Isnin, 24 September 2018

TEKS UCAPAN SELEPAS PERLANTIKAN SEBAGAI SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH


  Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar, Ahli-ahli yang berhormat.  Alhamdulillah dan ucapan terima kasih atas perlantikan yang amat bersejarah ini. Walaupun kita terpaksa melakukan pengundian namun inilah demokrasi yang kita idam-idamkan. Dan kita telah menterjemahkan amalan demokrasi yang sihat semasa proses perlantikan Speaker kali ini. Sesungguhnya jawatan ini adalah suatu tanggungjawab serta beban dan bukannya kemegahan dan kemewahan (Taklif wala tashriff).  Sesungguhnya kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya sebagai  speaker dewan undangan negeri Kedah untuk penggal yang ke 14 ini, akan saya  pikul dengan kerjasama dan bantuan dari semua ahli-ahli Yang Berhormat.

  Adalah menjadi tanggungjawab semua ahli-ahli Yang Berhormat samada di pihak kerajaan ataupun oposisi menjalankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat negeri Kedah dalam pilihanraya yang lalu. Oleh kerana ini adalah sidang yang pertama dan kita mempunyai agenda penting untuk mengangkat sumpah semua ahli-ahli Yang Berhormat maka saya mempersilakan Setiausaha Dewan untuk memulakan majlis ini. Dipersilakan.

               UCAPAN SEBELUM PENANGGUHAN SIDANG DEWAN
   Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar, Semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Setiausaha Dewan Undangan Negeri , semua Ketua-ketua Jabatan hadirin dan hadirat sekelian, Izinkan saya sebelum menanguhkan persidangan dewan hari ini memberikan sepatah dua kata sebagai suatu tazkirah untuk kita semua.

  KDYMM Tuanku Sultan semasa bertitah dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan telah memberikan beberapa nasihat yang amat berguna kepada kita semua. Saya meneliti titah ucapan Tuanku dan rasanya titah ini amat-amat bermanfaat untuk kita hayati dan amalkan, khususnya kepada ahli-ahli YB sekelian, Antara inti pati penting titah baginda adalah  : -
i)             Baginda meminta semua pihak perlulah melupakan perselisihan yang berlaku semasa proses pilihan raya umum lalu dan kembali bersatu di bawah bendera negeri Kedah. Sehubungan dengan titah Tuanku ini, marilah kita jadikan agenda baru, Kedah baharu dalam kerangka Malaysia baharu dengan suatu keazaman untuk melihat kemakmuran, kebahagian dan keadilan dapat direalisasikan. Fokus kita kini adalah untuk membangunkan dan memajukan negeri Kedah. Masing-masing ada peranan. Melihat kepada situasi  dalam negeri Kedah proses pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia amnya dan Kedah Darul Aman khususnya  harus berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.
ii)           Baginda juga  ingin melihat proses ‘semak dan seimbang’ ini berfungsi bagi menjaga kepentingan rakyat . Berbincanglah dengan berhemah, berbudi bahasa dan jujur. Berpeganglah dengan pepatah lama, ‘yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua’ baginda mahu pihak pembangkang memainkan peranan dalam membantu kerajaan negeri untuk berada di landasan yang betul demi menjaga kepentingan rakyat negeri Kedah. Sehubungan dengan itu kita akan membuat reformasi dalam urusan pengendalian DUN diperingkat negeri Kedah. Beberapa inisiatif dan anjakan telahpun diumumkan oleh YAB Dato Seri Menteri Besar seperti peruntukan kepada semua YB-YB tanpa mengira kawasan samada pemerintah ataupun oposisi. Saya merasakan pejabat YAB Menteri Besar dan pejabat ahli Exco terbuka untuk menerima kunjungan dan bertukar-tukar pandangan dengan semua ahli-ahli YB termasuk oposisi, demi untuk kemaslahatan rakyat negeri Kedah.
iii)             Baginda juga beranggapan setiap wakil yang dilantik mempunyai tanggungjawab yang sama. Pihak yang berjaya menubuhkan kerajaan hendaklah melaksanakan tugas dengan amanah, ikhlas dan jujur. Baginda turut mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan kepentingan rakyat sebaliknya, menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat. Marilah kita jadikan medan politik dan siasah negeri Kedah ini menampakkan kematangan dan kewarasan dalam tindakan. Ahli-ahli YB bukan anggota kerajaan tidak akan dipisahkan semasa ahli-ahli Exco melawat dan turun mengadakan program atau aktiviti di kawasan tertentu, YB-YB dari oposisi juga wajar dijemput untuk turut bersama atas kapasiti YB yang telah dipilih oleh rakyat. 

iv)          Selain itu baginda Tuanku Sultan juga bertitah bahawa jawatan yang disandang ini bukan satu keistimewaan, ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa syukur, ikhlas, berintegriti dan amanah. Layanlah rakyat dengan penuh berhemah dan buktikanlah bahawa rakyat telah membuat pilihan yang tepat. Semua Ahli-ahli Yang Berhormat  yang dilantik ini dapat menumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman untuk berkhidmat dalam memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan negeri Kedah dapat terus membangun dalam semua bidang. Rakyat di negeri Kedah terdiri dari pelbagai rumpun bangsa ada Melayu, China , India, Siam dan lain-lain. Begitu juga dengan agama ada Islam, Buddis, Hindu, dan lain-lain, Mereka telah menghantar YB untuk menyuarakan aspirasi dan hajat mereka maka harmonikan suasana  dengan meningkatkan dialog antara kaum dan agama dengan menggunakan bingkai kesatuan yang sedia ada, contohnya: Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Semua ini boleh menjadi alemen penyatuan kaum dan keharmonian kehidupan dana meningkatkan perkenalan lintas ras dan budaya. Sebagaimana yang telah Allah swt firmankan dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)

v)                Prof. Dato’  Dr Siddiq Fadzil menyatakan bahawa para ulama dan cendiakawan perlu memikirkan ijtihad  dalam fiqh politik baharu yang melibatkan tafsiran segar dan realistik. Kategori kafir dhimmi tidak relevan lagi. Kita perlu mengiktiraf semua rakyat (Muslim dan bukan-Muslim) sebagai saudara sewarga negara penuh. Istilah ummah harus termasuk ummah Malaysia, bukannya ummah Islam sahaja. Istilah ukhuwah harus termasuk ukhuwah se-Malaysia, bukannya ukhuwah Islamiah sahaja.    

vi)              Kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang baru, boleh belajar dari ahli yang telah vateran dan memahami selok belok persidangan dan ucapan dalam Dewan Undangan Negeri.  Saya sangat mengharapkan perbahasan dan ucapan semua Ahli-ahli YB akan lebih mantap dengan pandangan-pandangan yang bernas penuh fakta dan membuat rujukan yang tepat. Sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat ingin menegur mana-mana pihak gunakan  bahasa yang sopan sebagai lambang kita orang Timur yang penuh dengan dbudaya dana adat sopan,  dan sifat agama Islam itu sendiri yang menggalakan penggunaan bahasa yang lemah lembut untuk mengritik dan memberikan pandangan.  Buku  Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman akan menjadi kitap rujukan utama semasa urusan sidang dewan ini. Tolong baca dan faham peraturan yang telah ditetapkan.

vii)         Akhir kalam, Sebelum saya menangguhkan sidang Dewan kali ini sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat yang telah terpilih menganggotai Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman yang ke 14 ini.  Marilah kita berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah swt agar kita dapat menjalankan tanggungjawan yang diamanahkan kepada kita dengan sebaik-baiknya samada di dalam dewan ataupun dikawasan masing-masing.

                     04 Julai 2018, 20 Syawal 1439 Hijrah ~ Dewan Undangan Negeri Kedah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  Dimensi pemikiran SIDDIQ: Apresiasi Buat Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil Murabbi Ummat. 1.0             Dato’ Dr. Siddiq Fadzil   nama ...