Isnin, 24 September 2018

MENYAMPAIKAN UCAPTAMA DI PROGRAM BICARA TOKOH KEMERDEKAAN


MENGHAYATI SEMANGAT PERJUANGAN TOKOH KEMERDEKAAN PROF. DR BURHANUDDIN AL-HILMY.

     Alhamdulillah, bicara tokoh kali ini amat bersejarah bagi kita semua. Buat pertama kali setelah kemerdekaan kita hanya didendangkan dengan acara sambutan kemerdekaan dengan pelbagai acara termasuk sambutan ambang merdeka, kibaran jalur gemilang dan percikan bunga api menjelang 31 Ogos, Namun pada kali ini saya amat bertuah kerana diberi peluang untuk ucap utama dalam Bicara Tokoh Pejuang Kemerdekaan iaitu Prof Dr Burhanuddin Al-Hilmy. Seorang tokoh  perjuang Dakwah dan Reformasi kemerdekaan yang tidak asing lagi, beliau bersama teman-temannya telah mengharungi ranjau dan duri, dihempas badai dan ombak demi sebuah negara dan kemerdekaannya.

     Kini kita dapat menghirup udara segar kebebasan dan kemerdekaan atas jasa dan pengorbanan mereka. Bebas daripada ketakutan dan kongkongan penjajah. Bebas dari tekanan fizikal serta gangguan psikologikal sebuah pemerintahan asing yang menindas. Namun, cabaran di hadapan kita amat besar, kemerdekaan tidaklah sesukar membina dan mencipta sesuatu yang baru. Apatah lagi dengan pelbagai kerosakan yang telah dibuat oleh ratusan tahun penjajah keatas bumi tercinta ini. Kerosakan agama dan budaya, kerosakan sistem dan undang-undang, kerosakan harta benda dan ekonomi, Kerosakan bahasa dan nilai.

   Justeru itu, sempena dengan sambutan kemerdekaan kali ini, Kerajaan negeri dibawah Perpustakaan Negara Cawangan Kedah Darul Aman  menganjurkan Bicara Tokoh Kemerdekaan dengan mengangkat  ikon pejuangn hebat Prof Dr Burhanuddin Al-Hilmy. Suatu hakikat yang harus ada dalam minda kita bahawa sebarang usaha perubahan yang hendak dilakukan mestilah menerima hakikat perlunya pengorbanan , tanpa pengorbanan kejayaan tidak akan datang dengan sendirinya. Siapakah tokoh ini? Apakah perjuangan  yang telah beliau lakukan? Bagaimanakah kita harus mengambil iktibar dari semangat perjuangan beliau ini?.  Insya Allah persoalan yang saya lontarkan ini akan terjawab sebentar lagi.

     Cetusan awal untuk mengadakan majlis ini sempena dengan program sambutan Kemerdekaan Malaysia kali 61 tahun adalah untuk menghayati tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan negara seawal tahun 40an lagi. Sebenarnya terdapat ramai tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang nama-nama mereka tidak sering diungkapkan, seperti Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Ibrahim Yaakob, Dato’ Onn Jaafar, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestaman dan lain-lain tokoh lagi. Insya Allah kita akan bicarakan tokoh-tokoh ini ditahun-tahun akan datang. Saya mengharapkan program ini akan menjadi acara tetap tahunan sempena sambutan kemerdekaan di negeri Kedah.

     Namun ketokohan Dr Burhanuddin Al-Hilmy sedikit menonjol walaupun terdapat juga pandangan serong terhadap beliau  atas beberapa faktor, antaranya adalah faham kiri yang tidak mendokong aliran kanan yang memerintah negara. Tetapi saya tidak berhajat untuk berpolimik mengenai faham kanan ataupun kiri. Yang lebih utama terdapatnya satu tiupan semangat perjuangan tokoh yang kita bicarakan pada hari ini, supaya generasi muda ambil iktibar mengenai usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dilakukan oleh Dr Burhanudin Al-Hilmy bersama teman-teman beliau. Beliau juga meniupkan semangat perjuangan melalui pendekatan kesusasteraan dengan ungkapan puisi atau syair yang terkenal “DI ATAS RUNTUHAN KOTA MELAKA”.

     Syair klasik karya Dr Burhanuddin Helmi ini seringkali di salah kreditkan kepada Hamka. Ia sebenarnya dirakamkan oleh Hamka dalam bukunya Dari Perbendaharaan lama dari ungkapan Dr Burhanuddin ketika menyampaikan ucapan perdananya di Kongres Ke-2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Melaka dalam tahun 1946. Hamka merakamkan puisi lama itu ke dalam bukunya barangkali kerana pengaruh syair itu yang meluas di kalangan pejuang-pejuang tanah air di masa lampau yang sering mengungkapkannya semasa berjuang menggerakkan dan menaikkan semangat orang-orang Melayu supaya bangkit menentang penjajah Inggeris. Syair yang penuh bermakna itu sudah luput dari ingatan, namun ia tetap penting sebagai karya peninggalan seorang tokoh politik yang telah banyak menyumbangkan peranan penting dalam kebangkitan semangat kebangsaan Melayu pada abad ke-20 di Tanah Melayu.

                                                       "Di atas runtuhan kota Melaka
                                                       kita bangunkan jiwa merdeka,
                                           bersatulah Melayu seluruh baka,
                                           membela hak keadilan pusaka…”


      Nama sebenar beliau ialah Amir Burhanuddin Bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama Sekolah Melayu. Beliau dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ, beliau menuntut pula di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas IV Thanawi pada tahun 1934.

      Dr. Burhanuddin al-Helmi ialah seorang yang benar-benar alim dalam ilmu dan bidang agama Islam. Ketinggian ilmunya memang sukar hendak ditandingi. Beliau menguasai semua pelat bahasa Arab yang berlainan itu. Malah, beliau juga seorang ahli tafsir Al-Quran dan al-Hadis yang ulung dan menguasai nahu saraf dan segala yang berhubung dengan sastera Arab. Selain itu beliau juga boleh bertutur dan menulis dengan fasih dan baik dalam bahasa Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman. Ertinya beliau berkebolehan menguasai tujuh bahasa besar dunia. Dr. Burhanuddin al-Helmi dalam perjuangannya sebelum memasuki PAS sentiasa membimbing ahli-ahlinya supaya berusaha dengan tekun kerana berusaha itulah yang menentukan nasib diri dan kaum mereka akan berubah, beliau sering memberi tazkirah kepada mereka dengan memperdengarkan ayat-ayat al-Quran yang sesuai sebagai penguat semangat perjuangan. 

        Beliau kemudiannya mendapat peluang belajar di Universiti Aligarh, India dalam bidang Sastera dan Falsafah sekaligus mempelajari bahasa Inggeris, Perancis, German, dan perubatan homeopati. Pelajaran Homeopati yang dipelajari beliau juga berjaya ditamatkan di Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Semasa belajar di India pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Jawaharlal Nehru. Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki.

      Beliau adalah seorang pemimpin yang disegani kawan dan lawan. Apabila Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussein dan lain-lain menubuhkan KMM, beliau telah menyertai dan bersama-sama memainkan peranan memimpin dalam pertubuhan tersebut. Patut disebutkan bahawa KMM adalah parti politik Melayu yang pertama yang bercita-cita memperjuangkan kemerdekaan di atas dasar perpaduan aliran nasionalis, agama dan sosialis. Dr. Burhanuddin Al-Helmy kemudiannya bersama-sama Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhamad (Pak Sako) dan lain-lain menubuhkan PKMM yang merupakan sebuah parti progresif kesinambungan dari KMM yang juga berpegang pada prinsip nasionalis, agama dan sosialis dan berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

       Demi perjuangan besar ini, beliau telah membentuk PUTERA pada tahun 1947. Gabungan badan-badan politik Melayu progresif ini telah membentuk front persatuan dengan AMCJA. Satu sumbangan besar Dr.Burhanuddin al-Helmy melalui PUTERA(Pertubuhan Melayu Anti-UMNO)ialah merangka The People Constitution Of Malaya yeng menggariskan kehendak dan suara rakyat Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan ini telah ditolak oleh British dan UMNO.  Gabungan badan progresif Melayu dan bukan-Melayu ini menjadi satu badan front persatuan bersifat nasional yang kuat dan julung-julung kali berlaku dalam sejarah tanah air. Akan tetapi, kerana perkembangan kekuatan patriotik-demokratik ini telah memberi ancaman hebat ke atas kekuasaan penjajah, ia telah diharamkan oleh British dalam Undang-undang Darurat. Sebaliknya British dan UMNO mengadakan rundingan membentuk perlembagaan Tanah Melayu.

         Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pejuang kemerdekaan yang tidak kenal tunduk dan juga seorang ulama besar dan berpandangan jauh. Dengan berpegang teguh pada prinsip nasionalis, agama dan sosialis, beliau telah menggembleng tenaga nasionalisme, agama dan sosialisme ke dalam wadah perjuangan untuk kemerdekaan ibu pertiwi. Dr. Burhanuddin Al-Helmy merupakan tulang belakang dalam penubuhan Partai Rakyat Malaya pada 1955 dan pada tahun 1956, beliau juga telah dipilih menjadi Yang Dipertua Agung PAS. Beliau telah memimpin PAS mencapai perkembangan yang cemerlang.

    Beliau pernah beberapa kali ditangkap kerana kegiatan politiknya yang menginginkan kemerdekaan penuh nusa dan bangsa. Pada tahun 1937, beliau dipenjarakan oleh penjajah British kerana menerbitkan majalah Taman Bahagia yang menyebarkan semangat merdeka; pada tahun 1950-1953 dipenjarakan oleh penjajah British kerana memimpin masyarakat Melayu melancarkan perjuangan menentang keputusan mahkamah kerajaan British di Singapura dalam kes Natrah; dan pada tahun 1965-66 dipenjarakan oleh Kerajaan Tunku Abdul Rahman kerana dituduh melakukan kegiatan anti-Malaysia. Akibat dari seksaan di dalam penjara, beliau telah mengidap penyakit dan meninggal dunia pada 10 Oktober 1969.

      Perjuangan mencapai kemerdekaan negara, Islam dan kebangsaan Melayu. Dalam bukunya Perjuangan Kita (1946), Dr Burhanuddin membayangkan pemikirannya berlandaskan kata masyhur Arab yang ini disifatkan sebagai pejuang yang berdiri atas tiga teras utama, iaitu “Kasihkan watan itu daripada iman.” Berdasarkan kata-kata Arab inilah beliau mengungkapkan konsep pembinaan ummah serta pembentukan negara merdeka.

        Jiwa keIslaman yang kental telah membentuk Dr Burhanuddin bersikap lemah lembut, paling sederhana dan merendah diri, disifatkan sebagai seorang pemikir politik Melayu yang berjaya menyepadukan perjuangan politik Melayu dengan Islam. Baginya, memperjuangkan kebangsaan Melayu bererti memperjuangkan daulah Islam kerana dalam konteks Tanah Melayu, kekuatan Melayu akan membawa kepada kekuatan Islam. Beliau juga seorang pemidato dan pengarang kitab Islam sentiasa memusatkan perhatian kepada perjuangan menegakkan syiar Islam di bumi Nusantara. Sepanjang hayatnya, Dr Burhanuddin tidak pernah berhenti memikirkan langkah untuk meletakkan Islam ke tahap tertinggi.

      Dalam sebuah tulisannya beliau pernah bertanya: “Bagaimanakah kita dapat memulihkan kesakitan dan penderitaan bangsa kita? Dan bagaimanakah kita akan mengembalikan agama kita hingga Islam dapat berjalan menurut yang dikehendaki Allah, jika belum bebas merdeka dan berdaulat. Tentu tidak boleh , melainkan sudah bebas merdeka dan berdaulat.” Demikian rintihan hati seorang tokoh politik Melayu.

        Semasa pendudukan Jepun Dr. Burhanuddin telah diberikan salah satu jawatan tertinggi bagi seorang Melayu laitu sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu (Advisor on Malay Customs and Culture) dan berpejabat di Markas Pentadbiran Tentera Jepun di Taiping. Beliau menggunakan jawatan mi, seperti juga pemimpin-pemlmpm KMM yang lain yang diberi jawatan oleh pemerintah Jepun, untuk menyediakan pembebasan Tanah Melayu daripada sebarang bentuk penjajahan. Beliau telah menganjurkan dua kongres Islam. Beliau juga mengambil peluang daripada jawatannya ini untuk  melindung dan membantu Maahad Il-Ihya Assyariff, iaitu sebuah pusat pendidikan Islam yang terkemuka dari segi sosial dan politik, di Gunung Semanggol, Taiping. Dan pada bulan Julal 1945 Ibrahim Yaacob, Dr. Burhanuddin, Onn Siraj dan beberapa pemimpin-pemimpm KMM yang lain menubuhkan pula KRIS yang dirancangkan dengan sokongan pihak Jepun untuk menguruskan kemerdekaan Malaya sebagai sebahagian daripada IndonesIa Raya. Rancangan mereka itu, sebagaimana yang telah disebutkan di atas, tidak dapat dilaksanakan oleh kerana pihak Jepun telah mengumumkan penyerahan diri mereka terlebih dahulu. Inilah diantara sisi gelap yang dimainkan oleh musuh-musuh beliau.

       Ahmad Boestamam pernah menjelaskan tentang perjuangan Dr.Burhanuddin dan menganggap beliau seorang yang patriot negara yang banyak berjasa. Beliau turut diberi gelaran "Bapa Kebangsaan Melayu" kerana hingga akhir hayatnya beliau tetap konsisten dengan penubuhan negara bangsa yang dinamakan Melayu. Berasaskan kepada keteguhan semangat beliau memperjuangkan politik berlandaskan perjuagan Islam, Dr.Burhanuddin telah terpilih sebagai Presiden Parti Islam Semalaya(PAS) yang ketiga dalam perhimpunan kelima parti tersebut pada tahun 1956.

       Selain terlibat dalam bidang politik, beliau turut menghasilkan beberapa karya penulisan yang bertujuan untuk membuka mata masyarakat terutama orang melayu mengenai maksud sebenar perjuangan dan perkaitannya dengan Islam. Antara karya penulisannya ialah:

i)                    Perjuangan Kita(1946)
ii)                  Falsafah Kebangsaan Melayu(1947)
iii)                Agama & Politik(1954)
iv)                Ideologi Politik Islam(1957)

        Perginya Dr.Burhanuddin pada 25 Oktober 1969 bererti politik negara kehilangan seorang bunga bangsa yang terkenal dengan keteguhan prinsip perjuangan yang tetap beliau pertahankan hingga akhir hayat. Pemergian beliau merupakan kerugian besar bagi gerakan patriotik-demokratik. Mengenang sumbangan beliau yang besar kepada kemerdekaan tanah air, Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy, agar semangat dan cita-cita beliau sentiasa bersinar-sinar dari generasi ke generasi.

       Kepada generasi muda hari ini,  tokoh yang kita tampilkan dalam bicara kali ini, untuk diambil semangat juangnya, falsafah hidupnya, pengorbanannya dan cita-cita serta perancangannya untuk suatu kebebasan mutlak agar generasi hari ini mendapat nikmat untuk melakukan kebaikan kepada negara dan rakyatnya. Marilah kita hayati semangat ini dan kita contohi dalam hidup kita hari ini. Marilah kita hadiahkan al-fatihah kepada semua pejuang kemerdekaan yang telah berjasa pada bumi tercinta ini. Al-fatihah.

                            18 September 2018, 08 Muharram 1440 Hijrah ~ Seri Mentaloon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...