN.

Kemelut perlaksanaan Hukum Hudud kembali mewarnai kancah politik negara. Sebagaimana ungkapan DSAI bahawa UMNO / BN memperalatkan isu Hudud untuk kepentingan politik mereka yang sangat tersepit, lantas menyerang Pakatan Rakyat semata-mata survival politik mereka yang semakin karam kini. Tun Panglima yang telah bongkok dipanggil untuk membantu saf kepimpinan BN yang semakin robek dibolosi oleh ketangkasan pimpinan Pakatan Rakyat. Isu yang hanya diguna untuk menimbulkan perbezaan pandangan antara tokoh utama dalam komponen PR, Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat dan Karpal Singh.




Rakyat umumnya harus melihat premis diatas dibagai fokus utama dalam memahami isu Hudud ini. Isu ini telah dipolitikkan untuk memecah belah Pakatan Rakyat, namum apabila parti-parti dalam BN yang turut memberikan reaksi balas, turut menyerang kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tun Panglima dengan tergopoh gapah cuba mententeramkan MCA dan Gerakan supaya tidak cepat melenting kerana UMNO tidak ada niat untuk melaksanakan Hudud, dan kenyataan balas Presiden MCA itu akan merugikan BN. Perdana Menteri yang selalu “play save” cepat-cepat mengangguk bagaikan burung kakak tua, menyutujui kata-kata mentornya itu.

Kebimbangan Karpal Singh ialah isu ini akan memberikan kesan sokongan bukan Islam pada PR. Manakala TG Nik Aziz kekal mempertahankan niat Kelantan khususnya dan PAS umumnya untuk merealisasikan hukum ini. Pada pandangan saya, Kedua-dua pandangan ini betul. Masing-masing mempunyai hujah yang amat kuat untuk menjustifikasi pandangan tersebut.   tanpa prajudis untuk mempertahankan politik Pakatan Rakyat dari serangan BN.  Karpal melihat dari sudut Perlembagaan Malaysia dan TG Nik Aziz melihat dari Perlembagaan Agama. Perbincangan mengenai isu Hudud dari kalangan pimpinan utama PR semalam telah menghasilkan satu rumusan yang padu serta menyatukan agenda PR untuk menangkis  serangan UMNO / BN secara berterusan.

Tidak ada salahnya niat (Intention) sebagaimana yang dizahirkan oleh TG Nik Aziz. Kerana niat untuk melakukan kebaikan adalah suatu yang amat digalakkan dalam apa-apa displin ilmu sekalipun. TG Nik Aziz telah menyimpan niat tersebut sejak dari dahulu lagi, Beliau cuba untuk menzahirkan niat tersebut pada 25 November 1993 di bawanya Enakmen Qanun Jenayah Syar’iyyah (II) 1993 dan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Hampir lapan tahun niat itu belum boleh dilaksanakan kerana suasana yang tidak kondusif (pandangan Dr Asri Zainal Abidin), ekoran batasan dari kerajaan Persekutuan serta perundangan  dan beberapa halangan lain.  Suasana yang tidak kondusif tersebut termasuklah persediaan yang diluar kawalan Kerajaan Negeri, seperti Polis, Mahkamah Syar’iyyah, Penjara dan sebagainya. Wakil Kerajaan Kelantan Dato’ Takiyuddin Hassan yang menyimpulkan bahawa pindaan perlembagaan persekutuan adalah pra syarat sebelum undang-undang Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan.  Mana-mana pihak tidak wajar mempertikaikan niat untuk melaksanakan hukum Hudud, apa lagi mempertikaikan hukum ini boleh menyebabkan aqidah individu itu terjejas. Pandangan peribadi DSAI dan pimpinan Muslim PKR untuk menyutujui hukum ini terangkum dalam konteks perbahasan berkaitan dengan aqidah dan keimanan(kepercayaan) kepada Tuhan. Memberi ruang kepada orang Islam untuk mengamalkan agamanya adalah suatu yang tidak boleh dipertikaikan. Sekiranya hukum Tuhan diperlekehkan oleh individu muslim, ia tidak layak mendakwa kepercayaan kepada agama Islam yang ia anuti. Maknanya, agama individu ini boleh terjejas. Rakan-rakan bukan Islam mesti memahami prinsip utama ini.

Manakala kebimbangan Karpal Singh kemungkinan terhakisnya sokongan Bukan Islam pada PR, dapat dijelaskan dengan tegas, bahawa hukum hudud ini dikecualikan kepada orang yang Bukan Islam. Tidak berbangkit langsung individu yang bukan Islam akan tertakluk pada hukum ini. TG Nik Aziz juga telah menjelaskan asas utama dalam perlaksanaan hukum ini. Al-Quran sendiri menjelaskan surah Al-Maidah : 42,

            “Maka jika mereka datang kepadamu (Wahai Muhammad), maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), ATAU berpalinglah dari mereka. Dan kalau engkau berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Dan jika engkau menghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Pandangan Bekas Mufti Negeri Sabah, Hj Said hj Ibrahim dalam makalah beliau yang bertajuk “Perlaksanaan Hukuman Hudud – Dalam Perundangan Islam Berteraskan Quran dan Hadith”  menghuraikan maksud ayat dia atas, katanya :-

“Menurut pandangan al-Hasan, as-Sya’bi, an-Nakha’i dan az-Zuhri: sesuatu kes atau kesalahan yang dilakukan oleh orang yang bukan Islam, yang mana hukumannya boleh dijatuhi hukuman hudud, apabila kes ini dibawa ke mahkamah Syar’iyyah, pihak hakim boleh menolak dan mengenepikan kes itu,dan mereka tidak didakwa di bawah kes jenayah syar;iyyah , dan dikecualikan dari hukuman Hudud. Berdasarkan Kaedah ilmu fiqah  perundangan Islam mengecualikan orang-orang yang bukan Islam dari Hukuman Hudud adalah untuk kebaikan masyarakat majmuk, dan meyakini tindakan itu adalah jalan  penyelesaian yang sebaik-baiknya,  oleh itu sesiapa pun tidak harus mempertikaikan  pengecualian orang bukan Islam dari hukuman ini.”

Pangkal kepada penyelesaian isu ini adalah  memahami hukum Hudud ini berteraskan ilmu pengetahuan, berlapang dada, tasamuh (tolak ansur), memahami muslihat musuh, serta muafakat. Inilah jalan yang sedang dibina oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Sekiranya kita berjaya menghadapi badai yang besar sebelum ini melalui perbincangan dan mencari muafakat untuk kepentingan bersama. Saya yakin isu ini juga akan membuahkan hasil yang sama.  Insya Allah.

(AHMAD BIN KASIM)
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti Keadilan Rakyat,


-Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...