Khamis, 22 Oktober 2015

Tugasan Pengajian Islam Peringkat Sarjana di OUM

GAGASAN PEMIKIRAN SISTERS IN ISLAM (SIS)
DAN ISU-ISU YANG MENIMBULKAN KONTROVERSI BERKAITAN
AJARAN SERTA PEGANGAN ISLAM.
           
1.0       PREMIS DASAR.
Malaysia adalah sebuah negara yang subur dengan gerakan dakwah yang telah mewarnai lanskap keIslaman seawal tahun 70an lagi. Sarjana sejarah tempatan Muhammad (1997) menjelaskan gelombang dakwah Islamiah telah merubah citra dan pemikiran agama Islam dengan mencetuskan keaktifan organisasi dakwah masa itu dengan begitu agresif, asertif dan emotif menjaja idea Islam sebagai satu cara hidup. Idea Islam sebagai alternatif kepada sistem nilai dan ideologi sekular, serta Islam sebagai penyelesaian pelbagai masalah.

Gerakan dakwah menjadi semakin perlahan apabila musuh-musuh Islam yang mula menggugat dan menyusup masuk dari luar atas nama kebebasan  bersuara.  Inilah cabaran yang sedang melanda negara  mutakhir ini. Sarjana tempatan seperti Mohd Azizuddin (2002) menjelaskan dalam sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan sistem demokrasi kebebasan mengeluarkan pendapat adalah salah satu hak asas dalam sistem tersebut.  Sistem ini menjamin hak rakyat menyatakan pendapat dan bersuara dalam pembentukan undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan ke atas mereka. Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia adalah dua tema yang selalu digunakan oleh pihak-pihak tertentu untu menghalalkan tindakan mereka.


Kini suara-suara ini menjelma dalam bentuk organisasi yang tersusun melalui penubuhan pertubuhan bukan kerajaan atau lebih dikenali dengan NGO (Non Government Organisation) , kebanyakan pertubuhan  yang berlatar belakangkan agama telah mengeksploitasi isu-isu untuk mencabar gerakan dakwah  dan agama Islam di negara ini. Terdapat juga badan-badan  NGO ini yang telah membawa  isu-isu yang mereka perjuangkan ini ke mahkamah untuk dibicarakan.  Antara isu yang mendapat maklumbalas segera kini, khususnya umat Islam di Malaysia  adalah, isu kalimah Allah dan Al-Kitab, pijak kepala lembu, jualan arak di premis awam secara terbuka, suara azan yang kuat,  enakmen jenayah syariah atau hukum hudud ,   orang Melayu Islam memelihara dan menyentuh anjing, persamaan hak jantina, dan hak- hak golongan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Trangender).

Isu-isu yang kontroversi ini adalah akibat dari gagasan pemikiran liberal yang diimpot dari Barat dan ianya semakin berkembang  di Malaysia. Sanggahan oleh sarjana Sains Sosial Universiti Malaya,  Mohamad (1997) menyatakan kebimbangannya dari gelombang informasi yang terdapat dalam dunia tanpa sempadan, sebagai sebab utama berlakunya neo-kolonialisme atau ‘recolonization’. Serangan dari Barat ini boleh melumpuhkan struktur sosial yang tidak dilindungi oleh ketahanan iman. Beliau selanjutnya menyatakan pemupukan demokrasi dan pembesaran liberal kapitalisme dalam kehidupan awam telah mengukuhkan aliran ini.   

Menurut Rosnani (2007) pula yang membawa hujah Scholte antaranya kesan globalisisi  atau kesejagatan adalah sebagai tren modernisasi atau westernisasi (terutamanya ‘pengamerikaan’) yang mana struktur sosial moderniti iaitu faham kapitalisme, rasionalisme, industrialisme, liberalisme, pluralisme dan lain-lain isme  ditebarkan di seluruh dunia dan proses itu ia telah memusnahkan kebudayaan dan aspirasi masyarakat setempat.  

Kertas ini akan membincangkan tentang gagasan dan pemikiran yang sedang dibawa oleh satu pertubuhan di Malaysia yang mutakhir ini banyak menimbulkan kotroversi dalam masyarakat.  Walaupun kewujudan  pelbagai NGO yang berdaftar secara sah adalah dibenarkan dibawah  undang-undang Malaysia. Namun idelogi dan fahaman yang dibawa jika tidak dibendung boleh membawa kesan negatif pada masyarakat.  Salah satu NGO  yang membawa fahaman liberal dan sering menguji pihak berkuasa Islam di Malaysia dengan isu-isu yang berkaitan hak umat Islam khususnya yang melibatkan kaum hawa adalah Sisters In Islam atau ringkasnya SIS.

2.0              SEJARAH PERKEMBANGAN DAN OBJEKTIF SISTER IN ISLAM (SIS)
Sisters In Islam atau SIS adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar pada tahun 1993 di bawah SIS Forum (Malaysian) Berhad. Perkataan ‘Berhad’ menunjukkan SIS adalah satu entiti perniagaan yang mencari keuntungan. Sepatutnya SIS disebut dengan NPO (Non Profit Organization) bukan sebuah NGO. Namun SIS lebih dikenalai sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan berbanding  sebuah badan perniagaan. Namun gerakan yang diperjuangkan oleh SIS ini telah bermula sejak tahun 1988 lagi. Mereka bermula dengan sebuah ‘study group’ yang terdiri dari kalangan para peguam wanita, ahli  akademik dan para wartawan. Zainab (2014) menjelaskan susur galur penubuhan SIS ini bermula apabila kumpulan ini dijemput untuk bergabung di bawah sebuah jawatankuasa kecil Persatuan Peguam-peguam Syariah wanita (The Association Of Women Lawyer’s Syariah Sub Committee) oleh Persatuan Peguam-peguam Wanita (Association of Women Lawyers- AWL).

Menurut laman sesawang, SIS mempunyai Visi Sosial dan Visi Organisasi. Visi itu adalah seperti berikut :-
i)                    Visi Sosial adalah untuk menjadi masyarakat yang progresif dan demokratik yang berpegang kepada kebebasan bersuara, kesaksamaan gender dan keadilan sosial untuk semua.   
ii)                  Visi Organisasi adalah untuk diiktiraf sebagai pemimpin yang memperjuangkan kesaksamaan gender dan keadilan dalam Islam diperingkat nasional dan antarabangsa.

Manakala Misi SIS pula adalah untuk mempromosi kesaksamaan dan mengangkat  martabat  gender melalui keadilan, kebebasan dalam Islam serta  membela dan memperkasa wanita.  

Terdapat tiga objektif jangka panjang SIS iaitu :-
i)                    Mewujudkan kerangka hak wanita dalam Islam dengan mengambil kira pengalaman dan realiti mereka.
ii)                  Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah tanggapan bahawa wanita adalah alat kaum lelaki.
iii)                Meningkatkan kesedaran dengan melakukan perubahan undang-undang  serta polisi utama melalui kerangka keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.

Berdasarkan misi, visi dan objektif SIS ini dapatlah dirumuskan bahawa SIS adalah pertubuhan yang berusaha untuk mengangkat isu-isu wanita Islam supaya boleh bersaing dan sama taraf dengan kaum lelaki. Mereka berusaha untuk mencapai tujuan pertubuhan mereka dengan pelbagai pendekatan, aktiviti dan strategi.
Diantara pendekatan awal dan aktiviti bagi mencapai misi, visi dan objektif ini adalah dengan mula mengkaji segala permasalahan berkaitan dengan perlaksanaan undang-undang keluarga Islam yang telah diluluskan Parlimen Malaysia pada tahun 1984 di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wlayah Persekutuan) 1984, dan mula dikuatkuasakan pada tahun 1987. Menurut Zainab (2014) lagi, bermula dengan perbincangan untuk mencari ketidakadilan Islam kepada kaum hawa telah membawa mereka mengkaji secara intensif dengan mewujudkan kelas-kelas kajian terhadap Al-Quran, ilmu tafsir, Syariah dan fiqh. Di antaran tokoh  itu ialah Dr Abdullah Ahmed An-Naim dan kemudian Dr Aminah Wadud sebagai tenaga pengajar. Ketika ini kedua-dua tokoh ini adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Tokoh utama SIS adalah Zainah Anwar yang menjadi tunjang pemikiran, serta kumpulan pertama yang mengagaskan SIS di Malaysia. Zainah (2007) menceritakan bagaimana mereka mula berkumpul atas keprihatinan dan ketidakadilan yang dialami oleh kaum wanita berkaitan dengan undang-undang syariah. Beliau menyatakan SIS yang terdiri dari wanita proesional sering didatangi oleh wanita yang mencurah isi hati mengenai masalah perkahwinan dan masalah dengan pejabat agama yang tidak mempedulikan nasib mereka. Mereka mula mengkaji Al-Quran khususnya mengenai hak-hak wanita dalam Islam. Bermula dari kesedaran inilah SIS menyusun perancangan untuk membela ketidakadilan yang mereka dakwa dilakukan atas nama agama oleh kaum lelaki.
3.0              SIMBOL, PEMIKIRAN DAN GAGASAN.
Pakar rujuk dan pembimbing utama SIS sejak awal penubuhannya adalah  Dr Aminah Wadud yang pernah mencetuskan kontroversi menjadi Imam dalam Solat Jumaat dimana makmumnya bercampur antara lelaki dan wanita, dan membaca khutbah Jumaat itu maka, tidak hairanlah apabila SIS mempunyai tafsiran sendiri berkaitan dengan syariah Islamiah. Kajian oleh Zainab (2014) mendapati bahawa SIS telah membuat kesimpulan bahawa syariah itu adalah hasil kerja serta penafsiran manusia berdasarkan pada Al-Quran dan Hadith yang bersifat manusiawi. Maka sudah barang tentu ia terbuka untuk dikaji, dipersoalkan, diperkemaskan mahupun ditolak mengikut sebab-sebab yang tertentu. Pandangan ini mirip pemikiran tokoh kontroversi negara seperti Dr. Kasim Ahmad yang mempertikaikan hadith sebagai rujukan utama umat Islam.

Selanjutnya  Zainab (2014) memetik pandangan  Ratna selaku Pengarah Eksekutif SIS yang telah menjelaskan bahawa masyarakat sering didedahkan dengan ajaran seperti kedudukan lelaki yang mengatasi wanita, lelaki adalah ketua keluarga, kesaksian seorang lelaki menyamai dua orang wanita, dan lelaki sebagai suami  diberi hak untuk memukul wanita sebagai isteri yang tidak mentaatinya, dan semua ini merupakan imej ketidakadilan perseimbangan gender dalam ajaran dan sistem Islam. Mereka mula menyoal, adakah Islam agama yang murni ini menafikan hak wanita dan mengangap wanita adalah kelas kedua selepas lelaki.

Kajian demi kajian yang dilakukan oleh SIS untuk mencari jawapan kepada persoalan ini.  Zainah  (2007) menyenaraikan beberapa keluhan yang melanda kaum hawa yang membuat mereka membentuk gagasan dengan semangat yang kuat untuk melawan ketidakadilan kaum lelaki. Diantara keluhan wanita yang SIS terima adalah :
i)                    Isteri menderita secara diam-diam kerana ketaatan dan kepatuhan mutlak pada suami.
ii)                  Hak untuk dipukul oleh suami.
iii)                Tiada bantahan oleh isteri  apabila suami ingin berpoligami.
iv)                Keutamaan lelaki lebih daripada perempuan, dalam faraid harta pusaka.
v)                  Kesaksian dua orang perempuan baru bersamaan dengan seorang lelaki.
vi)                Isteri tiada hak untuk menolak hubungan sex dengan suami.
vii)              Neraka dipenuhi oleh kaum wanita yang tidak menutup aurat.
viii)            Wanita tiada hak untuk mencari nafkah atau bekerja.
ix)                Partisipasi dalam bidang seni adalah dilarang kerana suara wanita adalah aurat.

Musuh utama SIS adalah golongan konservatif tradisionalis yang menurut Zainah (2007) golongan yang berusaha untuk membawa Malaysia kembali dengan undang-undang syariah yang meminggirkan peranan wanita Islam bermula dari arus kebangkitan Islam di Malaysia seawal tahun 80an lagi. Ini termasuk pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara yang diasuh otak mereka oleh gerakan seperti Jamaat Islami, Pakistan ataupun Ikhwan Muslimin Mesir, Mereka kembali dengan membawa paradigma Islam zaman lampau yang menyisihkan peranan wanita. Bertitik tolak dari gagasan inilah SIS mula bertindak untuk membela kaum hawa yang ditindas atas nama agama.

Simbol atau logo SIS yang memaparkan ‘Empowering Voices For Change’ jelas menunjukkan cita-cita mereka untuk memberi dimensi baru kepada tafsiran Islam. Ini kerana SIS berhadapan dengan golongan otodoks yang membawa wanita dalam zaman kegelapan dunia Arab seawal kemunculan Islam. SIS menganggap suara mereka adalah suara baru dunia Islam yang moden dan mampu merubah citra Islam sebagai agama rahmatan lila’amin.

Di sebalik itu pula SIS menggunakan kalimah ‘Rahim’ sebagai satu-satunya milik wanita yang tidak ada pada kaum lelaki. Ar-Rahim adalah salah satu dari nama-nama Allah dalam Asma ul-husna. Rahim kalimah bahasa arab yang bermaksud penyayang  ini ditonjolkan untuk mengajak kaum wanita agar berkasih sayang sesama mereka. Maka SIS adalah tempat yang tepat untuk mereka mendapat perlindungan dan kasih sayang yang tidak mampu diberi oleh kaum lelaki. Lakaran simbol SIS ini membawa makna , sungguhnya perjuangan  Islam mereka adalah untuk mengangkat martabat kaum wanita, agar wanita di Malaysia tidak mengalami penindasan seperti kebanyakan wanita di negara-negara Islam yang lain. 

4.0              ISU-ISU KONTROVERSI.
Perjuangan SIS yang mendapat dokongan dari golongan professional wanita di Malaysia serta bantuan dan dorongan dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara jiran Indonesia telah membawa pelbagai isu di negara ini. Kebanyakkan isu yang diperjuangkan adalah untuk membela hak kaum wanita yang ditindas, atas alasan agama Islam. Namun isu-isu ini telah menimbulkan kontroversi dalam masyarakat kerana tafsiran dan pendekatan yang ‘biases’ gender yang mereka gunakan.

4.1  Isu Poligami.
Poligami adalah perkahwinan lebih dari seorang yang dibenarkan dalam syariat Islam. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ : 3.

“ Sekiranya kamu khuatir tidak berlaku adil terhadap wanita yatim yang kamu kahwini maka kahwinlah wanita lain yang kamu senangi, dua , tiga atau empat. Tetapi, apabila kamu takut untuk tidak berlaku adil, satu adalah lebih baik bagi kamu atau mengahwini hamba perempuan yang kamu miliki. Tindakan itu lebih baik bagimu untuk tidak melakukan kezaliman.”

Walau bagaimanapun, menurut Mustaffa (2009) hukum asal poligami ialah harus dan dibolehkan dengan merujuk ayat diatas. Namun hukum ini boleh berubah menjadi sunat, makruh ataupun haram berdasarkan suasana dan keadaan individu yang ingin berpoligami. Pandangan ini mempunyai persamaan dengan Syeikh Muhammad Abduh yang menyatakan poligami dibenarkan jika suami dapat memberikan keadilan pada semua isterinya. Namun isu poligami ini telah digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyerang dan mencari kelemahan umat Islam. Ashim (2003) menyatakan Barat menjadikan isu emansipasi wanita, masalah poligami dan masalah perceraian dalam keluarga di negara Islam sebagai racun untuk merosakkan nilai-nilai unggul Islam.

SIS telah  mengkaji isu poligami ini secara serius untuk melihat keadilan dalam Islam, khususnya hak wanita yang dipoligami. Menurut Sunahim (2013) SIS telah membuat penyelidikan sejak tahun 2007 lagi untuk melihat kesan poligami kepada institusi keluarga, beliau turut menyenaraikan tajuk-tajuk utama akhbar dari kenyataan rasmi SIS, yang menunjukkan SIS amat prihatin dengan isu poligami.  Diantara kenyataan yang dibuat oleh SIS pada 29 Disember 2006 menyatakan ‘SIS kaji terperinci poligami’ dan pada 7 Januari 2007 terdapat dua kenyataan akhbar dari SIS iaitu yang bertajuk ’70 peratus poligami kerana takut berzina’ dan ‘Bolehkah kita matang berbincang tentang poligami’ semua kenyataan ini dibuat hasil dari maklum balas dan kajian yang dibuat oleh SIS.  Zainah (2007) membuat kesimpulan dalam isu ini dengan katanya poligami bukan hak tanpa syarat dalam Islam, tetapi merupakan satu tanggungjawab yang diberikan dalam situasi yang khusus sahaja.

Perbincangan dan pandangan mengenai isu poligami dalam laman sesawang SIS mengambarkan pendirian mereka yang anti poligami. Desakan supaya kerajaan mengetatkan prosedur undang-undang pada setiap permohonan suami untuk berpoligami mesti diperhalusi serta mendapat sokongan isteri pertama dan wali mereka, mengkaji semula undang-undang keluarga Islam sediada mengenai poligami, memberikan hak yang lebih kepada wanita yang diceraikan kerana suami berpoligami. Menuntut supaya harta sepencarian di bahagikan dahulu sebelum keizinan poligami dibenarkan kepada suami. Nafkah pada isteri pertama dan anak-anak hendaklah dibuat secara potongan gaji bulanan terus kepada isteri pertama melalui arahan kepada majikan suami.

4.2  Isu kebebasan beragama.
‘Bebas’ menurut Ashim (2003) adalah terlepas dari ikatan sehingga bergerak sekehendaknya. Katanya lagi kebebasan berpendapat dalam Islam sebagai satu hak dari hak-hak asasi manusia, buktinya kemunculan pelbagai mazhab berdasarkan masalah yang berlaku disekelilingnya. Pintu ijtihad dalam urusan keduniaan dan masalah feqah tidak pernah ditutup sejak dahulu hingga kini. Namun kebebasan mutlak dalam bab aqidah  tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam. Menurut Suhanim  (2013) SIS memberi pandangan bahawa kebebasan beragama mesti diberikan kepada semua orang , samada ia Islam atau bukan Islam. Sedangkan pendirian ini bertentangan dengan pemikiran arus perdana masyarakat Islam di Malaysia.
           
            Pandangan SIS terhadap makna kebebasan ini lahir dari pengangan liberalisme yang dianuti oleh SIS, dimana faham liberal ini merupakan satu lagi faham tajaan dunia Barat. Faham ini  merupakan sebahagian  dari serangan orentalis Barat ke atas negara-negara umat Islam.  Kebanyakan mereka menggunakan ruang kebebasan berfikir yang dijamin dalam Islam sebagai alasan untuk membenarkan kebebasan kepercayaan. Ashim (2003) memberi komentar terhadap isu ini dengan menyatakan musuh-musuh Islam telah menjadikan hukuman terhadap orang yang murtad sebagai jalan untuk menusuk Islam, dimanakah kebebasan berfikir yang dijamin dalam Islam apabila tidak membenarkan seorang muslim itu menukar fahaman agamanya?.
           
            Kebebasan yang SIS kehendaki ini telah melewati garis besar dalam Islam iaitu sempadan aqidah. Tidak menghairankan kerana kefahaman SIS terhadap makna kebebasan ini masih berligar dalam kerangka berfikir dunia Barat yang benci pada dunia Islam. Ahmad  (2014) menjelaskan pendirian yang bebas itu bukan bermaksud memberikan kebebasan mutlak, namun satu keputusan atau tindakan itu hendaklah tidak terkeluar dari batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

4.3  Kesamaan Gender.
Menurut Ruzy Suliza (2006) yang membuat kajian mengenai isu gender telah menjelaskan definisi gender menurut kamus Inggeris Melayu Dewan, sebagai ‘seksualiti atau keseksualan’ dalam pandangan orang awam. Namun ungkapan ‘keseksualan’ itu memberi konotasi yang negatif pada umumnya, maka perkataan gender yang diambil daripada perkataan Inggeris diterjemahkan dengan maksud jantina.

            Namun menurut Zainah (2007) ancaman utama perjuangan gender di Malaysia adalah kerana golongan konservatif tradisionalis yang ingin membawa Islam ala zaman Arab yang mereka dakwa lebih asli. Kelompok ini ingin memartabatkan undang-undang syariah dan mewujudkan negara Islam sepenuhnya . Beliau melihat terlalu banyak kelemahan dalam Rang Undang-Undang syariah yang ‘biases’ gender. Beliau membawa  contoh ketidakadilan kepada wanita, iaitu kes  hukuman denda kepada ratu cantik kerana berpakaian tidak sopan di khalayak umum, tetapi tidak ada tindakan yang sama kepada peserta bina badan lelaki yang hanya memakai seluar dalam.

            Sebahagian perjuangan SIS adalah  untuk memperjuangkan hak wanita yang telah dinafikan kesamaan dari segi undang-undang di Malaysia. Zainah  (2007) mengemukakan bukti bahawa wujud diskriminasi kepada kaum wanita. Walaupun termaktub kesamaan pada kaum wanita dalam melaksanakan undang-undang, tetapi hanya ada di atas kertas sahaja, tidak diterjemahkan dalam perlaksanaan. Terlalu banyak kes-kes perceraian yang tidak adil pada wanita,  jika yang memohon adalah pihak isteri, proses itu memakan masa yang panjang  dan berlangsung sampai bertahun lamanya. Namun mudah dan cepat jika permohonan perceraian itu dipohon oleh pihak suami.

4.1       Membawa fahaman Islam liberal.
Fahaman liberal adalah satu fahaman yang mendaulatkan akal sebagai kata pemutusnya. Menurut Mohd Fairuz (2013) fahaman yang terlalu terbuka kepada bentuk ijtihad dengan meletakkan akal pada tempat yang paling tinggi berbanding sumber lain yang sediada seperti Al-Quran dan As-Sunnah. Golongan ini selalu membuat cadangan supaya Al-Quran ditafsir semula mengikut perubahan zaman dan lingkungan. Mereka menolak hukum hakam fekah yang dibuat oleh ulama’ mujtahid sejak berkurun lamanya yang dianggap kolot dan ketinggalan zaman.

Ghazali (2013) seorang yang sarjana perbandingan agama, menjelaskan secara terperinci prinsip-prinsip utama faham liberal yang digariskan oleh Charles Kurzman dalam bukunya ; Liberal Islam : A Source Book yang mempunyai persamaan dengan faham pluralisme dengan memberikan perincian seperti berikut :-
i)                    Menghilangkan faham eksklusivisme agama.
ii)                  Islam liberal menganggap semua agama adalah sama, kerana setiap agama mengajar kebaikan.
iii)                Islam liberal menganjurkan sikap inklusif dan menolak sikap eksklusif ke atas penganutnya.
iv)                Islam liberal menolak autoriti agamawan, kerana setiap Muslim berhak membuat keputusan sendiri dalam berijtihad dan berfatwa.
v)                  Islam liberal menganjurkan perlaksanaan syariat merentasi tradisi agama-agama lain.

Berdasarkan ciri-ciri di atas, jelaslah bahawa SIS adalah sebuah organisasi yang membawa faham Islam Liberal jika dikaji berasaskan misi, visi dan objektif penubuhannya. Mohd Fairuz (2013) memetik pandangan para sarjana tempat yang membuat kajian terhadap fahaman Islam liberal yang dibawa oleh SIS kerana mengkritik rang undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang di dakwa menindas kaum wanita. SIS juga yang menaja penubuhan Malaysian  Interfaith Network (MIN) pada 15 Februari 2003, semata-mata untuk menyebar luas gerakan Islam liberal tajaan Barat ini. Bagi SIS Ijtihad dalam agama boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, kerana pintu ijtihad tidak pernah ditutup. Namun bagi sarjana Islam pula, walaupun pintu ijtihad tidak pernah ditutup namun bukan semua orang diberikan kebebasan untuk mengeluarkan hukum dan fatwa, kerana ulama’ yang mujtahid memiliki ilmu yang khusus bagi memahami Al-Quran dan As-Sunnah, seperti menguasai bahasa arab, ilmu tafsir, ulum Hadith dan ulum Quran.

5.0              PENDEKATAN DAN MEDIUM PERJUANGAN SIS.
Perjuangan SIS bermula dengan gagasan untuk membela ketidakadilan yang berlaku kepada kaum wanita. Oleh kerana kebanyakan mereka adalah golongan professional yang memiliki pendidikan tinggi, khususnya undang-undang, maka mereka memulakan langkah dengan menggabungkan SIS dengan gerakan feminism antarabangsa. Perkara ini disahkan sendiri oleh Zainah  (2007) tentang strategi mereka diawal penubuhan, iaitu mengadakan hubungan dengan Nasional Council off Women Organization (NCWO), Womens Affairs Division, Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

Strategi ini adalah untuk memperkenalkan diri dan untuk menarik perhatian masyarakat tentang kewujudan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak wanita, khususnya wanita Islam. Ramai tenaga professional dari kalangan para wartawan yang bergabung dengan SIS pula mengambil strategi media, dengan menggunakan media massa sebagai alat untuk menyebar luaskan fahaman SIS kepada umum. Pandangan-pandangan yang kontroversi dilontarkan kepada masyarakat. Mereka juga terlibat sebagai ahli panel untuk membincangkan beberapa isu yang melibatkan hak wanita dalam masyarakat.

Satu lagi pendekatan dan strategi SIS adalah berjuang atas nama Hak Asasi Manusia (HAM) atau ‘Human Right’ yang berteraskan prinsip Humanisme. Menurut Omeerul (2014) Human right adalah hasil ciptaan Barat dan merupakan teras kepada pejuangan golongan liberalisme di serata dunia. Termasuklah SIS yang berteraskan faham liberal ini memperalatkan atas nama hak asasi manusia sebagai medium perjuangan mereka. Mereka menafsir semula erti kebebasan beragama, kebebasan seksual, kebebasan bersuara dan kebebasan sosial.

6.0              ANCAMAN DAN IMPLIKASI.
Perjuangan SIS telah memasuki fasa ketiga dengan usia hampir mencecah 30 tahun di persada negara. Walaupun SIS menerima kecaman hebat dari pelbagai sudut, namun oleh kerana dokongan ahli-ahli politik yang dekat dengan pemerintah menyebabkan mereka ini kebal dari tindakan undang-undang. Diantara tokoh yang sering melindungi mereka adalah Datuk Marina Mahathir anak Perdana Menteri Malaysia ke empat. Beliau adalah sekutu SIS yang sering membantu mereka mendapat publisiti dan membentuk pandangan awam .

Zainah  (2007) menyimpulkan serangan golongan konservatif Islam kepada SIS dalam dua bentuk iaitu :-
i)                    Membataskan wanita untuk berbicara tentang Islam dengan menuduh SIS menyimpang dari ajaran Islam sebenar. SIS sering memberikan penjelasan yang tidak tepat, tidak sistematik dan menafsirkan Al-Quran menggunakan otak dan logik akal semata-mata.
ii)                   Pandangan yang sering diutarakan oleh SIS menyebabkan masyarakat menjadi binggung kerana pandangan ini berbeza dengan arus perdana, dan merupakan penghinaan pada Al-Quran, syariah dan kaum wanita itu sendiri.

Perjuangan SIS bukan bersifat lokaliti semata-mata tetapi mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa. Zainab ‘Aqilah (2014) membentangkan ancaman SIS yang mendapat dokongan dari CEDAW ( Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Againt Women)  iaitu konvensyen penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979 dan mula berkuatkuasa pada 3 September 1981. Objektif utama adalah bertujuan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi dan keganasan terhadap wanita, serta mengesyorkan setiap negara untuk meminda undang-undang dari aspek sosial dan budaya. 

Zainab (2014) menyenaraikan syor- syor konvensyen ini untuk dilaksanakan oleh negara-negara umat Islam antara nya  adalah :-

i)                    Hak-hak yang sama untuk masuk dalam ikatan perkahwinan.
ii)                  Hak-hak yang sama untuk memilih dengan bebas pasangan hidupnya dan untuk ke dalam ikatan perkahwinan hanya dengan persetujuan bebas dan sepenuhnya.
iii)                Hak-hak dan tanggungjawab yang sama semasa perkahwinan dan perceraian.
iv)                Hak-hak dan tanggungjawab yang sama sebagai orang tua terlepas dari status perkahwinannya, dalam persoalan yang berhubungan dengan anak-anak mereka dalam semua hal kepentingan anak harus diutamakan.

Ternyata natijah dari konvensyen CEDAW ini telah menggugat dan memberi ancaman kepada institusi keluarga Islam, secara tidak langsung mereka mendokong dan mengiktiraf orentasi seks songsang seperti amalan golongan LGBT.

7.0              PERBEZAAN DAN PERSAMAAN SIS DENGAN GERAKAN FEMINISME.
Gerakan feminisme, gerakan wanita atau gerakan gender adalah perjuangan untuk mendapatkan hak wanita dalam sesebuah komuniti. Istilah ini tidak membezakan matlamat perjuangan mereka. Sejarah perjuangan gerakan feminism ini telah bermula sejak tahun 1785 lagi. Yusran (2011), yang membuat kajian akademik mengenai pergerakan feminisme  memaparkan kronologi perjuangan feminisme ini bermula di Eropah pada zaman pencerahan lagi, namun gerakan itu tidak menyinar kerana tidak mendapat dokongan massa.

Gerakan ini mula mendapat tempat, analisa oleh Yusran (2011) mendapati apabila ia berpindah ke Amerika apabila tulisan John Stuart Mill bertajuk The Subjection of Women sekitar tahun 1869. Perkembangan pesat gerakan ini disebut sebagai gelombang pertama gerakan feminisme, dalam fasa ini perjuangan lebih dititik beratkan kepada mendapat material dalam Old Social Movement. Namun gerakan ini tidak berhenti di sini sahaja, dalam fasa-fasa berikutnya, fasa new social movement ekoran dari ideologi penindasan atas nama gender mereka menuntut keadilan dan pembebasan wanita dari kongkongan agama, budaya dan struktur kehidupan.  

Menurut Zainab (2014)  gerakan feminisme adalah gerakan yang memperjuangkan konsep kebebasan dan kesamarataan hak wanita dan lelaki atau juga disebut dengan gerakan keserataan gender yang berasal dari pandangan hidup masyarakat Barat.  Beliau juga membawa pandangan pakar sejarah Barat, Philip J. Adler dalam bukunya berjudul “World Civilization”  menceritakan bagaimana terbentuknya pandangan Barat terhadap wanita adalah bermula sejak abad ke 17 lagi. Masyarakat Eropah masih memandang wanita sebagai jelmaan syaitan atau alat bagi syaitan untuk mengoda manusia. Mereka menyakini bahawa sejak awal penciptaannya, wanita merupakan ciptaan yang tidak sempurna.  Demikian terbentuknya kerangka pemikiran Barat terhadap wanita yang dipandang rendah dan hina. 

Zainab (2014) pula menjelaskan perjuangan dalam fasa kedua ini lebih tersusun dan munculnya pelbagai pertubuhan bukan kerajaan NGO.  Bermula dengan  NOW sebuah NGO dengan nama penuhnya National Organization for Women pada tahun 1966. NGO ini sangat berpengaruh dan telah melebarkan jaringan perjuangan ke segenap pelusuk dunia dan mula mengangkat isu-isu wanita ke tahap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di bawah piagam Hak Asasi Manusia, perjuangan ini berjaya mengadakan Convention on the Elimination of all forms of Discrimination Againts Women (CEDAW). Dengan wujudnya CEDAW ini maka perjuangan menuntut hak wanita telah diiktiraf di peringkat dunia.

CEDAW telah mengadakan pelbagai konvensyen di peringkat dunia dengan menjemput organisasi bukan kerajaan dan agensi kerajaan untuk membincangkan pelbagai isu mengenai hak-hak wanita dan isu-isu yang berlaku dalam negara masing-masing. Mereka berbincang dan berkongsi idea serta membuat pelbagai tuntutan dan deklarasi untuk diambil tindakan apabila pulang ke negara masing-masing. Sebahagian dari tuntutan ini telah berjaya merubah  polisi dan dasar sesebuah negara. Azlina (2012) melaporkan di antara deklarasi Beijing 1995 selepas mengadakan konvensyen sempena dengan 50 tahun penubuhan PBB ialah mendesak sebanyak 30 peratus peranan wanita dalam membuat polisi kerajaan. Ini bermakna jawatan-jawatan diperingkat pembuat dasar negara yang didominasi oleh kaum lelaki,  sebanyak 30 % hendaklah diserah pada kaum wanita. Resolusi ini telahpun dilaksanakan oleh sebahagian dari organisasi politik di Malaysia seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di Malaysia gerakan feminisme ini bermula seawal menuntut kemerdekaan, menurut Khairunnisa  (2013) kewujudan pelbagai organisasi politik seperti Angkatan Wanita Sedar (AWAS) untuk menetang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1946 adalah menifestasi dari kesedaran peranan wanita tidak boleh dipandang ringan. Perjuangan ini berterusan hingga kini, apabila pelbagai NGO  yang memperjuangan hak wanita tumbuh subur disamping wujudnya sayap-sayap wanita dalam parti politik samada yang bersifat kebangsaan, sekular, perkauman atau keislaman.    

Menurut Zainab (2014)lagi, teori perjuangan feminism yang lebih radikal adalah menuntut persamaan hak antara lelaki dan wanita dalam  hak sosial dan juga hak seksual. Munculnya tuntutan golongan LGBT supaya mereka diiktiraf dan diberi hak dalam sebuah negara. Namun Yusran (2011) pula berpandangan, gerakan feminism adalah gerakan yang membela wanita secara umum merentasi sempadan geografi , kaum, budaya, agama dan adat setempat. Isu-isu yang diperjuangkan adalah keadilan sosial, keserataan, hak kemanusiaan, hak wanita, liberalisasi kaum wanita dan isu-isu penindasan yang berlaku atas nama gender.

Gerakan feminisme yang bergeraka di pentas dunia, mula meresap masuk ke serata Negara termasuk Malaysia. NGO seperti SIS dengan cepat menyambar peluang pergerakan ini untuk mewakili suara wanita di Malaysia.  Munculnya NGO di dalam sesebuah negara telah memudahkan jaringan perjuangan ini untuk menjaga hak-hak wanita. Sebahagian dari NGO itu memperjuangkan isu-isu yang lebih khusus. Contohnya munculnya NGO Sisters In Islam. Perjuangan SIS sebagaimana sejarah kewujudannya, lebih menumpukan pada isu-isu keadilan sosial dari perspektif agama Islam. Menurut Zainab  (2014) SIS mendapat pelbagai isu yang melingkari wanita muslim khususnya yang berpunca dari krisis perkahwinan, poligami dan perceraian. Isu-isu seperti ketidakadilan suami, kesukaran dalam menuntut hak dan nafkah, kelemahan pihak berkuasa agama telah menjadi SIS mendapat dokongan kuat kaum wanita muslim.
                                                       
8.0              RUMUSAN DAN CADANGAN PENYELESAIAN.
SIS sebagai pertubuhan yang berdaftar Di bawah undang-undang Malaysia tetap akan beroperasi , walaupun idealisme dan pandangannya ditentang majoriti masyarakat Islam di Malaysia. Namun begitu dokongan kuat pemerintah dan sokongan di peringkat antarabangsa membuatkan mereka semakin kuat dan merasai diterima serta mendapat perlindungan dari segi  undang-undang. Tanpa menafikan hak mereka, masyarakat Islam yang peka dengan ancaman ini mesti berbuat sesuatu bagi menghalang faham liberal yang dibawa atas nama perjuangan memartabatkan kebebasan di Malaysia.

Bagi menghalang usaha yang mereka buat ini secara berterusan, kelompok Islam termasuk JAKIM mesti mempunyai keupayaan untuk berdialog dan menjawab kemuskilan mereka tentang hak-hak wanita dalam Islam, untuk tujuan tersebut dialog dengan cara yang baik dan hikmah ini telah dianjurkan oleh Islam melalui firman Allah swt dalam surah Al-Nahl ayat 125 yang bermaksud :-

“ Serulah kepada syariat TuhanMu dengan  bijaksana dan nasihat yang baik dan menarik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.”

Saifudin Abdullah (2008)  memberi komentar mengenai perlunya budaya dialog atau debat secara hikmah ini diadakan, kerana dialog yang diperintah oleh Allah swt telah berjaya merubah faham jahiliyah kepada faham Islam. Tiga kaedah yang disebut dalam ayat ini adalah, pertama ‘dengan cara bijaksana’, kedua ‘ dengan pengajaran yang baik’, dan ketiga ‘ berhujahlah (berdebatlah) dengan cara yang terbaik’.

Semua yang bertunjangkan fahaman, pemikiran ataupun tamadun  tidak kira dari mana ia tumbuh ingin mendominasi situasi agar fahaman itu terus hidup subur dalam masyarakat. Pertembungan fahaman seperti yang dibawa oleh SIS hanya boleh diselesaikan menerusi dialog keintelektualan yang menjadikan ilmu sebagai terasnya. Siddiq Fadhil (2012) memberi pandangan selaku sarjana Islam tempatan bahawa pertembungan antara tamadun seharusnya berbentuk dialog bukan pertarungan.   Kemajmukkan yang dirakamkan dalam Al-Quran supaya kewujudan pelbagi bangsa , bahasa dan warna kulit adalah untuk berkenalan, namun yang kekal dekat disisi Allah swt adalah yang paling bertaqwa di kalangan kamu.  Sejauh mana SIS boleh bertahan dengan fahaman yang hanya mendaulatkan satu kelompok sahaja, ternyata mereka lebih mengutamakan sentimen emosi untuk berjuang dan bukannya gagasan Islam secara syumul dan kamil.

RUJUKAN :

Ahmad Khairudin & Nur Amalina Mohd Azman, (2014), Akal, Siapa Tuhan Kamu? Kuala Lumpur : Humaira Publication.
Ashim Ahmad Ajilah, (2003), Menghidupkan Kembali Kebebasan Berikir, Jakarta : Mutaqiim.
Azharuddin Sahil, (2010) Al-Quran Teks Asal dan Terjemahan, Kuala Lumpur: Saba Islamic Media.
Azlina Abdullah (2012), Literatur dan Kajian Tentang Gender di Malaysia Sejak 1980 hingga Dekad 2000an,Jurnal Islam dan Masyarakat Kontenporari, Jilid 5 (Julai) 27-35, Kuala Terengganu: KUSZA.
Fairuz Jamaludin dan Latifah Abdul Majid (2013), Persepsi Pelajar-pelajar Pengajian Islam IPTS Terhadap Isu-isu Fahaman Islam Liberal, Jurnal Hadhari 5 (1) 1-19. Selangor : UKM.
Ghazali Basri (2013), Islam, Pluralisme dan Pluraliti, Jurnal Kajian Ketamadunan Jilid 10 (1) 17 -32. Selangor : Akademi Kajian Ketamadunan.
Khairunnisa Ahmad Hamidi dan Zakaria Mustafa (2013), Politik Gender : Perbandingan Peranan Wanita Dan Proses Politik di Malaysia – Jepun : Halangan dan Prospek. Penang : Proceeding of The International Conference on Sosial Research, ICCSR.
Laman Sesawang Sister In Islam, www.sistersinislam.org.my.
M. Mutrofin (2013), Keserataan Gender Dalam Pandangan Aminah Wadud dan Riffat Hassan, Jurnal Tasawuf dan Pemikiran Islam, Vol. 3, No. 1 Jun 2013.
Mohamad Abu Bakar (1997) Dilema Dakwah : Jurnal Pemikir Oktober – Disember 1997, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Kuala Lumpur.
Mohd Azizuddin Mohd Sani (2002), Hak Kebebasan Mengeluarkan Pendapat Dari Perspektif Undang-undang Malaysia,  Sintok: Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 4 & 5, Jun & Disember 2002.UUM.
Mustaffa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, (2009), Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 4, Kuala Lumpur: Pustaka Darusalam Sdn Bhd.
Omeerul Rafie, (2014), Penegakan Khilafah Islamiah, Satu Wawasan Yang Jelas, dalam buku Akal, Siapa Tuhan Kamu? Kuala Lumpur : Humaira Publication.
Rosnani Hashim (2007), Liberalisasi Pendidikan Dan Cabarannya Dalam Konteks Pendidikan Islam Di Malaysia, Jurnal Pendidikan Islam, Yayasan Takmir-Pendidikan, Selangor.
Ruzy Suliza Hashim (2006), Meniti Duri Dan Ranjau : Pembikinan Gender Dan seksualiti Dalam Konteks Dunia Melayu, UKM Bangi: Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu – SARI Jilid 24.
Saifudin Abdullah (2008), Politik Baru Mematangkan Demokrasi Malaysia, Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Siddiq Fahdil (2012), Islam dan Melayu Martabat Umat dan Daulat Rakyat, Selangor : Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Darul Hikmah.
 Suhanim binti Abdullah , Munif Zarriruddin Fikri bin Nordin  dan Marzalina binti Mansor, (2013), Religious Liberalism In Sisters In Islam Discourse: An Analysis On Identification, Penang : Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013.
Uma Sekaran (2003), Research Methods For Business A Skill Bulding Approach, New York: John Wiley & Sons.
Yusran (2011), Pengaruh Feminisme Global Terhadap Negara-negara Di Dunia, Jurnal Ilmu Hubungan International, Vol.6. Desember 2011, 75 - 92 Jakarta : Universitas Budi Luhur.
Zainab ‘Aqilah (2014), Gerakan Feminisme Menghancurkan Wanita Islam & Institusi Kekeluargaan, dalam buku Akal, Siapa Tuhan Kamu? Kuala Lumpur : Humaira Publication.
Zainah Anwar (2007), Islam mana, Islam Siapa? Sisters in Islam Dan Perjuangan Hak-hak Perempuan , dalam buku Politik Multikulturalisme,Yogyakarta: Penerbit Kanisius.

                                                                                      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...