MENJIWAI
ERTI KEMERDEKAAN
DALAM
MALAYSIA BAHARU.
Oleh
: Dato’ Ahmad bin Kasim.
Speaker
DUN Kedah.
“Kemerdekaan harus diisi dengan usaha pembinaan watak bangsa
dengan nilai al-izzah, mendidik mereka tentang erti harga diri, maruah dan
kehormatan sebagai suatu yang termahal, sesuatu yang tanpanya hidup tidak
bererti lagi, sesuatu yang menjadikan mereka bangsa yang pantang dihina” Dato’
Dr Siddiq Fadhil
1.0 Premis Dasar.
1.1 Semua jiwa akan
merasa tenang dan tenteram apabila bebas daripada sebarang bentuk penjajahan
khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara. Kemenangan
menghadapi penjajah dianggap sebagai kejayaan besar dan mutlak bagi
melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun, pengertian kemerdekaan
sangat luas, tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara daripada
cengkaman kuasa asing semata-mata. Kertas ini akan membahaskan erti kemerdekaan
sebenar yang diharapkan , serta pengisian yang wajar diberikan dalam konteks
Malaysia baharu kini.
1.2 "Berilah layanan yang baik kepada dua
ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, jiran tetangga yang dekat,
jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, orang perantauan dan hamba abdi kamu.
Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang yang angkuh dan membanggakan diri."
(Surah al-Nisa, ayat 36)
1.3 Oleh itu generasi
kini mesti menjiwai erti kemerdekaan dalam skop yang lebih luas, kerana era
penjajahan sudah terlepas jauh dari pandangan mereka. Mereka sudah melepasi
waktu dan tidak dapat melihat bangsa yang berada dalam segmen penjajahan
ketenteraan dan pentadbiran. Suatu segmen kehidupan yang penuh traumatik dan
menghadapi survival hidup yang sangat mencabar. Namun amat wajar generasi kini
memikirkan pengisian kemerdekaan pasca penjajahan.
1.4 Dato’ Dr Siddiq
Fadzil (2012) menggambarkan bahawa kemerdekaan yang telah dicapai adalah kurniaan Ilahi
yang seharusnya disyukuri dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kegagalan
mewaspadai gejala-gejala tersebut akan sekali lagi menjerumus kita ke dalam era
penjajahan yang hanya bertukar wajah. Selanjutnya beliau memetik pandangan
Malik Bennabi yang menyorot titik-titik kelemahan umat yang dijajah yang berlaku bukan hanya disebabkan kerakusan
dan sikap penjajah, tetapi lebih disebabkan oleh kerosakan dalaman masyarakat
pribumi seperti masalah jiwa, minda,dan budaya masyarakat yang akan mengamit
serta merangsang dan seterusnya akan membuka ruang kepada penjajahan.
1.5 Tokoh
pemikir gerakan islah awal abad lalu , Amir Shakib Arsalan menyentuh persoalan
ini dalam konteks kemunduran umat Islam. Beliau telah menyimpulkan masaalah
utama adalah berpunca daripada kerosakan hati yang kian memudaratkan dan
menepati ayat 10 surah al-Baqarah yang telah menyebut tentang perihal kelompok
manusia yang hatinya berpenyakit, lalu Tuhan menambahnya lagi menjadi semakin
parah. Akibat penyakit hati yang parah itu menjadikan sebilangan daripada
mereka pak turut kepada penjajah dan musuh-musuh Islam , persis golongan yang
disebut dalam al-Quran pada surah
al-Tawbah ayat 48 sebagai samma’un lahum.(Arsalan,1975:143)
2.0 Sejarah dan kesan jangka panjang
penjajahan.
2.1 Kedatangan kuasa-kuasa asing ke Tanah Melayu pada mulanya hanyalah
sebagai pedagang-pedagang yang hanya berniaga di negeri Tanah Melayu. Walau
bagaimanapun, oleh kerana terdapat beberapa kelemahan dan masalah dalam negeri
Melayu, kuasa-kuasa asing ini mengambil peluang untuk menjajah negara Malaysia.
Tambahan pula kuasa-kuasa asing sememangnya mempunyai sebab utama untuk
menjajah negara-negara Asia Tenggara.
2.2 Fasa-fasa penjajahan
keatas Tanah Melayu oleh kuasa asing bermula dengan penjelajahan pada abad ke-15 oleh Alfonso De Albuquerque yang dilantik
sebagai Wizurai Portugis di India sebelum menawan Kota Melaka pada tahun 1511. Selepas
dari Portugis satu demi satu penjajahan asing menawan Tanah Melayu bermula
dengan Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824), British
(1824-1957), Jepun (1941-1945). British adalah
penjajah asing yang paling lama dan telah menduduki negara ini lebih daripada 150
tahun.
2.3 Sepanjang
era penjajahan ini, maka lahirlah sejumlah pejuang kemerdekaan yang sentiasa
membakar semangat rakyat untuk bangkit menentang penjajah samada atas faktor
agama, politik ataupun ekonomi. Penjajahan
kuasa asing sebenarnya tidak
menyenangkan hati orang-orang Melayu. Penentangan terhadap kuasa asing telah berlaku sejak mula Portugis menakluki
Melaka lagi. Pembesar-pembesar Johor, misalnya telah beberapa kali cuba
membebaskan Melaka daripada cengkaman Portugis. Penentangan yang sama turut
diperlihatkan terhadap Belanda.
2.4 Namun begitu, reaksi yang kuat diberikan
terhadap penaklukan Inggeris yang bermula sejak tahun 1947. Campur tangan
Inggeris terhadap pentadbiran Raja-raja Melayu di Tanah Melayu dan penaklukan
Borneo Utara, telah mendorong kepada penentangan secara terbuka. Di Naning,
misalnya, Dol Said mengepalai penentangan terhadap pentadbiran Inggeris, Dato’
Maharajalela mengetuai pembunuhan J. W. W. Birch di Perak, Sharif Masahor,
Rentap dan Banting di Sarawak, Mat Salleh di Sabah, Dato’ Bahaman di Pahang,
Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu.
2.5 Kemuncak penentangan berlaku selepas
Perang Dunia ke-2, iaitu selepas kekalahan Jepun. Tentera British telah kembali
ke Tanah Melayu untuk memulihkan keadaan. Satu bentuk pentadbiran tentera yang
dinamakan British Military Administration (BMA) diwujudkan. Walau bagaimanapun,
BMA tidak dapat memulihkan keamanan. Akhirnya pihak British berusaha
mengembalikan semula pentadbiran awam. Tujuan mereka adalah untuk mendirikan
satu pusat pentadbiran yang kuat.
2.6 Namun Dato’ Dr
Siddiq Fadzil merumuskan bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan yang sebenarnya
tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi pertiwi. Dunia masih
belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha rebuilding, pemulihan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan
ratusan tahun selama era penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita
dihadapkan pula dengan bahaya jebakan penjajahan bentuk baru, penjajahn budaya,
penjajahan ekonomi, hegemoni, dominasi, globalisasi dan seumpamanya.
2.7 Adakah kibaran Jalur
Gemilang pada 31 Ogos saban tahun telah berjaya menzahirkan erti kemerdekaan sebagaimana yang
diingini atau ia cuma suatu acara kesyukuran dan kegembiraan terhadap
kemerdekaan negara. Atau acara tahunan bagi memeriahkan lagi kegembiraan itu supaya
dapat dikongsi seluruh rakyat Malaysia sebagai tindak balas patriotik terhadap
tanah air tercinta.
3.0 Citra Bangsa Merdeka
3.1 Perjuangan merebut
kemerdekaan tidak hanya lahir dari nyalaan semangat patriolisme dan nasionalisme
dalam pemikiran sempit , tetapi lebih daripada itu ia tercetus dari semangat
jihad demi agama, bangsa dan negara. Apa yang disebut dalam cacatan kolonial
sebagai kebangkitan religious fanaticism itu
pada hakikatnya tidak lain adalah merupakan semangat jihad melawan penjajahan
(Siddiq Fadzil, 2012).
3.2 Kemerdekaan negara tidaklah
semudah membalikkan telapak tangan. Perjalanan panjang yang melelahkan,
pengorbanan jiwa raga yang menyakitkan dan pengorbanan harta yang selalu
menguji keikhlasan. Semuanya menuntut suatu pengorbanan dan luka yang dalam.
Yang harus diperhatikan adalah dengan apabila telah merdeka, bukan berarti segala apa yang
diinginkan boleh didapatkan dengan mudah tanpa perjuangan dan kerja keras.
3.3 Oleh itu terdapat dua
perkara utama antara mengetahui sejarah kemerdekaan dengan memahami erti
kemerdekaan. Al-ilmu dengan al-fahmu adalah dua tajuk yang berbeza.
Subjek sejarah yang diajar disekolah dan uji dalam perperiksaan hanyalah
memaklumkan topik-topik mengenai susunan tarikh dan fakta pejuangan mencapai
kemerdekaan serta tokoh-tokoh tertentu yang terlibat secara langsung atau tidak
langsung. Bagaimana untuk menghayati erti kemerdekaan dengan meneladani
semangat patriotisme pejuang, kesungguhan, kegigihan, perancangan, indoktrinasi
faham kemerdekaan dan lain-lain nilai lagi adalah manifestasi dari faham erti kemerdekaan
yang sebenarnya.
3.4 Manifestasi erti kemerdekaan adalah bagaimana memajukan sesuatu
bangsa setelah merdeka dan menjadi tanggungjawab setiap individu bangsa
selanjutnya yang ditunjukkan oleh keberhasilannya mengatasi berbagai masalah, tidak
putus asa dan yakin akan kukohnya kesatuan bangsa. Persoalan yang ada dihadapan kita
adalah bagaimana untuk mencipta citra bangsa yang merdeka. Bangsa ini mesti
dibangunkan harga diri supaya menjadi bangsa yang terhormat dan disegani.
Membangunkan nilai-nilai ini harus berlaku secara kolektif bukan sahaja dibahu
pemimpin tetapi juga pada upaya bangsa
tersebut. Tidak hanya pada slogan-slogan yang indah menjelang kemerdekaan atau
logo-logo cantik yang sering dipamerkan.
3.5 Dato’ Dr Siddiq Fadzil telah menjelaskan
bahawa kemerdekaan harus
diisi dengan usaha pembinaan watak bangsa dengan nilai al-izzah
(Kemuliaan) mendidik mereka tentang erti harga diri, maruah dan kehormatan
sebagai suatu yang termahal, sesuatu yang tanpanya hidup tidak bererti lagi,
sesuatu yang menjadikan mereka bangsa yang pantang dihina.
4.0 KEMERDEKAAN DAN MALAYSIA BAHARU.
Rakyat Malaysia telah
membuka lembaran baru negara apabila mereka bersama-sama membentuk tsunami yang
paling besar dalam sejarah politik Malaysia sejak kemerdekaan. Dalam banyak
keadaan, sebahagian mereka juga mengenepikan kecenderungan diri sendiri dan
rasa kegusaran peribadi atas apa-apa alasan semata-mata demi menukar kerajaan
Persekutuan. Mereka telah mengambil risiko mencipta harapan baru bersama
Pakatan Harapan. Hasil dari keberanian ini maka beberapa kesan telah menjelma
antaranya;-
4,1 Kesuburan
demokrasi.
4.1.1 Demokrasi
ialah kesepakatan rakyat untuk memilih sebahagian orang yang akan memerintah
dan mengatur urusan mereka. Dengan cara itu rakyat terhindar daripada memilih
seorang pemimpin yang tidak mereka kehendaki dan sistem yang menindas mereka.
Demokrasi boleh difahami sebagai satu sistem yang mempunyai undang-undang
berprosedur yang mengkhususkan siapa yang berwibawa untuk membuat sesuatu
keputusan secara kolektif dan apakah prosedur yang harus digunakan untuk membut
keputusan (Azzam Tamimi, 2001: 10).
4.2 Kebebasan
berfikir.
4.2.1 Pejuang
kemerdekaan dijulang bagi menyedarkan generasi baharu terhadap perjuangan
menuntut kemerdekaan. Umat yang bebas dan merdeka, dapat berfikir dengan bebas
apa yang baik untuk diri, bangsa atau kepentingan umat seluruhnya. Kebebasan
kini diterjemahkan dengan pemasuhan beberapa akta yang mengongkong pemikiran
rakyat dan kesannya rakyat kini keluar dari rasa takut yang telah mencengkam
mereka sejak sekian lama.
4.2.2 Walaupun begitu,
kebebasan yang diberikan bukan bermaksud membiarkan gejala fitnah
bermaharajalela. Undang-undang yang menyekat gejala fitnah yang kini semakin
menjadi-jadi mesti di aplikasikan. Inilah kemerdekaan sebenar iaitu kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpanya, kemerdekaan
fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan muslim menyedari cabaran utama umat
Islam setelah mencapai kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda
merdeka.
4.3 Kebebasan
berbeza pandangan (Mengkritik).
4.3.1 Dr Yusuff
Al-Qaradawy menulis suatu kitab ‘Adab
al-ikhtilaf fi al-Islam’ menyorot beberapa segmen pertembungan pemikiran
dalam Islam yang melahirkan beberapa mazhab sebagai suatu yang subur, indah dan
bersifat semulajadi. Perbezaan pandangan itu merupakan suatu fenomena yang baik
dan perlu diurus dengan baik supaya
kesan pada umat juga akan jadi baik. Inilah konsep perbezaan pandangan dalam
Islam.
4.3.2 Malaysia baharu
cuba untuk aplikasikan konsep perbezaan pandangan serta membenarkan perbezaan
ini diutarakan seluas-luasnya. Medium untuk mengkritik pemerintah kini dalam
pelbagai bentuk. Inilah kesan disebabkan adanya globalisasi serta dunia tanpa
sempadan. Ianya kelihatan lebih mudah untuk sesiapa sahaja mempengaruhi dan
meluahkan idea melalui kuasa politik,
ekonomi serta sosial.
4.3.3 Namun kita
sering diingatkan, serangan pemikiran atau Ghazwul
Fikri adalah pengganti kepada serangan fizikal yang sentiasa mengalahkan
mana-mana pihak dan menakutkan mereka,
sedangkan umat Islam sentiasa bersedia menghadapi cabaran fizikal itu dengan
jayanya.
4.4 Keadilan untuk semua.
4.4.1 Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan baharu akan terus melindungi
kepentingan orang Melayu dan bumiputera di samping menjaga kebajikan kumpulan
marginal di negara ini. Rakyat
daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India serta warga Sabah dan
Sarawak, telah mengundi kerajaan baharu, jadi mereka harus bersikap adil kepada
mereka. Usaha untuk menangani isu dan pembaharuan berkaitan dengan pengurusan
ekonomi dan kewangan negara tidak akan menjejaskan mana-mana kumpulan seperti
yang termaktub di bawah perlembagaan. Inilah tugas utama untuk memastikan kerajaan mengagihkan kekayaan ekonomi secara
adil pada semua rakyat
4.5 Negara tanpa rasuah.
4.5.1 Perkara utama yang
perlu wujud untuk sesebuah negara yang danggap bersih atau bebas dari rasuah. Ia meski didukung sikap amanah dan jujur
pemimpinnya, penjawat awam malah rakyat seluruhnya. Inilah
ciri utama yang perlu wujud. Ini disebut oleh ulama dan tokoh besar sains
sosial Islam, Ibnu Khaldun dalam ‘Muqadimah
Ibnu Khaaldun’. Dia tidak menyebut rasuah, tetapi secara umumnya ia
menyebutkan menyelewengkan harta negara.
Negara yang begini, katanya, tidak akan ada keberkatan dari Ilahi. Oleh itu,
kata Ibnu Khaldun lagi, jika pemimpin sesebuah negara rosak, maka rosaklah
sesebuah negara itu dan rosaklah pula rakyat negara itu. Rasuah adalah najis
berat, walau sebesar manapun jumlahnya.
4.5.2 Ada lima
teras kepada memerangi rasuah ini diberikan tumpuan dalam usaha
untuk memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa
Malaysia baharu ini adalah ;-
a)
Mereformasi SPRM menjadi
sebagai badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
b)
Memberi kuasa pendakwaan
kepada SPRM dalam kes-kes rasuah
c)
Menubuhkan Suruhanjaya
Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) untuk membolehkan SPRM membuat
pilihan sendiri pegawai dalam perkhidmatan SPRM.
d)
Memastikan peruntukan
tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan mereka dan
e)
Menjamin hak pelantikan
tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau melaksanakan tugas
dan tanggungjawab dengan tegas dan tanpa takut. Pelantikan Ketua Pesuruhjaya
akan dibuat oleh Yang Dipertuan Agung atas nasihat jawatankuasa Parlimen.
5.0 Penutup.
5.1 Kesimpulannya adalah penting untuk
memahami dan menghayati tentang kewujudan kerajaan-kerajaan melayu di tanah air
suatu ketika dulu. Pemahaman ini dapat melahirkan kesedaran tentang wujudnya
satu tamadun Melayu yang tinggi pada zaman dahulu. Oleh itu harapan kami kepada
generasi masa kini ialah menghayati dan menghargai sejarah negara dan
seterusnya mengukuhkan jati diri terhadap tanah air. Fenomena ini juga
menjadikan tamadun Malaysia hari ini padat dengan gabungan asimilasi dan
sikritisme berbagai-bagai budaya yang membentuk budaya Malaysia yang unggul.
5.2 Kemerdekaan sejati hanya dapat dicapai dengan
penghayatan yang menyeluruh kepada ajaran yang suci. Sepatah kata-kata Khalifah
Umar bin al-Khattab: ‘Kami adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam,
bila mana kami mencari kemuliaan selain dari Islam, kami akan dihina oleh
Allah.”
Janganlah hendaknya, kita hanya berjaya mengusir kolonialis yang menjajah kita secara langsung, tetapi membuka pintu kepada neo-kolonialisme yang menjajah semula secara tidak langsung, dalam bentuk pemikiran dan ideologi, cara hidup dan budaya, media dan teknologi, sistem kewangan dan pengagihan kekayaan dan layanan sosial yang tidak adil.
Janganlah hendaknya, kita hanya berjaya mengusir kolonialis yang menjajah kita secara langsung, tetapi membuka pintu kepada neo-kolonialisme yang menjajah semula secara tidak langsung, dalam bentuk pemikiran dan ideologi, cara hidup dan budaya, media dan teknologi, sistem kewangan dan pengagihan kekayaan dan layanan sosial yang tidak adil.
5.3 Tanggal 31 Ogos ini genap 61 tahun kita merdeka. Majoriti
rakyat adalah generasi selepas kemerdekaan dan anak mereka. Generasi muda
jumlahnya agak besar. Rata-ratanya mereka dibesarkan dalam keadaan yang selesa,
setelah negara mencapai kedudukan yang baik berbanding dengan negara
lain. Memahami erti kemerdekaan pada generasi kini tidak sama dengan
generasi awal yang menuntut kemerdekaan daripada penjajah, namun yang lebih
penting adalah memahami erti kemerdekaan sebenar dan mengisi dengan nilai-nilai
pejuang seperti sanggup berkorban dan berusaha gigih tanpa jemu.
Rujukan.
Siddiq Fadzil. 2012.
Islam dan Melayu Martabat Umat Dan Daulat Rakyat. Selangor, Akademi Kajian
Ketamadunan.
____ 2014. Pendidikan
Al-Hikmah dan Misi Pencerahan. Kajang, Kolej Darul Hikmah.
____ 1992. Minda Melayu Baru. Kuala Lumpur. Institut Kajian Dasar.
Saifuddin Abdullah. 2008.
Kuala Lumpur, Institut Terjemahan Negara Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan