Rabu, 13 November 2013


ISU ANJING DAN  MASYARAKAT
MELAYU ISLAM DI MALAYSIA – SUATU PERSPEKTIF .

ABSTRAK
Mutakhir ini isu-isu yang melibatkan agama dan budaya telah mewarnai kancah kehidupan masyarakat di Malaysia, sehingga ia telah mewujudkan perbahasan yang rumit melibatkan hukum syariah, merentasi budaya dan hingga keperingkat memberi ancaman kepada keharmonian hidup bermasyarakat. Sebahagiannya telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.  Antara isu yang menjadi polimik adalah, Isu orang Melayu Islam memelihara anjing . Saya percaya bahawa isu-isu yang sensitif yang melibatkan agama dan budaya akan terus melingkari masyarakat untuk  masa-masa akan datang. Kertas ini hanya akan menganalisis dan memberikan pandangan mengenai isu ini, sebahagiannya disiarkan dalam rakaman di internet (‘Youtube)’ dan ada yang dipelihara secara diam-diam. Kertas ini juga ingin menganaisis pandangan masyarakat Melayu Islam  dari sudut hukum feqah khususnya mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi  pegangan mereka. Objektif utama adalah untuk mencari  dimana titik pertemuan dan apakah jalan penyelesaiannya. Kajian secara kualitatif ini merujuk kepada kitab-kitab hukum feqah , pandangan tokoh-tokoh masyarakat, mendapat maklumbalas dari pihak yang berautoriti, membuat lawatan ke tempat berkenaan dan  temubual dengan pihak-pihak yang berkaitan. Penemuan ini merumuskan terdapat dua faktor utama. iaitu kefahaman yang keterlaluan dalam memahami anjing adalah najis berat (najis mughalazah). Kedua, adalah ketakutan dan  ancaman terhadap penyakit anjing gila kerana gigitan anjing ini boleh membawa maut.


PREMIS DASAR.
Pada 4 Ogos 2013, Cik Maznah Mohd Yusof atau nama panggilannya Chetz Yusof menjadi sasaran kritikan selepas video  yang memaparkan dirinya bersama tiga ekor anjing tiga tahun lepas telah dimuat naik di ‘YouTube’. Tindakannya itu mendapat kecaman umat Islam kerana video berkenaan menggunakan latar belakang suara takbir hari raya serta menjamu anjing-anjing terbabit dengan kuih raya. Chetz Yusof telah direman  di Bukit Beruntung, Selangor dan dibawa ke  Balai Polis Segamat untuk siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan. Sehingga kini belum diketahui bentuk tindakan yang bakal dituduh kepadanya, kerana ia mendapat pembelaan dari pelbagai golongan termasuk kalangan ulama yang membahaskan dari hukum feqah.

Manakala seorang bekas kontraktor, Md Azmi Ismail, dan isterinya Halija Idris yang tinggal di Alor Setar telah  membela kira-kira 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing terbiar di kabin milik mereka atas dasar belas kasihan. Mereka telah  membawa balik haiwan yang sakit, cacat, tua dan mengalami pelbagai masalah lain untuk diberi penjagaan sebaik mungkin. Bermula dengan memelihara kira-kira 60 kucing sahaja. Pada peringkat awal mereka  tidak membela anjing kerana tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan dengan jiran, sebaliknya hanya memberi makanan dan merawat anjing terbiar. En. Md Azmi Ismail telah dirujuk kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk diambil tindakan di bawah undang-undang PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), kediamannya akan dirobohkan oleh MBAS pada 19 Ogos 2013  kerana menganggu kejiranan dan penggunaan kawasan tanpa permit.

Pelbagai fatwa dan pendapat yang dikeluarkan oleh orang ramai dan golongan ilmuan ataupun dengan campur tangan orang politik bagi meredakan isu ini. Namun polimik ini telah menjadi isu ini semakin hangat dalam wacana media maya tanpa batas. Herdikkan, celaan, cemuhan dan sumpah seranah dan makian terpaksa dihadapi oleh mereka yang terlibat.

Kedua-dua isu ini menjadi latarbelakang kepada kajian ini untuk mengetahui hukum feqah mengenai anjing dan permasalahannya. Seterusnya untuk mengetahui mengapa ia mendapat tentangan dan kecaman yang hebat daripada masyarakat Melayu Islam di Malaysia, sekaligus melibatkan prosedur undang-undang untuk mendakwa mereka dimuka pengadilan. Apakah benar mereka telah melakukan jenayah kepada agama atau sekadar menimbulkan keresahan kepada masyarakat di sekitar yang sangat jijik memandang anjing kerana dianggap najis berat[1]  (Najis Mughalazah). Apakah tiada jalan tengah untuk melihat isu ini secara ilmiah atau melalui proses pendidikan dan mengharmonikan masyarakat dengan ilmu, serta menjauhi emosi yang merugikan banyak pihak.

Kajian yang menggunakan bentuk penjelajahan (exploratory research) dan juga secara temubual  dengan melihat pandangan ulama dan pakar dalam isu ini serta membuat rujukan melalui tulisan-tulisan mereka dalam kitab-kitab muktabar mengenai hukum feqah. Penulis juga melawat tempat pemeliharaan anjing tersebut di Kg. Tanjung Bendahara, Alor Setar untuk melihat sendiri keadaan dan suasana serta menemubual dengan keluarga pemilik anjing berkenaan untuk menghayati pemikiran mereka yang sebenar. Penulis juga menemubual peguam yang menjadi peguambela kepada pemilik anjing, serta mendapat pandangan dari pegawai di Majlis Bandaraya Alor Setar dan Jabatan Veterinar Negeri Kedah.  

Penulis dengan En Azmi dan Isteri semasa lawatan ke pusat pemeliharaan 
di Kampong Tanjung Bendahara.
ULASAN KARYA.

Anjing menurut Akta 647- Animal Act 1953 menjelaskan  “dog” mean a domesticated dog of any breed or sex. ("Anjing" bermakna anjing ternakan daripada mana-mana baka atau jantina).
Masyarakat Melayu Islam telah diungkapkan oleh Siddiq Fadzil (2012) Masyarakat yang terbentuk watak dan jatidiri  melalui proses Islamisasi yang panjang, tahap demi tahap, segala yang ada pada masyarakat Melayu adalah bersumber dari Islam: worldview atau pandangan sarwanya, epistemologinya dan aksiologinya. Menurut Kamarudin Jaafar memetik pendapat Dr. Burhanudin Al Helmy (1946)  Masyarakat Melayu yang telah menempuh pelbagai kebudayaan Hindu, Buddha dan akhirnya kebudayaan Islam telah menanamkan asas-asas yang kuat dalam jiwa dan semangat bangsa hingga kini.

Manakala Feqah Menurut Wahbah Az-Zuhaili (2007 : 27 – 28), menurut termenologi syariah sebagaimana didefinisikan oleh Imam Abu Hanifah r.a Al-Fiqh adalah mengetahui hak dan kewajipan diri. Mengetahui disini bermaksud kemampuan pada diri seseorang yang muncul setelah melakukan penelitian-penelitian atas beberapa kaedah. Wahbah Az-Zuhaili memetik pandangan Imam As-Shafie yang memberi definisi lain yang kemudian masyur di kalangan ulama iaitu ‘Mengetahui hukum-hukum syarak yang berhubungan dengan amalan praktikal yang diperolehi dari meneliti dalil-dalil syarak yang terperinci.’

Yusof Al-Qaradawy (1998) menjelaskan maksud feqah bererti sekumpulan hukum-hukum syarak yang bersifat amaliyah yang disimpulkan (diistimbat) dari dalil yang terperinci. Manakala Mahmood Zuhdi Abd Majid (2010) Feqah adalah pentafsiran atau penganalisaan yang dibuat bagi mengenali dan memahami hukum daripada sumber-sumbernya yang diiktiraf. 

ANJING DALAM PANDANGAN MASYARAKAT UMUM.

Anjing  kebanyakkan dipelihara oleh  warga bukan Islam (Bangsa China dan India). Namun menurut maklumat dari Jabatan Veterinar Negeri Kedah terdapat juga orang Melayu Islam yang memelihara anjing, tetapi jumlahnya amat sedikit. Sebab utama mereka memelihara anjing adalah untuk isyarat keselamatan di rumah dan ada juga sebagai hobi. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang memelihara atas dasar keinsanan dan kesihatan. Bagi pihak Jabatan Vaterinar lesen atau permit kesihatan diperlukan sebagai syarat utama bagi sesiapa yang berhajat untuk memelihara anjing. Permit ini bertujuan untuk mengawal jumlah dan rekod kesihatan terutamanya jika diserang wabak penyakit anjing gila (Rabies).

Jabatan Veterinar adalah jabatan yang bertanggungjawab untuk memastikan penyakit anjing gila ini terkawal. Penyakit ini merupakan penyakit infeksi akut pada susunan saraf pusat yang disebabkan oleh virus rabies. Penyakit anjing gila ini mempunyai sifat zoonotik iaitu penyakit boleh berjangkit dari haiwan pada manusia melalui gigitan. Rekod terakhir kematian manusia oleh gigitan anjing yang menyebabkan penyakit anjing gila adalah pada tahun 1998. Selepas dari tahun itu, pihak Jabatan Veterinar berjaya mengawal penyakit ini melalui suntikan berkala pada anjing peliharaan.

Selain Jabatan Veterinar, PBT juga terlibat secara langsung dalam menanggani kelahiran anjing terbiar dalam kawasan bandar khususnya. Oleh itu usaha untuk membendung jumlah anjing yang berkeliaran ditumpukan semata-mata untuk menjaga keharmonian masyarakat selain dari faktor kesihatan yang dibincangkan diatas. PBT sentiasa memantau dan menjaga dan memberi kerjasama kepada sesiapa yang secara sukarela ingin memelihara anjing, khususnya anjing terbiar. Secara tidak langsung mereka telah membantu PBT dalam memelihara alam persekitaran dari  anjing yang berkeliaran tanpa pemilik yang sah.

Isu  En Md Azmi Ismail yang memelihara anjing telah mendapat perhatian khusus daripada PBT dan Jabatan Veterinar. Isu bantahan dari orang ramai dan lokasi yang tidak sesuai sedang diuruskan dengan cermat dan berhemat oleh pihak yang berautoriti. Saya difahamkan bahawa KDYMM Pemangku Sultan Kedah sendiri amat prihatin dan meminta PBT membantu menyelesaikan isu ini dengan segera. PBT juga telah mengadakan perbincangan untuk mencari lokasi yang sesuai bagi membina pusat penjagaan anjing milik En Md Azmi ini supaya beliau boleh memelihara anjing dengan lebih sempurna.

En. Azmi sendiri yang mengesahkan mengenai sokongan daripada PBT dan Jabatan Veterinar setelah KDYMM Pemangku Sultan Kedah dimaklumkan mengenai isu ini. Bagi En Azmi dan keluarga, anjing adalah anugerah Allah kepada manusia. Tidak ada sebab mengapa kita mesti benci padanya. Tanggungjawab manusia mesti menjaga anugerah Allah pada hambanya. Anjing telah memainkan peranan yang besar kepada manusia, ia telah disebut oleh Allah swt dalam Al-Quran dalam surah Al-Kahfi ayat 18 dan 22. Serta Surah  Al-Maidah ayat 4. Jasa anjing pada manusia sangatlah besar. Terdapat anjing-anjing yang dipercayai untuk mengawal binatang ternakkan yang banyak dan menjaga ia malam dan siang. Terdapat juga anjing yang merangkak melalui ais dan salji untuk menyelamatkan manusia yang sesat di pergunungan, dan yang lain menyelamatkan ramai manusia daripada mati lemas, seperti yang berlaku kepada isteri En Azmi. Anjing juga digunakan untuk mengesan dadah dan mengesan lokasi penjenayah yang sering digunakan oleh pihak keselamatan.

Amat berbeza ketika detik awal  isu ini muncul dalam wacana masyarakat melalui media arus perdana dan media sosial. Masyarakat Melayu Islam khususnya memandang serong bagi seorang yang bergelar Melayu dan Islam memelihara anjing atau memegang anjing seperti   Chetz Yusoff dalam klip vedio di media internet (You Tube).  Masyarakat Melayu khususnya melihat anjing ini sebagai binatang yang najis keseluruhannya. Ia hanya sesuai dipelihara oleh orang bukan Islam. Ia melibatkan hukum dalam feqah dalam bab “Taharah” (Bersuci). Menyentuh anjing perlu di samak dengan air bercampur tanah sebanyak tujuh kali.

Kefahaman feqah begini dan anjing adalah najis mughalazah (najis berat) tertanam dalam pemikiran sejak dahulu lagi. Bersandarkan kepada ajaran guru-guru agama dengan merujuk kepada tafsiran pendapat dalam Mazhab Syafie. Selain dari itu, faktor ketakutan kepada salakkan dan gigitannya juga ada kesannya. Pokok pangkalnya anjing bukan binatang yang baik untuk dipelihara dan didekati. Apa lagi untuk disayangi, dibelai dan didodoi dalam pelukkan.

ANJING DARI PERSPEKTIF HUKUM FEQAH.  

Malaysia telah mewartakan fatwa hanya Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang boleh diamalkan oleh masyarakat Islam di negara ini.  Menerusi Muzakarah Khas Jawatankuasa  Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama  Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membuat beberapa ketetapan yang berkaitan dengan  keautoritian ahli sunnah sebagai mazhab yang diiktiraf. Pegangan meliputi bab aqidah, syariah dan akhlak.  Mazhab feqah yang diperakui sebagai ahli sunnah wal jammah adalah Mazhab Maliki, Hanafi, Shafie dan Hambali.
Terdapat persamaan dan perbezaan pandangan dalam hukum feqah menurut keempat-empat mazhab ini. Ikhtilaf (perbezaan) dalam hukum feqah ini  membolehkan umat Islam untuk memilih pendapat yang terbaik dan memberikan  kemudahan untuk beribadah walaupun terdapat beberapa syaratnya khususnya larangan untuk talfiq[2] mazhab. Ulama dalam mazhab ahli sunnah wal jamaah telah membincangkan mengenai isu anjing ini secara mendalam sejak dahulu lagi. Oleh itu terdapat beberapa pandangan yang berbeza dalam isu ini.   
Diantara pandangan yang lengkap dan terkini dalam isu anjing adalah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof Dr Sheikh Wahbah Az-Zuhaili melalui kitabnya ‘Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu’. Petikan pandangan itu adalah seperti berikut:-
i)                    Pandangan Mazhab Maliki.
Ulama Mazhab Maliki berpendapat, semua benda yang hidup termasuk anjing dan babi adalah suci, sekalipun ia memakan benda najis, begitu juga keringatnya, air matanya, hingusnya. Semua benda yang keluar dari binatang selepas ia mati tanpa sembelih menurut syarak seperti telur, tahi, airmata atau air liurnya , adalah najis jika ia dari bangkai yang najis. Manakala air liur yang keluar dari perut anjing adalah najis, dan jilatan anjing ini wajib dibasuh sebanyak tujuh kali.

ii)                  Pandangan Mazhab Hanafi.
Menurut pendapat ulama Hanafi, semua bahagian anggota tubuh binatang yang di dalamnya tidak ada darah mengalir, baik dalam keadaan hidup atau mati, samada binatang itu halal dimakan atau tidak, sekalipun anjing – asalkan bukan babi adalah suci, seperti bulu yang dipotong,paruh, kuku, urat puteh, tanduk, kuku kaki, tulang yang tidak berlemak (kerana lemak bangkai adalah najis). Anjing bukanlah najis ‘ain (najis yang nyata) kerana ia berguna untuk penjagaan dan pemburuan, tidak seperti babi ia adalah najis ‘ain. Namun air sisa minuman babi dan anjing dan semua binatang buas adalah najis.

iii)                Pandangan Mazhab Shafie.
Pendapat ulama Shafie pula , semua binatang adalah suci kecuali anjing , babi dan keturunan dari keduanya termasuk kotoran dan keringatnya dari keduanya, termasuk najis ‘ain. Oleh itu apa sahaja yang disentuh oleh binatang itu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan bercampur debu.

iv)                Pandangan Mazhab Hambali.
Ulama Hambali sependapat dengan ulama Shafie, bahawa anjing, babi dan keturunannya yang lahir dari keduanya adalah najis yang perlu di basuh tujuh kali, sekali mesti bercampur dengan tanah.
Berdasarkan pandangan dari perspektif ahli dalam ilmu feqah ini dapatlah disimpulkan bahawa dua mazhab iaitu Maliki dan Hanafi tidak menghukum anjing sebagai najis mutlak, kecuali yang melibatkan air liurnya dan bahan buangan dari perut anjing. Manakala dua mazhab lagi iaitu Shafie dan Hambali, menyimpulkan anjing secara keseluruhannya adalah najis, dengan perbahasan yang lebih terperinci seperti yang dinyatakan di atas.
PANDANGAN TOKOH-TOKOH MASYARAKAT  MALAYSIA.
Pandangan ulama mazhab yang empat ini telahpun diketahui umum, walaupun tafsiran  dibuat oleh masyarakat Melayu Islam kadang-kadang melebihi dari pandangan tersebut. Apabila isu ini meletus dalam media perdana, pelbagai ulasan dari golongan ilmuan, politik dan ahli masyarakat. Masing-masing tampil membawa hujah untuk menjustifikasi pendapat samada berlandaskan hukum feqah, atau pandangan dari sudut pentadbiran, dan juga kemaslahatan sosial.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim  berpendapat bahawa isu video Aidilfitri pemilik anjing yang disebarkan di laman sosial baru-baru ini harus ditangani dengan nasihat. Jelas beliau, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan sehingga menjadi isu negara kerana ia boleh memberi gambaran yang tidak baik tentang keutamaan negara. Isunya bukan anjing-anjing tersebut., tetapi kerana ia dikaitkan dengan Aidilfitri. Beliau berpendapat jalan terbaik adalah dengan memanggil individu terlibat dan nasihati dia dengan nasihat yang baik. Mengambil  saranan Al-Quran yang bermaksud;
Serulah manusia kejalan TuhanMu dengan hikmah, dan berdialoglah dengan mereka dengan baik”.                                                                                                           Surah An-Nahl ayat 125 
Manakala kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Hal Ehwal Islam telah meminta pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti dan mengkaji, maka pihak JAKIM telah memutuskan status klip video ’1 Hari Di Hari Raya’ oleh Chetz Yusof adalah menghina Islam. Beliau mencadangkan supaya isu ini di bawa kepada Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) untuk didakwa dibawah akta SKMM, kerana pihak JAKIM sendiri amat terbatas dari segi perundangan.
Manakala Senator Dato’ Dr Mashitah Ibrahim pula  berpandangan orang ramai khususnya yang beragama Islam dibolehkan memelihara anjing untuk tujuan tertentu, tetapi diwajibkan melakukan samak jika terkena jilatan atau air liur atau bersentuhan (basah) dengan haiwan berkenaan. Menurutnya, perlakuan manusia sama ada harus atau sebaliknya banyak bergantung pada niat seseorang, namun anjing yang dibela dengan tujuan membantu menjaga ternakan seperti ayam atau itik adalah diharuskan. Beliau menjelaskan pandangan tersebut berdasarkan nas Al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 4, diterangkan bahawa anjing yang diajar dan terlatih harus digunakan seperti berburu dan harus makan buruannya, cuma keadaannya yang najis memerlukan kita untuk menyamak jika tersentuh anjing berkenaan.

Pandangan ahli perundangan, seperti N. Surendran dan Latheefa Koya  yang juga  peguam kepada Chetz Yusof. Mereka kesal kerana kenyataan JAKIM memutuskan pelatih anjing muslim ini bersalah menghina agama Islam melalui videonya disifatkan sebagai melampau, menyalahi undang-undang dan menghina dasar kehakiman negara yang memberi hak mempertahankan diri kepada suspek. JAKIM yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia boleh menjejaskan proses perbicaraan suspek. Kenyataan JAKIM merupakan satu perisytiharan mengesahkan  bahawa Chetz Yusof sememangnya bersalah atas kesalahan jenayah sebelum di bicarakan dalam mana-mana mahkamah adalah sangat janggal.

Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainal Abidin memberi penjelasan , adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. (orang yang mahir dalam ilmu agama) Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalu-alukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Sheikh Zainal Mohd. Asri, Mudir Darul Hadis Alor Setar, ketika membahaskan hadith Rasullulah saw mengenai isu anjing ini, menegaskan bahawa ada perbezaan pandangan dalam mazhab ahli sunnah wal jamaah iaitu antara pandangan Shafie, Maliki, dan Hanafi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan di atas. Begitu juga Hadith Sahih berkaitan seorang yang memberi anjing yang sedang kehausan minum air dengan khufnya (kasutnya), diambil oleh Mahzab Maliki sebagai membuktikan bahawa anjing itu suci dan tidak najis. Ini adalah pendapat syariat orang terdahulu (syar’an qoblana) yang disandarkan hukum menurut pendapat Mazhab Maliki. Perbahasan ini dari Kitab Sahih Bukhari Jilid 1 hadith 124 dan 125.
Seorang pendakwah bebas yang terkenal Ust. Haslin Baharin (lebih dikenali dengan Ust. Boolywood), berpendapat kesalahan Chetz Yusof adalah menjadikan suara takbir raya dan perlakuan membasuh kaki dan muka anjing seperti mengambil wuduk untuk menunjukkan anjing juga bersih adalah amat tidak wajar serta menyalahi prinsip pendidikan. Sekiranya ia menukar suara latar dengan lagu Michale Jackson, dan tidak ada perlakuan anjing berwuduk, ia tidak akan mengundang kemarahan masyarakat Islam.
Pandangan tokoh-tokoh masyarakat termasuk kalangan ulama ini merumuskan bahawa pendapat dari Mazhab Shafie yang telah mendominasi masyarakat Islam di Malaysia perlu dipatuhi. Tetapi  menghukum individu kerana memegang anjing atau memeliharanya dengan terlalu keras, adalah tidak sesuai, sedangkan terdapat pandangan lain dari mazhab ahli sunnah wal jamaah yang mengizinkan memelihara dan memegang anjing tanpa perlu disamak.

DOMINASI PANDANGAN  MAZHAB SHAFIE DALAM MASYARAKAT MELAYU ISLAM.
Mazlee Malik (2005) berpendapat Mazhab Shafie telah mendominasi pemikiran masyarakat melayu  sejak kedatangan Islam lagi. Selama ratusan tahun tarbiyyah dengan kefahaman ilmu dari satu mazhab ini sahaja yang diamalkan. Oleh itu adalah tidak mustahil perbezaan pandangan atau pengamalan dari mazhab yang selain daripada Mazhab Shafie adalah dianggap janggal ataupun tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu di Malaysia. Isu menerima sebahagian daripada pendapat mazhab lain atau disebut Talfiq tidak difahami oleh masyakat Melayu pada permulaan kedatangan Islam. Walaupun ulama telah membincangkan isu  talfiq ini sejak kurun ke 10 Hijrah lagi ketika gejala taksub pada mazhab amat ketara di kalangan umat Islam pada masa itu.
Oleh itu tidaklah mustahil  pengamalan Mazhab Shafie di Tanah Melayu dan kemudian di Malaysia amat kuat dan telah menjadi turun temurun. Apabila ada sahaja unsur dari mazhab yang lain selain dari Mazhab Shafie akan ditolak dengan mudah sekali. Namun pasca kemerdekaan 1957 dengan bilangan pelajar dari Timur Tengah khususunya dari lulusan Al-Azhar yang menduduki posisi sebagai pentadbir agama disemua tingkat. Dengan perubahan zaman dan lingkungan sedikit sebanyak isu-isu berkaitan dengan Talfiq semakin diterima oleh masyarakat Islam kini.
Isu perbezaan pendapat dalam memahami sesuatu pegangan dalam mazhab ahli sunnah wal jamaah masih kabur dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hukum anjing mengikut pandangan mazhab-mazhab dalam ahli sunnah wal jammah. Serta dikuatkan dengan dalil dari Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw. En Azmi yang memelihara anjing terbiar menyalahkan tradisi masyarakat yang sejak dahulu lagi yang menghina anjing. Perbuatan mengusir anjing dengan lontaran batu atau kayu apabila ada anjing yang masuk kampong telah tertanam dalam minda orang Melayu sejak dahulu lagi. Golongan agama yang mengajar mereka fahaman sesat ini dan menjadi punca mengapa masyarakat Melayu Islam menolak sifat ihsan pada binatang yang bernama anjing.                                                                                                                      
KHATIMAH.
Berdasarkan hujah-hujah diatas, dapatlah dirumuskan bahawa pegangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia pada Mazhab Shafie sangat kuat. Didikkan bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berat telah sebati dalam jiwa mereka. Pendapat ulama dalam Mazhab Shafie menyatakan, walaupun menyentuh bulu anjing yang basah maka ia perlu disamak. Kesan dari pendapat ini, anjing itu dilihat amat jijik, kotor, najis dan sesiapa mendekati anjing, memelihara, memegang dan apa sahaja yang berkaitan dengan anjing, maka individu itu juga dikategorikan sedemikian.
Oleh itu perbuatan memegang anjing, seperti tindakan  Chetz dalam vedio klip disertai dengan iringan suara takbir hari raya, telah mendapat kecaman hebat dalam media ketika itu. Masyarakat Melayu Islam amat sensitif apabila takbir hari raya yang merupakan kemuncak kegembiraan dalam ibadah berpuasa digandingkan dengan anjing yang merupakan najis berat. Pengetahuan asas agama dan hukum najis tidak ada dalam pemikiran orang yang membuat vedio klip ini. Sedangkan kefahaman, sikap dan pandangan masyarakat Melayu Islam telah diketahui umum.
Sikap dan pegangan ini dikuatkan lagi dengan isu yang berkaitan dengan kesihatan, sebagaimana yang dijelaskan dalam perbincangan di atas. Ketakutan kepada gigitan anjing yang boleh membawa kepada penyakit anjing gila masih mengantui mereka, walaupun kes kematian penyakit ini hampir 15 tahun berlalu. Namun kebarangkalian ia kembali tidak mustahil. Oleh itu masyarakat Melayu Islam mengambil sikap yang amat berhati-hati untuk melibatkan anjing dalam semua keadaan.

BIBLIOGRAFI.
Al- Quran Teks Asal dan terjemahan (2010). Saba Islamic Media, Kuala Lumpur.
Siddiq Fadzil. (1992). Minda Melayu Baru. Intitut Kajian Dasar. Kuala Lumpur.
Al-Imam Al-Bukhary (2009) Terjemahan Sahih Bukhary Jilid I, II, III & IV . Klang Book Centre, Kuala Lumpur.
Kamarudin Jaafar (2000) Dr. Buhanuddin Al Helmy Pemikiran dan Perjuangan, .IKDAS Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili (2007), Fiqih Islam Wa Adillatuhu, Jilid I. Darul Fikr,  Damaskus, Syria.
Dr Yusoff Al-Qardhawy (1998), Panduan Memahami Syariat. Pustaka Ilmi, Selangor Darul Ehsan.
Dr Maszlee Malik(2005), Talfiq – Beramal Dengan Pelbagai Mazhab. Karya Bestari Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.
Norain H. Muhammad (1972), Perukunan Romanise, H. Hashim H. Abdullah Singapura.
Syaikh Abdus samad Al-Falimbany (2004), Terjemahan Sairus Salikin Edisi Melayu, Khazanah Banjariah, Kedah Darul Aman.
Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Laman Sesawang Minda Tajdid, 22 Ogos 2013. http://drmaza.com/home/?p=2449






[1] Najis Berat (Mughalazah) adalah najis yang tebal, berat  dan keras, bersangatan. Melibatkan dari jilatan anjing dan najis babi atau keturunan dari antara keduanya. Membersihkannya, hendaklah dihilangkan dahulu ain najis itu, kemudian dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air yang bercampur dengan tanah – Norain H. Muhammad, (1972) Perukonan Romanise. H. Hashim H. Abdullah, Singapura.

[2] Talfiq – Mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dan tidak terikat dengan satu mazhab sahaja. Menurut pendapat Wahba Az- Zuhaily (1986) Usul Al-Fiqh Al-Islami. Beirut : dar Al-Fakr Al Mu’asir Jil : 2 ms 1142 petikan dari  Buku Talfiq- Beramal dengan pelbagai mazhab oleh Dr Maszlee Malik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...